Langkau ke kandungan utama

Adakah antibiotik intravena menambah baik eksaserbasi (serangan akut) paru-paru pada pesakit fibrosis sista?

Mesaj utama

– Antibiotik intravena (diberikan melalui vena) lazimnya digunakan untuk merawat gejala fibrosis sista, namun tanggapan yang menyatakan bahawa eksaserbasi adalah disebabkan oleh peningkatan jumlah bakteria di dalam paru-paru telah mula dipersoalkan.

– Kami telah menilai pelbagai jenis antibiotik sama ada sebagai ubat tunggal atau kombinasi ubatan, serta cara pemberian ubat (intravena, sedutan (dihirup) atau oral (melalui mulut)). Kami tidak menemui sebarang perbezaan dalam hasil dapatan klinikal pada aspek semisal fungsi paru-paru atau jangka masa sehingga serangan akut seterusnya dalam mana-mana jenis rawatan, kecuali bagi sebahagian individu yang menunjukkan tindak balas awal terhadap rawatan di mana tempoh rawatan yang lebih singkat mungkin sesuai.

Apakah itu fibrosis sista dan apakah eksaserbasi?

Fibrosis sista adalah suatu penyakit keturunan yang diwarisi di mana mukus yang dihasilkan oleh badan menjadi melekit dan seterusnya menjejaskan fungsi serta cara kerja organ-organ di dalam tubuh badan. Paru-paru dan saluran pernafasan barang kali adalah organ yang paling terjejas dalam individu yang menghidap penyakit fibrosis sista. Mukus yang melekit menyukarkan pengeluaran bakteria (kuman) yang boleh menyebabkan jangkitan. Hal yang demikian dipercayai boleh mengakibatkan serangan akut penyakit paru-paru, yakni dikenali sebagai eksaserbasi pulmonari. Eksaserbasi ini boleh dirawat dengan antibiotik (ubat yang membunuh bakteria), namun, lama-kelamaan, kuman tersebut mungkin tidak dapat dibasmi sepenuhnya dan jangkitan boleh berlaku buat jangka masa yang lama (kronik).

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin melihat bukti yang wujud bagi amalan semasa menggunakan antibiotik intravena (diberikan melalui vena) untuk merawat pesakit fibrosis sista yang mengalami eksaserbasi. Kami ingin mengetahui sama ada pemberian dua jenis antibiotik yang berbeza adalah lebih baik berbanding satu jenis antibiotik sahaja dan ingin mempertimbangkan sama ada kombinasi antibiotik tertentu adalah lebih baik daripada yang lain. Kami juga ingin mengetahui sama ada antibiotik intravena lebih berkesan berbanding antibiotik yang disedut (melalui aerosol) atau antibiotik oral (melalui mulut) dalam merawat eksaserbasi pulmonari dalam kalangan pesakit fibrosis sista.

Apa yang kami lakukan?

Kami melihat kajian melibatkan pesakit fibrosis sista yang dimasukkan ke hospital akibat eksaserbasi dan kajian yang membandingkan rawatan menggunakan sebarang dos antibiotik intravena (sama ada satu jenis antibiotik sahaja atau gabungan pelbagai jenis) dengan plasebo (rawatan palsu tanpa ubat aktif) atau antibiotik intravena jenis lain, antibiotik sedutan, serta antibiotik oral. Kami tidak mrlihat kajian yang membandingkan dos berbeza bagi antibiotik yang sama.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang ada berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 45 kajian yang melibatkan 2810 orang. Kebanyakan kajian adalah berskala kecil, agak lama dan berlangsung antara tiga hingga 15 hari. Kajian-kajian tersebut sering kali tidak memberikan maklumat yang kami cari. Terdapat pelbagai reka bentuk kajian; beberapa kajian membandingkan satu jenis antibiotik intravena dan gabungan pelbagai antibiotik intravena dengan plasebo. Beberapa kajian membandingkan antibiotik intravena tunggal dengan gabungan antibiotik intravena atau membandingkan gabungan antibiotik intravena yang berbeza (ubat yang berbeza atau tempoh rawatan yang berbeza); manakala kajian-kajian yang lain membandingkan antibiotik intravena dengan antibiotik oral atau sedutan.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada sebarang antibiotik atau gabungan antibiotik yang dibandingkan menunjukkan fungsi paru-paru yang lebih baik. Kami mendapati maklumat yang terhad mengenai jangka masa hingga eksaserbasi seterusnya dan tiada rawatan jelas yang lebih baik untuk hal ini juga. Satu kajian dalam kalangan orang yang bertindak balas awal terhadap rawatan menunjukkan bahawa tempoh antibiotik yang lebih pendek berfungsi sebaik tempoh yang lebih panjang. Hanya satu kajian melaporkan tentang kualiti hidup dan menunjukkan tiada perbezaan antara gabungan antibiotik sedutan dan intravena dengan gabungan dua antibiotik intravena yang berbeza. Bukti mengenai kesan sampingan yang tidak diingini adalah tidak jelas; kebanyakan kesan sampingan yang dilaporkan berkaitan dengan masalah penghadaman atau hati. Kami tidak menemui sebarang bukti mengenai kesan rawatan yang berbeza terhadap berat badan. Kami menemui bukti terhad bahawa tempoh rawatan antibiotik yang lebih panjang adalah setara dengan tempoh yang lebih pendek.

Apakah batasan bukti ini?

Keyakinan kami terhadap keputusan kajian yang disertakan bervariasi dari tahap tinggi hingga sangat rendah dan banyak kajian yang tidak dilaporkan secara lengkap. Beberapa kajian menyertakan orang yang sama lebih daripada sekali mengakibatkan perbandingan antara rawatan menjadi sukar. Berdasarkan maklumat yang diberikan, sering kali sukar untuk ditentukan sebaik manakah kajian-kajian tersebut dijalankan – terutamanya berkenaan dengan cara pemilihan peserta dan sama ada peserta atau doktor mengetahui rawatan manakah yang diberikan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu. Carian bukti terakhir adalah pada 19 Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mohamad Nur Firdaus Zulkifli (Universiti Malaya). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Hurley MN, Smith S, Flume P, Jahnke N, Prayle AP. Intravenous antibiotics for pulmonary exacerbations in people with cystic fibrosis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD009730. DOI: 10.1002/14651858.CD009730.pub3.