Rawatan periodontal untuk kawalan tekanan darah

Soalan ulasan

Bolehkah rawatan periodontal mencegah hipertensi atau menurunkan tekanan darah orang dengan hipertensi?

Latar belakang

Periodontitis ialah sejenis gingivitis (penyakit gusi) teruk yang disebabkan oleh beberapa bakteria spesifik yang juga didapati dalam plak aterosklerotik (pengumpulan lemak, kolesterol, kalsium, dan bahan lain dalam saluran darah), di mana kolesterol memberikan kesan signifikan terhadap hipertensi (tekanan darah tinggi). Banyak kajian telah menunjukkan hubungan antara periodontitis dan hipertensi. Adalah penting untuk menilai sama ada rawatan periodontal boleh mencegah atau merawat hipertensi.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga November 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan lapan kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) melibatkan 894 peserta. Kajian-kajian ini melihat kesan pencegahan dan kesan terapeutik rawatan periodontal terhadap perubahan tekanan darah dengan peserta yang didiagnos dengan periodontitis pada sebarang umur dan jantina dengan atau tanpa hipertensi.

Keputusan utama

Empat kajian membandingkan rawatan periodontal dengan tiada rawatan bagi perubahan dalam tekanan darah dalam kalangan orang dengan periodontitis yang didiagnos dengan atau tanpa penyakit kardiovaskular lain kecuali hipertensi. Keputusan menunjukkan tiada perbezaan dalam tekanan darah antara peserta yang dirawat dan tidak dirawat untuk sebarang tempoh masa.

Tiga kajian membandingkan rawatan periodontal dengan penskaleran supra-gingiva (dengan hanya membuang kalkulus gigi yang boleh nampak dengan kesan rawatan terhad terhadap periodontitis) dalam kalangan orang dengan periodontitis kronik. Keputusan menunjukkan tiada perbezaan dalam tekanan darah untuk sebarang tempoh masa.

Hanya satu kajian ke atas orang dengan hipertensi mendapati pengurangan tekanan darah antara kumpulan-kumpulan dalam jangka pendek, dengan tiada perbezaan dalam perubahan tekanan darah untuk perbandingan lain.

Kualiti bukti

Tiada dokumentasi yang baik tentang bagaimana kajian yang disertakan dilaksana dan dihurai, oleh itu kualiti bukti adalah rendah. Akibatnya tiada cukup maklumat untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information