Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko ubat-ubatan untuk plasenta kekal selepas kelahiran faraj?

Mesej utama

  • Uterotonik (ubat-ubatan yang digunakan untuk menyebabkan kontraksi rahim) tidak lebih berkesan daripada plasebo (rawatan berpura-pura) atau tanpa rawatan bagi mengelakkan penyingkiran plasenta secara manual (penyingkiran plasenta dengan memasukkan tangan ke dalam rahim), dan mungkin tidak mengurangkan pendarahan teruk atau keperluan untuk pemindahan darah (di mana darah diambil dari penderma dan disuntik ke dalam orang yang telah kehilangan banyak darah).

  • Jenis ubat-ubatan ini yang berbeza mungkin tidak banyak perbezaan dalam mengelakkan penyingkiran plasenta secara manual dan tidak mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah.

  • Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan cara terbaik untuk menguruskan plasenta kekal.

Apakah itu plasenta kekal?

Plasenta terbentuk dalam rahim semasa hamil menyediakan oksigen dan nutrien kepada bayi melalui saluran darah di tali pusat. Biasanya, plasenta dikeluarkan sejurus selepas bayi dilahirkan. Plasenta kekal berlaku apabila plasenta tidak keluar sendiri dalam masa 30 hingga 60 minit selepas melahirkan bayi. Ini boleh mengakibatkan pendarahan yang berbahaya bagi ibu.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan uterotonik (yang menyebabkan rahim berkontrak; contohnya, misoprostol, carbetocin, dan oksitosin) dapat membantu mengeluarkan plasenta kekal tanpa wanita memerlukan pembedahan. Kami juga ingin melihat sama ada ubat-ubatan ini mengurangkan komplikasi seperti berdarah teruk atau keperluan untuk pemindahan darah (di mana darah diambil dari penderma dan disuntik ke dalam orang yang telah kehilangan banyak darah).

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan ubat uterotonik yang berbeza antara satu sama yang lain, dengan plasebo, atau tanpa rawatan untuk plasenta kekal. Kami melihat dan meringkaskan hasilnya, kemudian menilai betapa yakin kami dalam bukti dengan mempertimbangkan perkara seperti kaedah kajian dan bilangan orang.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati lima kajian yang melibatkan 560 wanita dengan plasenta kekal Dalam empat kajian, wanita ditugaskan secara rawak ke dua atau tiga kumpulan rawatan, dan dalam satu kajian, wanita tidak diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Kajian ini memberi tumpuan kepada wanita pada akhir kehamilan.

Keputusan utama

  • Uterotonik mungkin tidak lebih berkesan daripada plasebo atau tanpa rawatan dalam mengurangkan keperluan penyingkiran plasenta secara manual, dan mungkin tidak banyak berbeza untuk pendarahan teruk atau keperluan untuk pemindahan darah. Kami tidak pasti bagaimana ubat-ubatan ini mempengaruhi jumlah kehilangan darah.

  • Kami tidak pasti tentang kesan misoprostol pada kegigilan (kesan kehilangan darah yang tidak diingini).

  • Carbetocin ke dalam vena (saluran darah) mungkin tidak mengurangkan keperluan penyingkiran plasenta secara manual dan mungkin tidak mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah berbanding dengan misoprostol yang diberikan di bawah lidah.

  • Misoprostol yang diberikan di bawah lidah mungkin tidak banyak berbeza dengan keperluan penyingkiran plasenta secara manual dan mungkin tidak mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah berbanding dengan oksitosin ke dalam vena di tali pusat.

  • Carbetocin ke dalam urat mungkin tidak mengurangkan keperluan penyingkiran plasenta secara manual dan mungkin tidak membuat sedikit perbezaan untuk mengurangkan pemindahan darah berbanding dengan oksitosin ke dalam vena di tali pusat.

  • Kita tidak tahu sama ada pemberian oksitosin ke dalam vena mempunyai kesan terhadap keperluan penyingkiran plasenta secara manual berbanding dengan oksitosin ke dalam urat di tali pusat.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti berbeza dari tiada hingga sederhana, yang bermaksud penyelidikan masa depan dapat mengubah kesimpulan kita. Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, banyak kajian mempunyai masalah dengan cara mereka direka atau dijalankan, yang mempengaruhi kepercayaian hasilnya. Sebagai contoh, ada kemungkinan wanita dalam kajian menyedari rawatan mana yang mereka dapatkan. Kedua, hasilnya adalah sangat berbeza dalam kajian yang berbeza. Akhirnya, kami hanya menemui beberapa kajian dan sebahagian daripadanya adalah sangat kecil dengan jumlah wanita yang agak sedikit.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga 25 April 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Sothornwit J, Ngamjarus C, Pattanittum P, Waidee T, Jampathong N, Jongjakapun A, Kongwattanakul K, Lumbiganon P. Uterotonics for management of retained placenta. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 10. Art. No.: CD016147. DOI: 10.1002/14651858.CD016147.