Transfusi darah untuk rawatan sindrom dada akut bagi penghidap penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami mengkaji keberkesanan transfusi darah berbanding kaedah rawatan standard bagi merawat sindrom darah akut dengan melihat kepada perubahan simptom dan hasil klinikal. Ini adalah kemaskini ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan pada 2010 dan dikemaskini pada 2016.

Latar belakang

Penyakit sel sabit ialah masalah sel darah merah yang diwarisi, terdapat lebih daripada 250 juta penghidap keadaan ini di seluruh dunia, terutamanya penduduk di bahagian bawah benua Afrika (Afrika Timur, Afrika Tengah, Afrika Barat dan Afrika Selatan), Amerika Selatan dan Amerika Tengah, Arab Saudi, India dan beberapa negara Mediterannean. Ciri penyakit ini adalah sel darah merah mereka berbentuk seperti sabit dan bukannya dwicengkung. Bentuk darah merah ini boleh menyebabkan sumbatan pada salur darah dan bila sumbatan ini berlaku, ianya menyebabkan kesakitan dan kerosakan teruk kepada beberapa organ badan yang lain. Penghidap penyakit sel sabit boleh menghadapi masalah sakit dada secara mendadak (akut) termasuk demam, dan sindrom ini dikenali sebagai sindrom dada akut. Rawatan bergantung kepada keadaan klinikal dan tahap keterukan simptom setiap individu. Rawatan standard terdiri daripada rawatan sokongan, antibiotik, bendalir larutan intravena dan pemindahan darah (secara terus dimana pesakit diberikan sel darah daripada penderma sahaja ataupun ditukarkan dimana mereka menerima darah merah daripada penderma tetapi dalam masa yang sama sel darah merah mereka juga dikeluarkan), mungkin diperlukan.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 30 Mei 2019.

Keputusan Utama

Satu kajian telah dimasukkan dalam ulasan ini, di mana terdapat dua bahagian pada kajian tersebut, iaitu satu kajian pemerhatian yang lebih besar dan satu kajian rawak, bertujuan untuk menilai transfusi berbanding penjagaan standard bagi mencegah sindrom dada akut bagi mereka yang mempunyai sel sabit, dua puluh enam pusat kesihatan telah dikontrakkan bagi tujuan kajian ini. Hanya 10 orang peserta telah didaftarkan didalam kajian rawak. Kesan daripada transfusi darah tidak dapat dikenalpasti daripada kajian ini kerana, tiada maklumat yang boleh dikemukakan atau untuk dianalisis dalam kajian ini berikutan bilangan peserta yang didaftarkan sangat kecil.

Oleh itu, kajian unik ini tidak menunjukkan sejauh mana keberkesanan transfusi darah sebagai rawatan sindrom dada akut bagi penghidap penyakit sel sabit. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk mencari bukti adakah transfusi darah sebagai rawatan sindrom dada akut bagi penghidap penyakit sel sabit berkesan ataupun tidak. Ianya penting supaya orang ramai boleh membuat keputusan berdasarkan bukti penyelidikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Syafiah Syazwani Binti Abdul Manap (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini,sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information