Fotoferesis ekstrakorporeum untuk penyakit cantuman lawan perumah akut selepas pemindahan sel induk hematopoietik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Latar belakang

Penyakit cantuman lawan perumah ialah komplikasi lazim selepas pemindahan sel induk hematopoietik (HSCT; pemindahan sel induk yang membentuk darah). Sel imun (sel darah putih) daripada penderma mengenali sel penerima sebagai benda asing (bukan diri). Oleh itu, sel imun yang dipindahkan menyerang sel penerima. Organ utama yang terkesan ialah kulit, hati dan usus antara tisu-tisu organ lain. Tindak balas imun ini boleh menyebabkan keradangan akut (pembengkakan tiba-tiba) diikuti oleh perubahan kronik (jangka panjang) pada organ (misalnya fibrosis; parut di paru-paru). Rawatan utama selalunya terdiri daripada ubat imunopenindasan (yang melemahkan kekuatan sistem imun badan) seperti gabungan kortikosteroid dengan agen imunopenindasan lain bagi kes refraktori (di mana penyakit tersebut resistan rawatan). Penggunaan ubat imunopenindasan ini direka untuk menyekat serangan imun oleh sel penerima. Keberkesanan yang terhad serta kesan sampingan teruk ubat imunopenindasan ini membawa kepada penerapan beberapa pendekatan alternatif.

Fotoforesis ekstrakorporeum (ECP) ialah terapi imunomodulatori yang melibatkan pengumpulan sel imun daripada darah periferal dari luar badan pesakit. Sel-sel imun ini kemudian didedahkan kepada ejen fotoaktif (bahan kimia yang respon kepada pendedahan cahaya; iaitu 8-methoxypsoralen) dan diikuti oleh sinaran ultraungu-A dan kemudian diinfusi semula. Kesan-kesan imunomodulatori prosedur ini masih belum difahami sepenuhnya.

Beberapa syor amalan klinikal semasa mencadangkan untuk mempertimbangkan ECP dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dengan penyakit cantuman lawan perumah selepas HSCT.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (RCT; kajian klinikal di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada satu antara dua kumpulan rawatan) yang direka untuk menilai keberkesanan dan keselamatan ECP bagi pengurusan penyakit cantuman lawan perumah akut dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (bawah umur 18 tahun) selepas HSCT.

Keputusan

Versi asal ulasan ini dan kedua-dua ulasan pertama dan kedua tidak menemui sebarang RCT yang menyiasat efikasi ECP dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dengan penyakit cantuman lawan perumah selepas HSCT. Saranan terkini berdasarkan kajian retrospektif (di mana hasil berlaku kepada peserta sebelum kajian bermula) atau kajian pemerhatian (di mana pengkaji tidak membuat intervensi, dan hanya memerhati perkembangan keadaan) sahaja. Kami mengesyorkan penggunaan ECP dalam kalangan kanak-kanak dan remaja selepas HSCT hanya dalam konteks RCT.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information