Podcast : Penjagaan paliatif awal untuk pesakit kanser peringkat lanjut

Bagi sesetengah pesakit kanser, penyakit mereka sudah berada pada tahap yang sangat lanjut ketika ianya dikesan dan rawatan anti kanser mungkin tidak dapat untuk menyembuhkan mereka. Namun demikian, pesakit ini masih boleh mendapat manfaat daripada penjagaan paliatif. Dalam Ulasan Cochrane bulan Jun 2017, Markus Haun dan rakan-rakannya dari Hospital Universiti Heidelberg di Jerman telah menyiasat kesan perkhidmatan rawatan paliatif pada permulaan masa diagnosis kanser peringkat lanjut dikenal pasti. Dalam fail media digital ini beliau memberitahu kami apa yang mereka dapati.

- Baca transkrip

Selamat sejahtera, saya Wong Chun Hoong dari International Medical University, menterjemahkan dan merakamkan fail media digital ini. Disunting oleh Azlan Husin dari Universiti Sains Malaysia.

Bagi sesetengah pesakit kanser, penyakit mereka sudah berada pada tahap yang sangat lanjut ketika ianya dikesan dan rawatan anti kanser mungkin tidak dapat untuk menyembuhkan mereka. Namun demikian, pesakit ini masih boleh mendapat manfaat daripada penjagaan paliatif. Dalam Ulasan Cochrane bulan Jun 2017, Markus Haun dan rakan-rakannya dari Hospital Universiti Heidelberg di Jerman telah menyiasat kesan perkhidmatan rawatan paliatif pada permulaan masa diagnosis kanser peringkat lanjut dikenal pasti. Dalam fail media digital ini beliau memberitahu kami apa yang mereka dapati.

Walaupun kanser dikenal pasti pada peringkat lanjut di mana ia mungkin tidak lagi bertindak terhadap rawatan, sesetengah pesakit masih berhasrat untuk mencuba rawatan antikanser walaupun mereka tahu bahawa mereka mungkin mengalami kesan sampingan tanpa mendapatkan sebarang manfaat. Jika rawatan ini tidak membantu, pesakit mungkin ditawarkan penjagaan paliatif sehingga ke akhir hayat. Namun demikian, pesakit mungkin juga dapat menerima rawatan paliatif lebih awal, bermula pada masa, atau tidak lama selepas penyakit kanser peringkat lanjut itu telah dikenal pasti. Penjagaan paliatif awal ini, yang menggabungkan rawatan antikanser seperti kemoterapi atau radioterapi; melibatkan komunikasi empati dengan pesakit mengenai prognosis, perancangan rawatan awal; penilaian dan kawalan gejala yang berkaitan.

Adalah penting untuk mempunyai maklumat yang boleh dipercayai mengenai kesan strategi ini untuk menyokong proses membuat keputusan. Penyelidik membuat ulasan ini untuk menilai bukti sama ada penjagaan paliatif awal dapat membantu kualiti hidup, intensiti gejala, kemurungan dan kelangsungan hidup dalam kalangan pesakit; apabila dibandingkan dengan penjagaan kanser seperti mana biasa.
Penyelidik memasukkan tujuh kajian rawak yang melibatkan lebih dari 1600 peserta, yang menunjukkan bahawa penjagaan paliatif awal dapat meningkatkan kualiti hidup secara kecil dan juga menurunkan intensiti gejala secara kecil. Kesan terhadap kelangsungan hidup dan kemurungan adalah tidak jelas. Namun demikian, terdapat kurang maklumat yang diberikan untuk kesan sampingan dan keseluruhan bukti kepastian adalah pada tahap antara sangat rendah hingga rendah; ini disebabkan oleh bilangan kajian yang kecil, cara kajian dilakukan dan perbezaan antara kajian-kajian berkenaan.

Oleh itu, walaupun ulasan oleh penyelidik menunjukkan bahawa intervensi penjagaan paliatif awal mungkin mendatangkan kesan yang berfaedah terhadap kualiti kehidupan dan intensiti gejala dalam kalangan pesakit dengan kanser peringkat lanjut berbanding dengan penjagaan kanser piawaian atau biasa sahaja; kita harus mentafsirkan perolehan ini dengan berhati-hati. Pada catatan yang lebih positif, penyelidik juga menemui 10 kajian tambahan yang masih perlu diperiksa dengan teliti dan terdapat sekurang-kurangnya 20 kajian rawak yang masih berjalan dalam bidang ini. Hasil yang akan datang dari kajian-kajian ini boleh meningkatkan kepastian penemuan-penemuan penyelidik dan dapat memperbaiki proses membuat keputusan. Pada masa yang sama, kita perlu ingat bahawa penjagaan paliatif awal adalah satu bidang yang baru muncul dan ianya memerlukan kajian yang dijalankan dengan baik supaya dapat menjelaskan komponen penjagaan ini, dan melaporkan kedua-dua kesannya, bermanfaat dan berbahaya.

Sekiranya anda ingin membaca lebih lanjut tentang bukti mengenai tujuh kajian rawak dalam ulasan oleh Markus; untuk melihat kajian yang menyumbangkan kemajuan terkini atau untuk mengawasi kemaskini tersebut; anda boleh mencari ulasan atas talian. Carilah 'Cochrane dan penjagaan paliatif awal' untuk menghubungkannya.

Tutup transkrip