Mesej utama
- Refluks adalah masalah yang sering berlaku dalam kalangan bayi pramatang
- Bukti semasa tidak menyokong atau menyangkal keselamatan dan keberkesanan pengunaan perencat pam proton (PPI) untuk rawatan refluks dalam kalangan bayi pramatang.
Apakah refluks gastroesofagus, dan bagaimana ia berbeza denagan penyakit refluks gastroesofagus?
Refluks gastroesofagus berlaku apabila kandungan perut mengalir kembali ke esofagus (saluran yang meghubungkan kerongkong ke perut). Ia adalah masalah yang sering berlaku dalam kalangan bayi pramatang. Bayi pramatang lebih cenderung mengalami refluks kerana mereka mempunyai sambungan yang lebih longgar di tempat perut bersambung dengan esofagus. Mereka selalu mempunyai tiub pemakanan yang telah dipasang, yang melalui mulut atau hidung mereka ke dalam perut, yang boleh membuka sambungan ini dengan lebih lanjut.
Penyakit refluks gastroesofagus (GERD) akan dipertimbangkan apabila refluks menyebabkan simptom, seperti pertambahan berat badan yang tidak memuaskan, intoleransi pemakanan, dan kesakitan.
GERD boleh mengakibatkan simptom yang lain pada bayi pramatang, seperti apnea (jeda semasa bernafas), bradikardia (kadar denyutan jantung yang perlahan), atau desaturasi (penurunan jumlah oksigen dalam darah). Saluran penghadaman atas mengandungi sensor yang boleh menyebabkan penurunan kadar denyutan jantung atau oksigen apabila diaktifkan. Sensor-sensor ini lebih sensitif dalam kalangan bayi pramatang, dan refluks boleh mencetuskannya.
Bagaimanakah penyakit refluks gastroesofagus dirawat?
Rawatan yang paling biasa untuk GERD ialah: mengubah kedudukan bayi semasa atau selepas menyusu; menukar jenis atau kekentalan rumusan bayi mereka; atau menggunakan ubat yang mengurangkan asid dalam kandungan perut mereka. PPI adalah ubat yang digunakan secara meluas untuk populasi ini, tetapi mereka mempunyai kesan-kesan sampingan , seperti peningkatan risiko jangkitan, peradangan usus, perubahan dalam ketumpatan tulang, dan obesiti kanak-kanak. Tidak ada banyak kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan PPI untuk merawat GERD pada bayi pramatang.
Apa yang kami ingin ketahui?
Sejauh manakah keselamatan dan keberkesanan PPI pada bayi pramatang yang didiagnosis dengan GERD?
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian dalam kesusasteraan perubatan yang menilai penggunaan PPI pada bayi pramatang yang dirawat di hospital dan didiagnosis dengan GERD.
Apakah yang kami temui?
Selepas menyaring 1217 artikel, dua kajian memenuhi kriteria kami. Mereka merangkumi sejumlah 62 bayi pramatang, yang berusia antara 31 hingga 36 minggu kehamilan. Satu daripada kajian tersebut secara rawak (di mana semua bayi mempunyai peluang yang sama untuk menerima salah satu rawatan) memperuntukkan bayi untuk menerima PPI atau plasebo (ubat palsu) selama tujuh hari, dan kemudian menukar rawatan untuk tujuh hari berikutnya. Kajian kedua secara rawak memperuntukkan bayi untuk menerima PPI atau plasebo selama 14 hari. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan banyak hasil yang menjadi minat kami, dan kami tidak dapat mengumpulkan data daripada hasil yang mereka laporkan.
Keputusan Utama
Dua kajian tersebut menunjukkan sedikit atau tiada pengurangan dalam kejadian berkaitan GERD, seperti apnea, bradikardia, dan desaturasi dengan penggunaan PPI, tetapi kami tidak pasti tentang keputusan ini.
Kualiti dan batasan bukti:
Satu daripada kajian tersebut ditaja dan dikendalikan oleh syarikat farmaseutikal yang menghasilkan PPI yang digunakan. Kajian yang lagi satu adalah kajian silang yang tidak memberikan masa yang mencukupi antara rawatan untuk memastikan ubat-ubatan tersebut keluar dari sistem bayi. Terdapat data yang terhad untuk mana-mana hasil yang dinilai.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Oktober 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).