Teleperubatan interaktif: kesan terhadap hasil amalan profesional dan penjagaan kesihatan

Latar belakang

Teleperubatan menggunakan sistem telekomunikasi untuk menyampaikan penjagaan kesihatan jarak jauh. Kaedah menyampaikan penjagaan kesihatan ini mungkin memperbaiki hasil kesihatan pesakit, akses kepada penjagaan kesihatan dan mengurangkan kos. Adalah penting untuk memahami impak penjagaan jarak jauh melalui teleperubatan terhadap pesakit, profesional penjagaan kesihatan dan organisasi penjagaan.

Soalan ulasan

Kami menilai keberkesanan, kebolehterimaan, dan kos teleperubatan interaktif, yang disampaikan sebagai tambahan kepada, atau sebagai alternatif kepada penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa sahaja.

Ciri-ciri kajian

Para penyelidik Kolaborasi Cochrane mencari literatur sehingga Jun 2013 dan menemui 93 kajian rawak terkawal yang layak (N = 22,047 peserta). Kajian-kajian tersebut merekrut peserta dengan sebilangan keadaan klinikal: penyakit kardiovaskular (36 kajian), diabetes (21 kajian), keadaan respiratori (sembilan kajian), masalah kesihatan mental atau penyalahgunaan bahan (tujuh kajian), keadaan yang memerlukan perundingan pakar (enam kajian), komorbiditi kompleks (tiga kajian), keadaan urogenital (tiga kajian), kecederaan dan keadaan neurologi (dua kajian), keadaan gastrousus (dua kajian), keadaan neonatal yang memerlukan penjagaan pakar (dua kajian), pesakit yang sedang pulih selepas pemindahan organ (satu kajian) dan kanser (satu kajian).

Teleperubatan menyediakan pemantauan jarak jauh (55 kajian), atau persidangan video masa nyata (38 kajian), yang digunakan bersendirian atau dalam kombinasi. Fungsi utama teleperubatan adalah pelbagai bergantung kepada keadaan klinikal, tetapi biasanya tergolong ke dalam salah satu daripada enam kategori berikut, dengan beberapa pertindihan: i) pemantauan keadaan kronik untuk mengesan tanda kemerosotan awal dan rawatan dan nasihat segera; ii) pemberian rawatan atau pemulihan, contohnya pemulihan angin ahmar; iii) pendidikan dan nasihat untuk pengurusan kendiri; iv) perundingan pakar; v) penilaian masa nyata status klinikal, contohnya penilaian pascabedah selepas operasi kecil; vi) penyaringan untuk kemurungan atau angina.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada perbezaan dalam mortaliti di antara peserta dengan kegagalan jantung yang menerima penjagaan melalui teleperubatan, berbanding mereka yang menerima penjagaan kesihatan tanpa teleperubatan. Keputusan kajian-kajian tersebut berbeza untuk kemasukan ke hospital, dari penurunan relatif 64% hingga peningkatan 60%. Kualiti hidup penyakit khusus meningkat sedikit untuk peserta kegagalan jantung yang menerima teleperubatan berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa sahaja.

Kami mendapati teleperubatan mungkin memperbaiki kawalan glukosa dalam kalangan orang dengan diabetes (perbezaan min (MD) 0.30 mata peratusan mata), tetapi kesan tersebut berbeza di antara kajian-kajian: MD dari -0.72 hingga 0.20 masa peratusan mata pada median sembilan bulan susulan. Kami menemui beberapa bukti untuk penurunan kolesterol LDL, yang dianggap kolesterol ‘buruk’, dalam kalangan peserta yang diperuntukkan kepada teleperubatan berbanding mereka yang diperuntukkan kepada penjagaan biasa (MD -12.45 mg/dL). Kami juga menemui penurunan lebih besar bagi tekanan darah dalam kalangan mereka yang diperuntukkan kepada teleperubatan berbanding mereka yang diperuntukkan kepada penjagaan biasa.

Tujuh kajian yang merekrut peserta dengan pelbagai masalah kesihatan mental dan penyalahgunaan bahan melaporkan tiada perbezaan bagi kesan terapi yang disampaikan melalui persidangan video, berbanding penyampaian bersemuka. Penemuan dari kajian-kajian yang lain adalah bervariasi; terdapat sesetengah bukti pemantauan melalui teleperubatan memperbaiki kawalan tekanan darah dalam kalangan peserta dengan hipertensi, dan sebilangan kajian melaporkan pembaikan untuk mereka dengan keadaan pernafasan. Kajian yang merekrut peserta yang memerlukan perundingan pakar untuk keadaan dermatologi melaporkan tiada perbezaan di antara kumpulan.

Kepastian bukti

Kami dapat merumuskan data dari 16 kajian yang merekrut orang dengan kegagalan jantung (bukti kepastian tinggi hingga sederhana) dan dari 21 kajian yang merekrut orang dengan diabetes (bukti kepastian tinggi hingga rendah). Keputusan dari kajian-kajian tersebut memberi indikasi baik untuk kemungkinan kesan penggunaan teleperubatan untuk menyampaikan penjagaan kesihatan kepada orang dengan keadaan-keadaan tersebut tentang hasil kesihatan. Penemuan dari kajian-kajian lain adalah kurang pasti, akibat jumlah kajian yang relatif kecil yang merekrut peserta dengan keadaan-keadaan klinikal lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information