Vitamin D untuk orang dengan penyakit buah pinggang kronik yang tidak memerlukan dialisis

Mereka dengan fungsi ginjal rendah (penyakit buah pinggang kronik; CKD) mempunyai perubahan dalam paras kalsium dan fosforus dalam darah. Keupayaan buah pinggang untuk menyingkirkan fosforus dari darah akan hilang secara beransur-ansur dan ia juga tidak dapat mengaktifkan jumlah vitamin D yang mencukupi untuk mengekalkan paras kalsium pada tahap normal. Kelenjar paratiroid akan mengesan dan mengimbangi perubahan ini dengan meningkatkan penghasilan dan pembebasan hormon paratiroid bagi meningkatkan paras kalsium. Perubahan metabolik ini akan mengubah metabolisme tulang untuk melepaskan kalsium dan seterusnya ini akan menyebabkan keabnormalan tulang termasuk pembentukan tulang yang terubah. Perubahan ini boleh mengakibatkan kecacatan dan kesakitan tulang, dan risiko fraktur (tulang patah/retak) yang lebih tinggi.

Rawatan bagi perubahan paras mineral dalam pesakit CKD ini termasuk penggantian dengan vitamin D teraktifkan untuk menyekat pembebasan hormon paratiroid. Persediaan awal agen vitamin D teraktifkan (calcitriol dan alfacalcidol) boleh dikaitkan dengan peningkatan paras pengedaran kalsium dan fosforus melalui tindakan langsung pada reseptor vitamin D. Kini terdapat agen baru yang juga boleh menyekat hormon paratiroid tetapi boleh mengehadkan perubahan paras kalsium dan fosforus. Pengelakan peningkatan paras kalsium dan fosforus adalah penting kerana mineral-mineral ini boleh mengaktifkan pengapuran dalam arteri-arteri dan tisu-tisu yang berpotensi menyebabkan penyakit jantung dan kerosakan tisu.

Kami telah mengenalpasti 16 kajian penyediaan vitamin D dalam sejumlah 894 pesakit CKD yang tidak memerlukan dialisis (CKD kurang teruk). Tiada kajian telah dirancang untuk memahami kesan terapi vitamin D terhadap risiko penyakit kardiovaskular pramatang atau kematian. Agen vitamin D didapati menyekat hormon paratiroid (PTH) secara ketara berbanding dengan tanpa rawatan, tetapi ia juga meningkatkan paras kalsium dan fosforus. Terapi vitamin D baru belum lagi dibandingkan dengan agen vitamin D yang dulu dalam CKD secara langsung; sama ada ia berkait dengan peningkatan paras kalsium dan fosforus belum tentu lagi. Pada masa akan datang, kajian baru diperlukan untuk menilai hasil penting kepada pesakit seperti jangka hayat dan penyakit jantung pramatang. Ia juga adalah penting untuk mengetahui sama ada terapi vitamin D harus digunakan secara berbeza (tahap sasaran PTH yang berbeza) bagi peringkat CKD yang berlainan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch'ng Chin Chin (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Pulau Pinang). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi chngchinchin@gmail.com

Tools
Information