Ubat bagi merawat jangkitan paru-paru ‘respiratory syncytial virus’

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Adakah penggunaan immunoglobulin pada kanak-kanak yang masih kecil di hospital dengan jangkitan paru-paru ‘respiratory syncytial virus’ (RSV) mengurangkan kadar kematian dan tempoh rawatan di hospital tanpa penambahan kesan-kesan sampingan, berbanding dengan plasebo (sama fizikal seperti ubat tetapi tiada bahan aktif yang berkesan) ?

Latar belakang

‘Respiratory syncytial virus’ adalah virus yang biasanya menjangkiti paru-paru dan saluran pernafasan. Jutaan kanak-kanak dirawat di hospital setiap tahun kerana RSV, yang boleh mengakibatkan penyakit yang serius dan kematian. Majoriti kematian ini berlaku di negara-negara berpendapatan rendah. Di negara-negara berpendapatan tinggi, majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan RSV paru-paru berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil yang juga menghidap penyakit lain.

Immunoglobulin, juga dikenali sebagai antibodi, adalah sejenis molekul yang biasanya dihasilkan oleh sel darah putih apabila adanya jangkitan. Immunoglobulin boleh mengenali dan melekat kepada virus (seperti RSV) dan membantu memusnahkan mereka. Immunoglobulin boleh dihasilkan dengan di makmal dan diberi kepada kanak-kanak yang tidak dapat menghasilkan sendiri antibodi terhadap RSV. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa immunoglobulin membantu mencegah jangkitan RSV pada kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk dijangkiti oleh virus ini. Immunoglobulin juga boleh digunakan sebagai rawatan apabila sudah ada jangkitan RSV, tetapi keberkesanan dan keselamatan immunoglobulin untuk kegunaan ini tidak diketahui.

Tarikh pencarian

Kami mencari bukti sehingga 6 November 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan tujuh kajian rawak terkawal (kajian yang mana para peserta ditempatkan dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan kesan immunoglobulin dengan plasebo pada 486 kanak-kanak kecil yang menghidapi jangkitan paru-paru RSV. Semua kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat; tiga kajian melibatkan kanak-kanak dari negara Amerika Selatan (Chile dan Panama); dan satu kajian melibatkan kanak-kanak dari New Zealand dan Australia. Kajian-kajian ini diterbitkan antara tahun 1987 dan 2014.

Sumber pembiayaan kajian

Lima kajian ditaja oleh pembuat immunoglobulin yang diuji di dalam kajian. Satu kajian ditaja oleh agensi kerajaan, dan satu kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan-keputusan utama

Immunoglobulin tidak kelihatan lebih berkesan daripada plasebo dalam mencegah kadar kematian di kalangan kanak-kanak kecil dengan jangkitan RSV, walaupun beberapa kematian berlaku di dalam kajian. Immunoglobulin yang diberi kepada kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan jangkitan paru-paru RSV tidak mengurangkan masa rawatan di hospital. Kanak-kanak yang dirawat dengan immunoglobulin mendapat kesan sampingan dengan pelbagai tahap keseriusan dan kesan sampingan yang dianggap serius (seperti kegagalan pernafasan) sama seperti kanak-kanak yang dirawat dengan plasebo. Tidak ada perbezaan antara immunoglobulin dan plasebo untuk sebarang keputusan yang diukur dalam kajian, seperti keperluan untuk oksigen atau kemasukan ke unit rawatan rapi. Tidak ada data yang menunjukkan kadar kematian yang lebih tinggi dalam mana-mana populasi akibat jangkitan RSV.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah, yang bermaksud bahawa kesan sebenar rawatan immunoglobulin pada kanak-kanak kecil dengan jangkitan paru-paru RSV di hospital mungkin sangat berbeza daripada penemuan ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com