Mesej utama
– Kajian disertakan dalam ulasan ini mencadangkan ujian molekul (berdasarkan molekul yang membawa arahan genetik yang digunakan dalam pertumbuhan, perkembangan, fungsi dan pembiakan daripada bakteria) mungkin merupakan ujian tambahan yang sangat membantu dalam pengesanan jangkitan darah (sepsis) dalam kalangan bayi kerana ia memberikan keputusan yang pantas.
– Menggunakan ujian molekul boleh membantu kita berhenti menggunakan antibiotik dalam kalangan bayi tanpa jangkitan darah dengan lebih cepat kerana keputusannya lebih cepat daripada kultur darah (ujian yang memeriksa bakteria atau kuman yang lain dalam darah). Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut diperlukan untuk membuktikannya.
Mengapakah penambahbaikan diagnosa sepsis dalam kalangan bayi penting?
Kaedah semasa untuk mengesan jangkitan (penyakit yang disebabkan oleh kuman) dalam kalangan bayi baru lahir adalah dengan mendapatkan darah atau cecair badan yang lain (atau kedua-duanya) dan kultur (tumbuh) bakteria (kuman) di dalam makmal. Walau bagaimanapun, kaedah kultur gagal mengenalpasti beberapa jangkitan dan mengambil masa yang lama untuk menghasilkan keputusan (48 hingga 72 jam). Kami mempunyai ujian molekul baharu untuk mengesan jangkitan. Ujian molekul adalah pantas dan mungkin lebih tepat dalam mengesan jangkitan dibandingkan kaedah kultur tradisional.
Apakah ujian molekul?
Ujian molekul adalah berdasarkan pengesanan DNA (molekul yang membawa arahan genetik yang digunakan dalam pertumbuhan, perkembangan, fungsi dan pembiakan) daripada bakteria dan organisma lain yang menyebabkan jangkitan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ujian molekul mengesan jangkitan lebih baik daripada kaedah kultur piawai dalam kalangan bayi baru lahir.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat ketepatan ujian molekul untuk mengesan jangkitan pada bayi baru lahir. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 74 kajian yang membandingkan kaedah molekul dengan kaedah kultur. Kami hanya boleh menggunakan data daripada 68 kajian, yang memasukkan 14,309 bayi.
Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa kaedah molekul boleh mempunyai ketepatan sederhana dalam pengesanan jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir . Ujian molekul mungkin merupakan ujian tambahan yang sangat membantu dalam mendiagnosa jangkitan darah kerana ia memberikan keputusan yang pantas.
Walaupun terdapat beberapa isu dengan pemilihan bayi baru lahir untuk ulasan ini, secara keseluruhan, kaedah-kaedah yang digunakan oleh kajian-kajian adalah mencukupi.
Apakah batasan bukti?
Kajian yang disertakan membuat diagnosa jangkitan menggunakan kultur darah konvensional (ini dipanggil piawai rujukan). Tidak jelas sama ada ini mengesan dengan betul semua bayi baru lahir dengan jangkitan. Kami menyertakan kajian dalam tempoh yang panjang (1997 hingga 2022) dan kaedah yang digunakan mungkin telah berubah, yang boleh menjelaskan mengapa keputusan adalah berbeza antara kajian. Ada kemungkinan bahawa kajian dengan ketepatan yang lemah tidak diterbitkan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.
Sumber pembiayaan kajian
Tiada kajian yang menerima dana.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).