Adakah intervensi berhenti merokok semasa rawatan atau pemulihan dadah membantu perokok untuk berhenti?

Latarbelakang

Penggunaan tembakau merupakan punca kematian utama yang boleh dicegah di seluruh dunia, dan kadar merokok adalah tinggi di kalangan mereka yang mengambil alkohol atau dadah yang lain. Individu yang sedang menerima rawatan untuk ketagihan alkohol atau dadah biasanya tidak ditawarkan intervensi untuk berhenti merokok pada masa yang sama. Ini adalah disebabkan oleh anggapan bahawa intervensi berhenti merokok menyebabkan individu yang sedang menerima rawatan mempunyai kemungkinan rendah untuk pulih daripada ketagihan yang lain.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik telah mencari kajian yang melibatkan perokok dewasa yang sedang menerima ataupun telah menerima rawatan yang lengkap untuk pemulihan dadah di hospital, pesakit luar atau komuniti. Kajian-kajian tersebut telah membahagikan peserta secara rawak kepada kumpulan menerima rawatan atau sebagai kumpulan kawalan. Carian bukti terakhir penyelidik adalah pada Ogos 2016. Penyelidik telah menjumpai 34 kajian yang berkaitan. Intervensi berhenti merokok yang dikaji termasuk: kaunseling (yang mungkin melibatkan satu sesi nasihat ringkas atau beberapa sesi sokongan tingkah laku, sama ada secara individu atau dalam kumpulan); ubat (dikenali sebagai farmakoterapi; termasuk terapi penggantian nikotin, dengan atau tanpa ubat lain yang menolong perokok berhenti merokok); atau satu gabungan kaunseling dengan farmakoterapi. Penyelidik telah menggabungkan keputusan kajian yang berbeza untuk setiap jenis rawatan individu, walaupun kajian yang berbeza menggunakan rawatan yang lain. Individu yang berada dalam kumpulan kawalan telah menerima penjagaan biasa, nasihat ringkas tentang berhenti merokok atau diletakkan dalam senarai menunggu untuk menerima rawatan. Kebanyakan kajian menilai bilangan individu yang telah berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan selepas memulakan rawatan. Penyelidik juga telah memasukkan beberapa kajian dengan tempoh yang lebih singkat.

Keputusan utama

Sebelas kajian yang melibatkan seramai 1808 orang responden yang meggunakan beberapa jenis intervensi farmakoterapi. Terdapat bukti bahawa mereka yang diberi rawatan farmakoterapi lebih berjaya untuk berhenti merokok. Dua belas kajian dengan 2229 peserta telah menguji rawatan yang menggabungkan farmakoterapi dan kaunseling. Terdapat bukti bahawa individu yang diberikan gabungan farmakoterapi dengan kaunseling lebih berjaya berhenti merokok. Sebelas kajian dengan 1759 orang responden telah menguji kesan kaunseling berbanding penjagaan biasa. Pergabungan keputusan tersebut tidak membuktikan faedah memberikan kaunseling sahaja.

Sebelas kajian dengan 2231 orang peserta melaporkan sama ada mereka kekal bebas daripada alkohol dan dadah lain. Intervensi berhenti merokok tidak menyebabkan individu lebih berkemungkinan untuk kembali mengambil alkohol atau dadah lain.

Penyelidik tidak menjumpai bukti yang terdapat perbezaan dari segi kebekesanan bagi individu yang telah diberi intervensi untuk berhenti merokok apabila mereka baru menerima rawatan untuk penggunaan dadah lain atau selepas mereka berada dalam pemulihan. Keputusan yang sama didapati untuk individu yang telah menerima rawatan untuk ketagihan alkohol ataupun dadah seperti heroin.

Kualiti bukti

Penyelidik menilai kualiti kajian adalah rendah. Banyak kajian tidak memberikan maklumat yang mencukupi berkaitan metod yang digunakan. Kajian-kajian tersebut juga melibatkan kaedah rawatan yang sangat berbeza dan ini menyukarkan proses perbandingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (International Medical University). Disunting oleh Anza Bt Elias (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi tan.yinxin@student.imu.edu.my

Tools
Information