Cochrane menghasilkan satu siri ulasan untuk membantu para pembuat keputusan untuk bertindak balas terhadap wabak COVID-19. Ini terus dikemas kini ketika bukti baru muncul dan versi keempat tentang ulasan hidup plasma pemulihan dan imunoglobulin hiperimun untuk pesakit COVID-19 telah diterbitkan pada Mei 2021. Penemuan terbaru dijelaskan dalam fail media digital ini.
Cochrane menghasilkan satu siri ulasan untuk membantu para pembuat keputusan untuk bertindak balas terhadap wabak COVID-19. Ini terus dikemas kini ketika bukti baru muncul dan versi keempat tentang ulasan hidup plasma pemulihan dan imunoglobulin hiperimun untuk pesakit COVID-19 telah diterbitkan pada Mei 2021. Penemuan terbaru dijelaskan dalam fail media digital ini.
Plasma penyembuhan dan imunoglobulin hiperimun berasal dari pesakit yang telah pulih dari jangkitan, seperti COVID-19, dan diberikan kepada pesakit lain yang mendapat jangkitan bagi mencuba merawat mereka. Ia telah digunakan untuk pelbagai jangkitan virus, seperti influenza, Sindrom Pernafasan Akut Teruk, atau SARS, dan Ebola, di mana ia dapat mengurangkan risiko kematian. Harapannya adalah bahawa plasma yang pemulihan akan mengubati penyakit ini melalui proses yang disebut imunisasi pasif, yang akan meningkatkan sistem imun penerima dan membantu mengeluarkan virus.
Ulasan Cochrane yang hidup ini sedang menyiasat sama ada rawatan ini berkesan dan selamat. Para penyelidik mencari kajian dari mana saja di dunia, yang melibatkan pesakit dengan sebarang tahap keparahan COVID-19.
Pada masa kemas kini Mei 2021, masih belum ada kajian lengkap mengenai imunoglobulin hiperimun tetapi ulasan ini kini merangkumi 13 kajian mengenai plasma pemulihan, di mana 12 daripadanya adalah kajian rawak dan satu adalah kajian akses diperluas yang menyiasat kesan sampingan. Secara keseluruhan, lebih daripada 48,000 orang mengambil bahagian dalam kajian ini, dengan 41,000 orang menerima plasma pemulihan.
Terdapat data untuk hampir 13,000 peserta kajian dengan penyakit sederhana hingga teruk. Ini menunjukkan bahawa plasma pemulihan tidak mengurangkan semua penyebab kematian bagi pesakit-pesakit ini, sekurang-kurangnya dalam 28 hari pertama setelah diberikan, dan ia tidak banyak memberi kesan pada peningkatan atau kemerosotan keadaan pesakit.
Bagi orang dengan penyakit ringan, hanya ada satu kajian dengan 160 peserta, yang bermaksud bahawa bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan kematian atau perkembangan gejala COVID-19 yang teruk.
Berbalik kepada keselamatan, objektif utama ulasan adalah untuk menyelidiki keselamatan dalam plasma dan kumpulan kawalan dalam kajian rawak, tetapi hanya lima kajian yang melaporkan hal ini untuk kira-kira 1100 pesakit. Jumlah ini terlalu kecil untuk memastikan keselamatan relatif terapi plasma pemulihan dan, oleh itu, kajian akses yang diperluas yang mengandungi 20,000 peserta telah dimasukkan. Ini membolehkan pasukan Cochrane menyiasat insiden tentang kejadian berkaitan transfusi yang disebabkan oleh transfusi plasma pemulihan dan menunjukkan bahawa kira-kira 6% peserta mengalami kejadian buruk yang serius.
Kesimpulannya, ulasan Cochrane versi Mei 2021 ini mengandungi bukti berkepastian tinggi mengenai ketidakberkesanan plasma pemulihan untuk pesakit yang dirawat di hospital dengan penyakit COVID-19 sederhana hingga teruk. Secara keseluruhan, ia tidak mengurangkan kematian pada pesakit ini, tidak banyak memberi kesan pada peningkatan klinikal dan bukti keselamatan tidak dapat dipastikan.
Masih ada keperluan untuk bukti secara rawak mengenai kesan plasma pemulihan dalam keadaan lain, terutama bagi pesakit dengan penyakit ringan dan untuk subkumpulan seperti mereka yang mengalami kekurangan daya tahan. Penyelidikan juga adalah diperlukan untuk keberkesanan dan keselamatan imunoglobulin hiperimun.
Sebilangan bukti ini adalah sedang dalam perjalanan. Terdapat lebih daripada 100 kajian yang sedang dijalankan, di antaranya 10 menguji imunoglobulin hiperimun, 25 kajian telah menghentikan penyertaan tetapi belum diterbitkan dan dua kajian platform mungkin menambah bahagian rawatan plasma pemulihan atau imunoglobulin hiperimun. Terdapat juga empat kajian yang menerbitkan hasil setelah versi ulasan ini selesai.
Kesimpulan: "Sekiranya anda ingin membaca ulasan versi terkini ini dan melihat kemas kini akan datang, ia tersedia atas talian secara percuma di Cochrane Library dot com. Pencarian untuk "plasma pemulihan" akan menghasilkan pautan ke ulasan."
Dirakam Muhammad Faiz Mohd Adenan dari University of New South Wales, Sydney. Diterjemah oleh Nila Pillai dari Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin dari Universiti Sains Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.