Ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah karies gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Soalan ulasan

Berkesan dan selamatkah penggunaan ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah kerosakan gigi (karies gigi) dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berbanding plasebo (ubat kumur mulut tanpa bahan aktif fluorida) atau tiada rawatan sama sekali?

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah masalah kesihatan di seluruh dunia yang mempengaruhi ramai orang dewasa dan kanak-kanak. Tahap kerosakan gigi berbeda di antara dan di dalam negara namun kanak-kanak dalam kumpulan sosioekonomi rendah (diukur dengan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan) lebih cenderung mengalami lebih kerosakan gigi. Kerosakan gigi yang tidak dirawat boleh menyebabkan kemusnahan berterusan bahagian atas gigi (korona) dan sering diiringi dengan rasa sakit yang kuat. Pembaikan dan penggantian gigi yang rosak adalah mahal dari sudut masa dan kewangan dan merupakan penyusutan sumber yang utama dalam sistem penjagaan kesihatan.

Mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja merupakan prioriti perkhidmatan pergigian dan dianggap lebih kos efektif daripada rawatan. Penggunaan fluorida, sejenis mineral yang dapat mencegah kerosakan gigi adalah meluas. Fluorida, yang boleh wujud secara semulajadi ditambah ke dalam bekalan air sesetengah kawasan dan diguna dalam kebanyakan ubat gigi dan produk lain yang terdapat pada pelbagai tahap di seluruh dunia. Sebagai bahan pencegahan tambahan, fluorida boleh diaplikasi terus kepada gigi dalam bentuk ubat kumur mulut, lozeng, varnis dan gel.

Ubat kumur mulut berfluorida sering diguna di bawah pengawasan dalam program berasaskan sekolah untuk mencegah kerosakan gigi. Penggunaan ubat kumur mulut berfluoridan yang di awasi (bergantung kepda umur kanak-kanak) atau tanpa pengawasan perlu diguna secara regular untuk memberi kesan. Prosedur yang disyorkan adalah berkumur satu hi9ngga dua minit setiap hari dengan larutan yang mengandungi fluorida kurang pekat atau sekali seminggu atau sekali dalam dua minggu dengan larutan yang lebih pekat. Oleh kerana risiko tertelan lebih fluorida, ubat kumur mulut berfluorida tidak disyorkan untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

Ulasan ini mengemaskini ulasan Cochrane ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang pertama kali diterbitkan dalam tahun 2003. Kami menilai kajian sedia ada untuk Kesihatan Oral Cochrane dan bukti adalah terkini sehingga 22 April 2016.

Ciri kajian

Kami memasukkan 37 kajian yang melibatkan lebih 15,000 kanak-kanak (berumur 6 hingga 14 tahun) yang dirawat dengan ubat kumur mulut berfluorida atau plasebo (ubat kumur mulut tanpa bahan aktif) atau tidak menerima rawatan sama sekali. Semua kajian menilai penggunaan ubat kumur mulut berfluorida di bawah pengawasan di persekitaran sekolah, dengan dua kajian penggunaan dirumah. Kebanyakan kanak-kanak menerima larutan natrium fluorida (NaF) 230 bahagian per juta fluorida (bpj F) setiap hari atau larutan lebih pekat 900 bpj F setiap minggu atau dua minggu sekali. Kajian-kajian berlangsung untuk dua hingga tiga tahun.Laporan diterbitkan di antara 1965 dan 2005, dan kajian-kajian tersebur berlangsung di bebarapa negara.

Keputusan utama

Kemaskini ulasan ini mengesahkan bahawa penggunaan ubat kumur mulut berfluorida di bawah pengawasan secara regular boleh mengurangkan kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Gabungan keputusan yang melibatkan 35 kajian menunjukkan purata pengurangan 27% kerosakan, kehilangan dan tampalan permukaan gigi berbanding plasebo atau tiada penggunaan ubat kumur mulut. Manfaat ini juga boleh didapati jika kanak-kanak menggunakan ubat gigi berfluorida atau menetap di kawasan bekalan air berfluorida. Gabungan keputusan yang melibatkan 13 kajian mendapati purata 23% pengurangan kerosakan gigi, kehilangan gigi dan tampalan gigi (selain permukaan gigi) bagi kegigian kekal dengan penggunaan ubat kumur mulut berfluorida berbanding plasebo atau tidak menggunakan ubat kumur mulut. Tiada kajian yang meninjau kesan kumuran fluorida ke atas gigi susu. Kami mendapati sedikit maklumat tentang kesan sampingan yang tidak diingini atau bagaimana kanak-kanak dapat mengawal penggunaan ubat kumur mulut.

Rumusan

Penggunaan ubat kumur mulut berfluorida secara regular di bawah pengawasan menghasilkan pengurangan yang ketara kerosakan gigi kekal dalam kalangan kanak-kanak. Kami mendapati sedikit maklumat berkenaan potensi kesan buruk dan penerimaan.

Kualiti bukti

Bukti sedia ada untuk gigi kekal adalah berkualiti sederhana. Ini bermaksud kami meyakini secara sederhana tentang saiz kesan. Sangat kurang bukti yang sedia ada untuk menilai kesan butuk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save