Langkau ke kandungan utama

Adakah latihan kardiovaskular melegakan keletihan berkaitan kanser sebelum, semasa, atau selepas terapi antikanser?

Mesej utama

  • Latihan kardiovaskular semasa terapi antikanser berkemungkinan mengurangkan sedikit keletihan berkaitan kanser sehingga 12 minggu.

  • Kesan jangka panjang latihan kardiovaskular terhadap keletihan berkaitan kanser dan kualiti hidup adalah tidak pasti dan tiada bukti mengenai kesan latihan kardiovaskular sebelum terapi antikanser.

  • Kami menemui hampir 50 kajian mengenai latihan kardiovaskular sebelum, semasa , dan selepas rawatan kanser yang sedang dijalankan dan ini akan menambah kepada bukti apabila hasilnya diterbitkan.

Apakah keletihan berkaitan kanser?

Keletihan berkaitan kanser ialah rasa letih yang melampau dalam tempoh masa yang panjang. Ia boleh disebabkan oleh rawatan kanser atau kanser itu sendiri. Ia adalah simptom yang paling biasa di kalangan orang dengan kanser. Ia tidak dapat dihilangkan dengan rehat, dan menjejaskan tubuh dan minda.

Apakah itu latihan kardiovaskular?

Latihan kardiovaskular ialah sebarang aktiviti yang menggunakan kumpulan otot besar di bahagian punggung dan paha, serta meningkatkan kadar degupan jantung dan pernafasan . Contohnya adalah berjalan, berlari, berbasikal dan berenang.

Mengapakah latihan kardiovaskular mungkin berkesan untuk keletihan berkaitan kanser?

Keletihan berkaitan kanser dikaitkan dengan tindak balas badan terhadap sitokin, yang mengawal cara tisu dan organ meningkat dalam size (dikenali sebagai pertumbuhan sel). Kanser atau terapi kanser mungkin menghasilkan protein yang dikenali sebagai sitokin pro-radang, yang menyebabkan atau memburukkan keradangan (tindak balas badan terhadap kecederaan atau penyakit, yang termasuk gejala seperti bengkak dan sakit). Latihan kardiovaskular boleh membantu mengurangkan keradangan.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada latihan kardiovaskular mengurangkan keletihan berkaitan kanser berbanding tiada latihan. Kami meneroka kesannya dalam jangka pendek (sehingga 12 minggu), sederhana (sehingga enam bulan), dan panjang (lebih daripada enam bulan). Kami juga meneliti kualiti hidup, kesan tidak diingini , kebimbangan dan kemurungan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik latihan kardiovaskular sebelum, semasa, atau selepas terapi antikanser berbanding tiada latihan. Kajian-kajian ini perlu menilai keletihan berkaitan kanser atau kualiti hidup, atau kedua-duanya. Latihan kardiovaskular tersebut perlu merangkumi sekurang-kurangnya lima sesi senaman dan perlu disampaikan melalui arahan secara bersemuka (sama ada melalui video atau secara fizikal). Kami tidak mengambil kira kajian dengan kurang daripada 20 orang setiap kumpulan, atau yang tersedia dalam bentuk ringkasan pendek sahaja.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 23 kajian dengan 2135 orang. Kebanyakan kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi (97%; di mana orang mempunyai akses mudah kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti baik). Seramai 1101 orang menerima latihan kardiovaskular dan 1034 orang tidak menerima latihan. Orang terlibat dalam kajian tersebut kebanyakannya adalah wanita dan menghidap kanser payudara .

Kami juga menemui 36 kajian yang sedang dijalankan dan 12 kajian yang telah selesai yang belum diterbitkan.

Keputusan utama

Tiada kajian membandingkan latihan kardiovaskular sebelum terapi antikanser dengan tiada latihan. Kami memasukkan 10 kajian mengenai latihan kardiovaskular semasa terapi antikanser, namuni hanya boleh menggunakan keputusan daripada lapan kajian tersebut. Untuk latihan kardiovaskular selepas terapi antikanser berbanding tiada latihan, kami menemui 13 kajian untuk dimasukkan, namun hanya boleh menggunakan keputusan daripada sembilan kajian tersebut.

Latihan kardiovaskular semasa terapi antikanser berbanding tanpa latihan:

  • mungkin mengurangkan sedikit keletihan berkaitan kanser jangka pendek (6 kajian, 593 orang);

  • mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup jangka pendek (6 kajian, 612 orang);

  • kita tidak tahu sama ada latihan kardiovaskular meningkatkan atau mengurangkan keletihan berkaitan kanser jangka sederhana dan jangka panjang dan kualiti hidup , dan sebarang kesan tidak diingini .

Latihan kardiovaskular selepas terapi antikanser berbanding tiada latihan:

  • kami tidak tahu sama ada latihan kardiovaskular meningkatkan atau mengurangkan keletihan berkaitan kanser jangka pendek dan jangka panjang dan kualiti hidup , dan sebarang kesan tidak diingini .

  • kami tidak menemui sebarang data untuk keletihan berkaitan kanser jangka sederhana dan kualiti hidup.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti mengenai kesan latihan kardiovaskular semasa terapi antikanser terhadap keletihan berkaitan cancer jangka pendek dan kualiti hidup . Keyakinan kami terhadap bukti lain adalah sangat rendah kerana terdapat kajian yang lebih sedikit atau lebih kecil, dan peserta mengetahui rawatan yang mereka terima. Tiada bukti mengenai latihan kardiovaskular sebelum terapi antikanser dan latihan kardiovaskular selepas terapi antikanser terhadap keletihan berkaitan kanser jangka sederhana dan kualiti hidup .

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti kami adalah terkini sehingga 16 Oktober 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Wagner C, Ernst M, Cryns N, Oeser A, Messer S, Wender A, Wiskemann J, Baumann FT, Monsef I, Bröckelmann PJ, Holtkamp U, Scherer RW, Mishra SI, Skoetz N. Cardiovascular training for fatigue in people with cancer. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD015517. DOI: 10.1002/14651858.CD015517.