Kesan intervensi pemberhentian alkohol perioperatif ke atas komplikasi selepas pembedahan

Soalan ulasan

Kami menilai bukti dari ujian terkawal secara rawak untuk menentukan jika tidak minum alkohol dalam tempoh perioperatif mengurangkan komplikasi selepas pembedahan dalam kalangan orang yang mempunyai pengambilan alkohol yang berisiko. Program-program ini menyokong para peserta untuk berhenti minum atau mengurangkan pengambilan alkohol sebelum, semasa, dan selepas pembedahan. 'Minum secara berisiko' ditakrifkan sebagai pengambilan alkohol yang setara atau lebih daripada 3 unit alkohol (tiga gelas kecil wain) sehari atau 21 unit seminggu - dengan atau tanpa penyalahgunaan alkohol atau kebergantungan. Sebilangan besar kajian klinikal melaporkan bahawa pengambilan alkohol dalam jumlah ini meningkatkan kadar komplikasi selepas pembedahan.

Latar belakang

Pengambilan alkohol secara berisiko adalah masalah global, dan alkohol merupakan ancaman penting kepada kesihatan sejagat. Lebih daripada 3.3 juta kematian setiap tahun berkaitan dengan pengambilan alkohol secara berisiko, dan pengambilanya secara global terus meningkat. Orang yang mempunyai tahap pengambilan alkohol yang tinggi sering memerlukan prosedur pembedahan yang dirancang dan prosedur pembedahan kecemasan.

Minum secara berisiko mempengaruhi hasil pembedahan - walaupun penyakitnya tidak berkaitan dengan alkohol. Komplikasi pembedahan biasanya merangkumi jangkitan, masalah jantung dan pernafasan, dan episod pendarahan. Alkohol menyebabkan gangguan kepada hati, pankreas, dan sistem saraf. Berhenti minum alkohol dapat menormalkan sistem organ ini pada tahap yang tertentu dan dapat mengurangkan kejadian komplikasi selepas pembedahan. Berhenti minum juga boleh mengakibatkan gejala penarikan yang ringan hingga teruk dan boleh menyebabkan perubahan gaya hidup.

Penerbitan pertama ulasan ini adalah pada tahun 2012, dan dikemaskini pada tahun 2018.

Tarikh carian

Bukti terkini sehingga 21 September 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tiga percubaan terkawal secara rawak dengan sejumlah 140 peserta. Ketiga-tiga kajian merangkumi peserta dengan pengambilan alkohol secara berisiko (3 hingga 40 AU setiap hari) yang memerlukan pembedahan. Kajian-kajian ini menyelidiki intervensi alkohol intensif yang bertujuan untuk menghentikan pengambilan alkohol dengan sepenuhnya pada masa pembedahan berbanding dengan tanpa intervensi. Intervensi merangkumi strategi pendidikan untuk mencegah kesan penarikan dan pengulangan pengambilan alkohol. Program dimulakan tiga bulan sebelum pembedahan, empat minggu sebelum pembedahan, dan sejak kemasukan sehingga pembedahan, dan masing-masing dilanjutkan selama enam minggu selepas operasi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah antara sederhana hingga rendah.

Hasil utama

Dalam ketiga-tiga kajian, program intervensi intensif dengan jelasnya meningkatkan jumlah peserta yang berhenti minum alkohol. Kejadian komplikasi selepas operasi didapati juga berkurang. Dari 61 peserta dalam kumpulan intervensi, 20 mempunyai komplikasi yang memerlukan rawatan, berbanding dengan 33 daripada 61 peserta dalam kumpulan kawalan (bukti kualiti sederhana). Dari 70 peserta dalam kumpulan intervensi, 41 berjaya berhenti minum, berbanding dengan lima daripada 70 peserta dalam kumpulan kawalan (bukti kualiti sederhana). Data tidak mencukupi untuk menunjukkan kesan berhenti minum pada jumlah kematian (bukti berkualiti rendah), dan hasil menunjukkan bahawa tiada kesan terhadap tempoh tinggal di hospital. Tidada kajian yang melaporkan jumlah peserta yang terus menghindari minuman secara berisiko dalam jangka masa panjang (pada masa susulan tiga-, enam-, sembilan-, dan 12- bulan).

Kajian yang dipilih adalah sedikit dan melibatkan jumlah sampel yang kecil; oleh itu seseorang harus berhati-hati apabila membuat kesimpulan yang kukuh berdasarkan hasil ini. Ketiga-tiga kajian ini dijalankan di Denmark, dan kebanyakan peserta adalah lelaki. Peserta yang dipilih mungkin mewakili kumpulan selektif, kerana mereka lebih bermotivasi dan/atau lebih berminat untuk mengambil bahagian dalam kajian klinikal atau sebaliknya berbeza, dan hasil kajian mungkin terlebih anggar untuk kedua-kua kumpulan intervensi dan kumpulan kawalan dalam kajian ini. Lebih banyak kajian dan strategi baru diperlukan untuk memperbaiki hasil selepas pembedahan di kalangan mereka yang minum alkohol secara berisiko.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Melvin Chuin Shen Hoo (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information