Keberkesanan dan pengalaman kaunseling telefon untuk penjaga tidak formal bagi orang dengan demensia

Apakah masalahnya?

Menjaga seseorang dengan demensia sering mempunyai impak negatif terhadap kesihatan mental dan fizikal dan kehidupan sosial penjaga tidak formal. Oleh itu, penjaga tidak formal ini perlu ditawarkan sokongan. Mereka biasanya adalah ahli keluarga dan menjaga orang dengan demensia di rumah.

Apakah kaunseling telefon?

Mencungkil kebimbangan seseorang, mendengar, dan memberi sokongan, maklumat, atau mengajar sebagai respon kepada kebimbangan seseorang, melalui telefon.

Tujuan ulasan ini

Tujuan ulasan ini adalah untuk menyiasat sama ada kaunseling telefon adalah cara yang berkesan untuk mengurangkan simptom kemurungan dan stres lain dalam kalangan penjaga bagi orang dengan demensia. Kami juga menyiasat aspek pendapat orang yang menerima kaunseling telefon yang mereka fikir boleh diperbaiki.

Keputusan ulasan

Kami mencari kajian saintifik yang membandingkan kaunseling telefon dengan tiada rawatan, atau penjagaan biasa atau panggilan mesra. Kami menemui sembilan kajian yang menyiasat berapa baik kaunseling telefon berfungsi (keberkesanan) dan dua kajian yang menilai kualiti pengalaman.

Kajian keberkesanan menyiasat tiga jenis kaunseling telefon: hanya kaunseling telefon (enam kajian); kaunseling telefon dan sesi video (satu kajian); dan kaunseling telefon serta sesi video dan buku kerja (dua kajian). Ini memberi sedikit bukti bahawa kaunseling telefon berkesan untuk mengurangkan simptom kemurungan dalam kalangan penjaga orang dengan demensia (tiga kajian), tetapi tiada kesan positif yang jelas dapat ditunjukkan untuk sebarang hasil lain seperti stres atau kegelisahan.

Kajian yang menyiasat aspek pengalaman dengan kaunseling telefon menunjukkan pelbagai keperluan penjaga (16 tema) yang meliputi tiga bidang utama: halangan kepada - dan perkara yang membolehkan - kejayaan perlaksanaan kaunseling telefon; sikap emosi kaunselor; dan kandungan kaunseling telefon.

Semua kajian adalah berkualiti sederhana.

Kesimpulan

Analisis kedua-dua set keputusan, iaitu keberkesanan berbanding maklumat mengenai pengalaman penjaga dengan kaunseling telefon, menunjukkan keperluan yang setakat ini belum dipenuhi oleh kaunseling telefon. Kajian-kajian yang menilai aspek pengalaman meliputi pelbagai kaunseling telefon yang sangat terhad. Keputusan ulasan ini harus ditafsir dengan berhati-hati kerana bilangan kajian yang disertakan adalah kecil dan berkualiti sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information