Terapi psikologi untuk penyakit sel sabit dan kesakitan

Penyakit sel sabit adalah satu kumpulan penyakit gangguan darah. Ia boleh menyebabkan anemia, jika teruk dapat mengurangkan mobiliti. Ia juga boleh menyebabkan saluran darah kecil tersumbat sehingga menyebabkan sakit pada otot dan tulang, dan boleh merosakkan organ utama seperti limpa, hati, ginjal, dan paru-paru. Orang dengan penyakit sel sabit lebih terdedah kepada jangkitan yang teruk. Rawatan biasanya diberi sebagai tindak balas terhadap gejala dan direka untuk mengurangkan kesakitan. Rawatan psikologi untuk membantu orang mengatasi penyakit sel sabit mungkin melengkapkan rawatan perubatan semasa. Terdapat empat jenis rawatan: pendidikan pesakit; terapi kognitif (berkaitan dengan fikiran dan perasaan); terapi tingkah laku (berkaitan dengan tindakan); psikoterapi psikodinamik (bercakap untuk melegakan kesakitan emosi). Pengulas mencari kajian terkawal rawak atau kuasi-rawak yang membandingkan rawatan psikologi antara satu sama lain atau tanpa rawatan dalam penyakit sel sabit. Pengulas memasukkan tujuh kajian dalam tinjauan, dengan lima daripadanya, dengan 260 orang, mempunyai data yang boleh dimasukkan dalam tinjauan. Satu kajian menunjukkan bahawa terapi tingkah laku kognitif mengurangkan bahagian afektif kesakitan (perasaan tentang kesakitan), tetapi bukan bahagian deria (intensiti kesakitan). Kajian lain mengenai terapi ini mempunyai hasil yang tidak inklusif untuk strategi mengatasinya dan tidak menunjukkan perbezaan bagaimana kumpulan yang berbeza menggunakan perkhidmatan kesihatan. Satu kajian yang menggunakan terapi tingkah laku kognitif dengan remaja dan keluarga mereka di rumah tidak menunjukkan sebarang perbezaan jika dibandingkan dengan pendidikan mengenai penyakit sel sabit. Satu kajian pendidikan tidak menunjukkan pengurangan kemurungan. Tambahan pula, satu kajian dalam pendidikan pesakit membantu meningkatkan sikap terhadap pekerja kesihatan dan penggunaan ubat dalam kalangan remaja dan orang dewasa muda. Penulis percaya bahawa pendidikan pesakit nampaknya relevan untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa muda, sementara kaedah untuk meningkatkan kemampuan untuk mengatasi dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa adalah penting. Walau bagaimanapun, hasil ini mungkin tidak digunapakai untuk semua peringkat umur, tahpa keparahan klinikal, jenis kesakitan (akut atau kronik) yang dihidapi oleh orang yang mempunyai penyakit sel sabit, atau di negara mereka tinggal. Lebih banyak kajian masih perlu dijalankan dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save