Tiada bukti didapati daripada ujian rawak berkaitan penggunaan ubat-ubatan untuk merawat hipertiroidisme bagi wanita hamil

Hipertiroidisme semasa hamil merupakan keadaan yang jarang berlaku tetapi serius, yang boleh meningkatkan risiko keguguran, kematian sewaktu lahir, kelahiran pra-matang, dan membantutkan pertumbuhan fetus dalam rahim. Wanita hamil yang hipertiroid juga boleh mengalami masalah pra-eklampsia atau koyakan plasenta. Kebanyakan wanita ini mempunyai penyakit Grave, sejenis penyakit autoimun yang paling lazim terjadi dalam kalangan wanita yang berumur 20 hingga 40 tahun. Kebanyakan wanita hamil yang mengalami hipertiroidisme telah pun mengidap penyakit tiroid sebelum hamil lagi dan mungkin pernah menerima rawatan untuk penyakit tersebut. Secara umumnya hanya terapi ubat-ubatan digunakan untuk merawat wanita hamil dengan hipertiroidisme. Rawatan iodin radioaktif tidak digunakan semasa hamil kerana ia merosakkan kelenjar tiroid fetus, mengakibatkan hipotiroidisme kekal pada bayi yang akan lahir.

Ubat anti-tiroid utama yang digunakan ialah thionamides, propylthiouracil (PTU), methimazole dan carbimazole. PTU kini adalah ubat yang cenderung digunakan semasa hamil, kerana ia hanya dikaitkan dengan kesan kecacatan fetus yang sedikit (luka-luka kulit kepala) berbanding dengan ubat methimazole. Walau bagaimanapun, oleh kerana telah ada laporan kerosakan hati pada pesakit yang mengambil PTU, mungkin perlu bagi wanita hamil yang hipertiroid dirawat dengan dengan PTU pada trimester pertama (untuk mengurangkan sebarang kesan kecacatan fetus akibat methimazole) dan kemudiannya ditukarkan kepada methimazole.

Kami tidak pula menjumapi kajian rawak yang dijalankan bagi membantu memaklumkan kepada wanita dan doktor mereka mengenai ubat anti-tiroid mana yang paling berkesan, dengan potensi kemudaratan yang terendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information