Kanser ovari epitelium (EOC) adalah keadaan yang berpotensi mengancam nyawa. EOC biasanya dijumpai dalam wanita berumur 50 tahun ke atas dan jarang dilihat pada wanita yang berumur kurang daripada 35 tahun. Gejala awal penyakit ini biasanya ringan dan samar-samar, menyebabkan penyakit ini sukar untuk dikesan pada peringkat awal. Pesakit dengan EOC agak tidak bergejala sehingga penyakit itu telah berkembang ke peringkat lanjut.
Walaupun EOC pada mulanya bertindak balas dengan baik pada pembedahan dan kemoterapi, terdapat kadar berulang yang tinggi dalam tempoh 12 hingga 24 bulan rawatan. Interferon adalah protein yang dibuat dan dikeluarkan oleh sel perumah sebagai tindak balas pada kehadiran patogen. Mereka dinamakan sempena keupayaan mereka untuk 'mengganggu' replikasi virus dalam sel perumah. Interferon mempunyai dua fungsi penting. Ia memberi isyarat kepada sel jiran dan mencetuskan mekanisma rintangan mereka; dan ia mengaktifkan sel imun lain yang membunuh patogen yang menyerang. Ulasan ini menilai keberkesanan terapi interferon dalam mengurangkan kadar berulang atau memanjangkan masa antara kemoterapi dan pengulangan penyakit berikutnya.
Lima kajian, yang melibatkan 1476 peserta, telah dimasukkan dalam ulasan ini. Tiga daripada lima kajian dihentikan lebih awal. Risiko berat sebelah bagi kebanyakan kajian adalah tinggi atau tidak jelas disebabkan oleh pelaporan kaedah dan keputusan yang tidak lengkap. Kebanyakan kajian tidak cukup besar untuk mengesan sebarang kesan sebenar intervensi. Kajian-kajian tersebut sama ada tidak melaporkan keputusan hasil penting atau keputusan hasil penting tidak seragam antara kajian-kajian.
Bukti daripada tiga kajian mencadangkan bahawa penambahan interferon kepada kemoterapi tahap pertama tidak mengubah kelangsungan hidup secara keseluruhan dalam wanita dengan EOC lanjut selepas pembedahan berbanding dengan kemoterapi sahaja. Sebaliknya, terdapat bukti bahawa interferon dalam gabungan dengan kemoterapi memburukkan kelangsungan hidup bebas perkembangan penyakit dalam wanita dengan EOC lanjut selepas pembedahan berbanding dengan kemoterapi sahaja. Tambahan pula, tidak ada bukti yang mencukupi tentang terapi interferon sahaja meningkatkan kelangsungan hidup secara keseluruhan atau perkembangan kelangsungan hidup bebas penyakit dalam wanita selepas pembedahan yang telah menjalani kemoterapi tahap pertama apabila dibandingkan dengan pemerhatian sahaja.
Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my