Toremifene berbanding tamoxifen untuk kanser payudara lanjut

Kanser payudara merupakan kanser yang paling lazim dalam kaum wanita. Apabila ia merebak ke luar kawasan payudara, ia dikenali sebagai kanser payudara lanjut. Rawatan untuk kanser payudara lanjut termasuk kemoterapi, terapi endokrin dan mungkin pembedahan dan terapi radiasi. Antara terapi endokrin, tamoxifen (TAM) adalah modulator reseptor estrogen selektif tertua dan paling banyak digunakan. Walau bagaimanapun, beberapa kesan buruk yang signifikan dilaporkan setelah rawatan TAM jangka panjang. Toremifene (TOR), yang juga digunakan untuk merawat kanser payudara lanjut, memiliki mekanisme yang serupa dengan TAM. Objektif ulasan ini adalah untuk membandingkan TOR dengan TAM dari segi kelangsungan hidup keseluruhan, tindak balas terhadap rawatan, masa untuk berkembang, dan kesan sampingan.

Tujuh kajian yang memenuhi syarat telah dikenal pasti, semuanya memberi maklumat mengenai tindak balas terhadap rawatan (dalam 2061 pesakit), lima mengenai kelangsungan hidup tanpa perkembangan (dalam 1436 pesakit) dan empat mengenai kelangsungan hidup keseluruhan (dalam 1374 pesakit). Kajian-kajian tersebut pada umumnya sudah lama (dijalankan antara akhir 1980-an dan awal 1990-an) dan adalah berkualiti sederhana.

Berdasarkan data daripada kajian-kajian tersebut, 25.8% daripada pesakit dalam kumpulan TOR memberi tindak balas terhadap rawatan, dibandingkan dengan 26.9% daripada kumpulan TAM. Kanser dalam 50% pesakit daripada kumpulan TOR bertambah teruk setelah 6.1 bulan, berbanding 5.8 bulan daripada kumpulan TAM. Separuh daripada pesakit daripada kumpulan TOR bertahan lebih lama daripada 27.8 bulan, berbanding 27.6 bulan daripada kumpulan TAM. Risiko untuk kanser bertambah teruk dan kematian dalam kumpulan TOR adalah tidak jauh berbeza secara signifikan dengan risiko kumpulan TAM. Kekerapan kebanyakan kesan sampingan juga serupa antara kedua-dua kumpulan, kecuali bahawa jumlah sakit kepala yang berlaku dalam kumpulan TOR hanya sekitar satu per tujuh daripada kumpulan TAM. Namun, dengan mempertimbangkan hasil kajian-kajian besar yang lain, kita tidak dapat mengecualikan kemungkinan bahawa ini adalah sekadar kebetulan. Akibat kekurangan data, tiada kesimpulan yang dapat dibuat mengenai kesan sampingan jangka panjang yang dicapai dengan mana-mana rawatan.

Bukti daripada ulasan ini menunjukkan bahawa, dalam rawatan barisan pertama untuk pesakit kanser payudara lanjut, TOR dan TAM mempunyai keberkesanan yang sama dan profil keselamatan rawatan pertama sekurang-kurangnya adalah tidak lebih buruk daripada rawatan kedua. Oleh itu, TOR dapat berfungsi sebagai alternatif untuk TAM apabila anti-estrogen boleh digunakan tetapi TAM tidak merupakan pilihan yang digemari kerana sebab tertentu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information