Terapi musik untuk skizofrenia dan kecelaruan bak-skizofrenia

Soalan ulasan

Apakah kesan terapi muzik atau penambahan terapi muzik kepada rawatan bagi penghidap skizofrenia dan kecelaruan bak-skizofrenia?

Latar belakang

Ciri-ciri kecelaruan skizofrenia dan kecelaruan bak-skizofrenia ialah kecelaruan pemikiran, perasaan, kepercayaan dan pancaindera. Penghidap skizofrenia biasanya mengalami dua simtom: simtom akut seperti mendengar suara dan melihat sesuatu yang sebenarnya tiada (halusinasi) dan kepercayaan yang tidak masuk akal (delusi), dan simtom kronik seperti berasa muram/murung, mengasingkan diri dan masalah ingatan. Terapi muzik merupakan satu cara rawatan yang menggunakan muzik untuk membantu mereka yang mengalami gangguan mental yang serius meningkatkan daya emosi dan perhubungan, dan menangani masalah yang sukar diatasi dengan mengggunakan kata-kata sahaja.

Pencarian bukti

Kami membuat pencarian elektronik sehingga Januari 2015 tentang ujian yang melibatkan pembahagiaan secara rawak penghidap skizofrenia atau kecelaruan bak-skizofrenia kepada kumpulan terapi muzik atau rawatan biasa. Kami telah menjumpai dan meneliti sebanyak 176 kajian yang berpotensi.

Bukti-bukti yang ditemui

Lapan belas kajian yang melibatkan seramai 1215 peserta memenuhi kriteria ulasan ini dan mengandungi maklumat yang berguna.

Bukti-bukti yang ada buat masa sekarang mempunyai kualiti yang rendah dan sederhana. Keputusan daripada kajian-kajian ini menunjukkan bahawa terapi muzik dapat meningkatkan tahap kesihatan umum pesakit. Terapi muzik turut dapat meningkatkan tahap kesihatan mental, fungsi kehidupan dan kualiti hidup pesakit sekiranya terapi muzik dijalankan dengan bilangan sesi yang mencukupi.

Kesimpulan

Terapi muzik mungkin boleh membantu penghidap skizofrenia. Akan tetapi kajian lanjut diperlukan untuk memastikan kesan positif yang didapati daripada ulasan ini. Kajian lanjut ini perlu mengambilkira kesan jangka panjang terapi muzik, kualiti terapi muzik yang dijalankan dan mengukur hasil yang relevan dangan terrapi muzik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Nor Arifin (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wnarifin@usm.my.

Tools
Information