Antibiotik untuk merawat orang dewasa dengan laringitis akut

Soalan ulasan
Penulis-penulis Cochrane telah mengulas bukti sedia ada dari kajian-kajian rawak terkawal tentang penggunaan antibiotik dalam kalangan dewasa dengan laringitis akut.

Latar belakang
Laringitis akut adalah keradangan laring. Simptom-simptom lazim ialah suara serak, demam, sakit tekak, lelehan postnasal dan kesukaran menelan. Antibiotik sering dipreskrib oleh doktor atau dipreskrib sendiri. Alasan terlebih preskrib antibiotik untuk jangkitan saluran pernafasan atas seperti laringitis akut adalah pelbagai tetapi sering melibatkan sikap dan harapan pesakit dan doktor.

Ciri-ciri Kajian
Ulasan ini mendapati tiga kajian melibatkan 351 peserta yang menilai keberkesanan pelbagai terapi antibiotik dalam kalangan dewasa dengan laringitis akut. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2014.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti dari rendah hingga sangat rendah, kerana banyak kajian-kajian mempunyai batasan metodologi, hasil keputusan berdasarkan kepada bilangan kajian yang terhad dan kajian-kajian memasukkan peserta yang tidak dapat digabungkan.

Keputusan utama
Kami mendapati penicillin V dan erythromycin tidak memberi manfaat dalam merawat laringitis akut. Erythromycin boleh mengurangkan gangguan suara pada satu minggu dan batuk pada dua minggu apabila diukur secara subjektif. Fusafungine dapat memperbaiki kadar pesakit yang sembuh pada hari kelima. Secara keseluruhan, tiada manfaat yang jelas untuk hasil utama, iaitu penilaian objektif kualiti suara, tetapi beberapa penambahbaikan dapat dilihat dalam langkah-langkah subjektif seperti batuk, suara serak) yang mungkin penting bagi pesakit. Walau bagaimanapun, kami menganggap manfaat yang sederhana daripada antibiotik ini mungkin tidak melebihi kos, kesan buruk atau akibat negatif bagi corak rintangan antibiotik. Implikasi untuk amalan adalah supaya antibiotik tidak dipreskrib secara rutin kerana cara ini tidak akan memperbaiki gejala laringitis akut secara objektif

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information