Rawatan bagi limfoma Hodgkins peringkat awal

Latar belakang

Limfoma Hodgkins (LH) merupakan barah sistem limfa. Penyakit ini berlaku dalam kanak-kanak dan orang dewasa, terutamanya dalam dekad ketiga kehidupan. Ia merupakan salah satu jenis kanser yang paling berjaya dirawat. Terdapat empat peringkat dalam LH: peringkat I dan II dikenali sebagai peringkat awal, manakala peringkat III dan IV dikenali sebagai peringkat akhir. Berdasarkan faktor-faktor risiko seperti kehadiran ketulan barah yang besar atau simptom-simptom B (seperti berpeluh atau demam pada waktu malam), LH peringkat awal dibahagikan lagi kepada peringkat awal yang baik dan awal yang teruk. Pilihan rawatan bagi LH adalah kemoterapi atau radioterapi atau kedua-duanya. Berbanding dengan kemoterapi, radioterapi berkemungkinan menimbulkan lebih banyak kesan sampingan oleh sebab rawatan, termasuklah barah sekunder; hal ini sekurang-kurangnya boleh diaplikasikan kepada kawasan rawatan yang luas pada masa lepas. Namun begitu, berikutan penggunaan kaedah radioterapi moden yang melibatkan keluasan yang sangat terhad, risiko untuk mendapat kesan sampingan daripada rawatan tersebut telah berkurangan dengan ketara.

Soalan ulasan

Ulasan sistematik ini membandingkan kemandirian menyeluruh (KM) dan kemandirian tanpa pemburukan (KTP) dalam kalangan orang dewasa yang menghidap LH peringkat awal selepas mereka menerima kemoterapi sahaja atau kemoterapi dengan radioterapi.

Ciri-ciri kajian

Kami telah menjalankan carian dalam pangkalan-pangkalan data perubatan yang penting seperti Daftar Pusat Ujikaji Berkawal Cochrane dan MEDLINE. Dua penulis telah melihat, merumuskan dan menganalisis dapatan-dapatan tersebut secara berasingan. Hasilnya, tujuh ujikaji rambang berkawal yang melibatkan sejumlah 2564 peserta telah dimasukkan ke dalam ulasan ini.

Bukti-bukti adalah terkini sehingga Disember 2016.

Keputusan-keputusan utama

Untuk perbandingan antara kemoterapi sahaja dengan kemoterapi dan radioterapi, dengan bilangan kitaran kemoterapi yang serupa dalam setiap kumpulan perbandingan, ulasan sistematik ini tidak menemui perbezaan dalam KM bagi kedua-dua kaedah rawatan. Akan tetapi, dua daripada tujuh kajian berkenaan berpotensi mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi kerana banyak peserta tidak menerima radioterapi sebagaimana yang telah dirancang. Setelah dua kajian tadi dikeluarkan daripada analisis selanjutnya, KM adalah lebih baik dalam kalangan pesakit yang menerima kemoterapi dan radioterapi, jika dibandingkan dengan mereka yang hanya menerima kemoterapi. KTP juga lebih baik dalam kalangan pesakit yang menerima kemoterapi dan radioterapi. Kebanyakan ujikaji melaporkan terdapatnya kesan sampingan (KS), tetapi melalui kaedah yang berlainan. Oleh sebab data yang tidak cukup yang boleh dibandingkan, kami hanya menumpukan perhatian kepada KS yang dianggap mempunyai kepentingan tertentu. Dari segi kematian yang berkaitan dengan jangkitan, barah sekunder dan penyakit jantung, masing-masing tidak menunjukkan sebarang perbezaan antara kedua-dua kaedah rawatan tersebut. Dari segi kadar respons penuh (KRP), tidak terdapat perbezaan antara kedua-dua kaedah rawatan.

Bagi pembandingan antara kedua-dua kaedah rawatan, dengan bilangan kitaran kemoterapi yang berlainan dalam kumpulan-kumpulan perbandungan tersebut, KM hanya dilaporkan dalam satu ujikaji sahaja. Rawatan kemoterapi sahaja berkemungkinan meningkatkan KM berbanding dengan kemoterapi dan radioterapi. Tidak terdapat perbezaan antara kedua-dua kaedah rawatan dari segi KTP. Selepas mengeluarkan satu kajian di mana pesertanya tidak menerima rawatan seperti yang dirancang, kemoterapi dan radioterapi didapati meningkatkan KTP. Dari segi kematian yang berkaitan dengan jangkitan, barah sekunder dan penyakit jantung, masing-masing tidak menunjukkan sebarang perbezaan antara kedua-dua kumpulan rawatan. KRP tidak dilaporkan

Kualiti bukti

Apabila bilangan kitaran kemoterapi dalam kedua-dua kumpulan perbandingan adalah sama, kami telah menilai kualiti bukti bagi KM dan KTP sebagai sederhana, manakala kualiti bukti bagi KS dan KRP sebagai rendah.

Apabila bilangan kitaran kemoterapi dalam kedua-dua lengan adalah berbeza, kami telah menilai kualiti bukti bagi KM, KTP dan KS sebagai rendah.

Kesimpulan

Ulasan sistematik ini membandingkan kesan-kesan kemoterapi sahaja dan kemoterapi dengan radioterapi dalam kalangan orang dewasa yang menghidap LH peringkat awal

Apabila bilangan kitaran kemoterapi adalah serupa dalam kedua-dua lengan, kami menemui bukti berkualiti sederhana bahawa KTP adalah lebih baik dalam kalangan pesakit yang menerima kemoterapi dengan radioterapi jika dibandingkan dengan kemoterapi sahaja. Penambahan radioterapi kepada kemoterapi mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan langsung terhadap KM. Analisis selanjutnya tanpa kajian-kajian yang mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi menunjukkan bahawa kemoterapi dengan radioterapi meningkatkan KM (kedua-dua analisis mengandungi bukti berkualiti sederhana).

Dari segi pembandingan antara kemoterapi sahaja dengan kemoterapi dan radioterapi, dengan bilangan kitaran kemoterapi yang berbeza antara kumpulan, kesan rawatan-rawatan berkenaan kepada KM dan KTP tidak dapat ditentukan oleh sebab kualiti bukti yang rendah bagi dapatan-dapatan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.

Tools
Information