Mesej utama
- Meletakkan pemberat pada pergelangan kaki yang patah dalam masa tiga minggu selepas pembedahan boleh meningkatkan pemulihan. Tetapi ianya mungkin tidak meningkatkan pemulihan secukupnya untuk dianggap penting.
- Menggunakan sokongan pergelangan kaki yang boleh ditanggalkan (yang membolehkan seseorang untuk meregangkan dan melatih pergelangan kaki mereka yang cedera) semasa enam minggu pertama selepas pembedahan mungkin boleh meningkatkan pemulihan. Tetapi, sekali lagi, perbezaannya mungkin tidak cukup penting.
- Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menaksir nilai terapi fizikal dalam pemulihan selepas patah pergelangan kaki.
Patah pergelangan kaki
Patah pergelangan kaki adalah salah satu jenis patah tulang yang paling biasa. Kadang-kadang pembedahan diperlukan untuk membantu memperbaiki tulang yang patah, dan kadang-kadang pergelangan kaki tersebut hanya memerlukan sokongan selama beberapa minggu sementara ianya sembuh. Ia biasanya mengambil kira-kira enam minggu untuk tulang sembuh, tetapi ia boleh mengambil masa yang lebih lama untuk seseorang kembali kepada aktiviti biasa mereka. Pendekatan yang berbeza boleh digunakan dalam tempoh pemulihan ini untuk meningkatkan pergerakan pergelangan kaki atau kekuatan otot, atau kedua-duanya.
Apakah pendekatan yang digunakan untuk meningkatkan pemulihan?
- Penanggungan berat awal atau penanggungan berat yang dilewatkan. Seseorang mungkin digalakkan untuk mula menanggung berat pada pergelangan kaki mereka dalam masa tiga minggu selepas pembedahan. Sebagai alternatif, mereka boleh diminta untuk mengelakkan sepenuhnya dari meletakkan berat pada pergelangan kaki mereka yang cedera selama kira-kira enam minggu pertama.
- Sokongan pergelangan kakii yang boleh ditanggalkan atau sokongan pergelangan kaki yang tidak boleh ditanggalkan Pendakap, splin, atau sokongan pergelangan kaki lain yang boleh ditanggalkan boleh diletakkan mengelilingi pergelangan kaki – ini membolehkan seseorang untuk kerap menanggalkan sokongan untuk meregang dan menggerakkan pergelangan kaki mereka. Sebagai alternatif, acuan boleh dipasang, supaya tidak ada pergerakan pergelangan kaki.
- Terapi fizikal Ini termasuklah pelbagai jenis senaman pergelangan kaki, mungkin dibimbing oleh ahli fisioterapi (atau ahli terapi fizikal yang lain), dan seseorang mungkin perlu menggunakan peralatan tertentu.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada mana-mana pendekatan ini adalah lebih baik daripada yang lain untuk meningkatkan:
- fungsi pergelangan kaki (seberapa baik seseorang boleh melakukan aktiviti yang melibatkan pergelangan kaki, dan isu lain seperti sakit pergelangan kaki atau bengkak);
- kualiti hidup;
- kepuasan terhadap rawatan (betapa berpuas hati seseorang dengan rawatan mereka); dan
- kesakitan.
Kami juga ingin mengetahui sama ada mana-mana pendekatan ini dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk menjalani pembedahan tambahan (pada masa akan datang) pada pergelangan kaki.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat kepada pendekatan yang berbeza untuk meningkatkan pemulihan selepas patah pergelangan kaki. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 53 kajian yang melibatkan 4489 orang dewasa dengan patah pergelangan kaki. Sebilangan besar orang dalam kajian telah menjalani pembedahan untuk membantu memperbaiki tulang, manakala yang lain hanya menggunakan sokongan pergelangan kaki (tanpa pembedahan) dalam masa beberapa minggu pertama selepas kecederaan.
Keputusan utama
Penangungan berat awal berbanding dilewatkan. Penanggungan berat awal selepas pembedahan untuk pergelangan kaki yang patah mungkin menjurus kepada fungsi pergelangan kaki yang sedikit lebih baik (walaupun perbezaannya mungkin tidak cukup besar untuk dianggap penting). Walaupun ia juga boleh menjurus kepada kualiti hidup yang lebih baik, perbezaannya mungkin tidak cukup besar untuk dianggap penting. Kami tidak dapat mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara kedua-dua pendekatan terhadap kepuasan rawatan atau kesakitan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara pendekatan terhadap berapa ramai orang yang memerlukan pembedahan pergelangan kaki tambahan.
Sokongan pergelangan kaki yang boleh ditanggalkan atau sokongan pergelangan kaki yang tidak boleh ditanggalkan (seperti acuan).
- Bagi orang yang menjalani pembedahan selepas kecederaan mereka, sokongan pergelangan kaki yang boleh ditanggalkan boleh menjurus kepada fungsi pergelangan kaki yang lebih baik (walaupun bagi sesetengah orang perbezaan itu mungkin tidak cukup besar untuk dianggap penting). Begitu juga, orang mungkin lebih cenderung untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik (walaupun perbezaannya mungkin tidak selalunya penting). Kami tidak dapat mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan antara jenis sokongan pergelangan kaki dari segi kesakitan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara sokongan pergelangan kaki terhadap keperluan pembedahan pergelangan kaki tambahan.
- Bagi orang yang tidak memerlukan pembedahan, mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan antara jenis sokongan pergelangan kaki terhadap fungsi pergelangan kaki atau kualiti hidup. Kami tidak dapat mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara sokongan pergelangan kaki dari segi kesakitan atau keperluan pembedahan pergelangan kaki pada kemudian hari.
Tiada kajian dalam perbandingan ini yang melaporkan kepuasan rawatan.
Terapi fizikal. Kajian-kajian meneliti jenis-jenis terapi yang semuanya sangat berbeza antara satu sama lain (termasuk program senaman yang berbeza atau peralatan yang berbeza untuk melatih pergelangan kaki). Kajian-kajian kebiasaanya kecil, dan kami tidak dapat mengetahui sama ada salah satu pendekatan adalah lebih baik daripada yang lain. Kajian-kajian ini tidak melaporkan berapa ramai orang yang memerlukan pembedahan kemudiannya.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak boleh selalu yakin dengan bukti kerana orang dalam kajian-kajian ini selalunya tahu pendekatan mana yang digunakan untuk pergelangan kaki mereka. Beberapa penemuan menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan. Beberapa kajian adalah sangat kecil, dan kadang-kadang pendekatannya adalah sangat berbeza antara satu sama lain.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan) Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).