Nasihat pemakanan untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular

Diet adalah penentu penting risiko penyakit kronik, terutamanya penyakit jantung. Kajian ini menilai kesan memberikan nasihat pemakanan untuk orang dewasa yang sihat untuk menghasilkan penambahbaikan yang berterusan dalam diet mereka. Faktor-faktor yang berkaitan dengan penyakit jantung juga dikaji untuk menilai sama ada peningkatan pemakanan akan mengurangkan risiko tersebut. Kami mendapati terdapat 44 kajian yang mana orang dewasa yang sihat ditugaskan secara rawak untuk menerima nasihat pemakanan atau tiada nasihat pemakanan. Penambahbaikan dalam diet yang dicadangkan kepada orang dalam kumpulan intervensi memberikan tumpuan terutamanya kepada pengurangan pengambilan garam dan lemak serta peningkatan dalam pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan serat. Nasihat telah disampaikan dalam pelbagai cara, termasuk secara perseorangan, sesi kumpulan dan bahan-bahan bertulis. Terdapat banyak variasi dalam keamatan intervensi yang terdiri daripada satu interaksi bagi setiap peserta kajian sehingga 50 jam kaunseling dalam empat tahun. Tempoh ujian dijalankan antara tiga bulan hingga empat tahun, dengan median tempoh susulan selama 12 bulan. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan keberkesanan yang lebih besar dalam orang yang diberitahu bahawa mereka mempunyai risiko penyakit jantung atau kanser. Peningkatan sederhana ditunjukkan dalam faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular, seperti tekanan darah dan jumlah dan paras LDL-kolesterol. Dalam ujian yang memisahkan kesan-kesan mengikut jantina, wanita lebih cenderung untuk menunjukkan pengurangan yang lebih besar dalam pengambilan lemak. Walau bagaimanapun, bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan sama ada ini boleh diterjemahkan kepada pengurangan yang lebih besar dalam jumlah paras kolesterol. Dua ujian mengikuti orang sehingga 10-15 tahun selepas ujian tamat dan menunjukkan perubahan baik dalam risiko penyakit kardiovaskular yang mungkin menyebabkan pengurangkan insiden penyakit jantung, strok atau serangan penyakit jantung. Namun begitur, lebih banyak bukti diperlukan untuk mengesahkan pencarian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information