Langkau ke kandungan utama

Vaksinasi selesema untuk pekerja penjagaan kesihatan yang menjaga orang berumur 60 atau ke atas yang tinggal di institusi penjagaan jangka panjang

Mesej utama
Penawaran vaksinasi selesema kepada orang yang bekerja di institusi penjagaan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan penghuni yang mendapat selesema atau pergi ke hospital dengan jangkitan dada, berbanding dengan mereka yang tinggal di institusi penjagaan di mana vaksinasi tidak ditawarkan.

Walaupun kami telah menemui program vaksinasi pekerja penjagaan kesihatan membawa kepada kematian penghuni yang kurang disebabkan oleh sebarang sebab di institusi penjagaan, kami tidak dapat menjelaskan keputusan ini dari segi pengurangan selesema atau komplikasi daripada jangkitan dada.

Apakah selesema?
Selesema ialah penyakit respiratori. Ia disebarkan oleh sekeluarga virus dan boleh menjejaskan orang dari semua umur. Penghuni di institusi penjagaan jangka panjang (LTCI) berisiko tinggi terutamanya untuk berasa tidak sihat dengan selesema disebabkan oleh sistem imun mereka yang lebih lemah daripada orang yang tinggal di rumah. Orang yang bekerja di LTCI, seperti doktor, jururawat, profesional kesihatan yang lain, pembersih dan kuli, mungkin terdedah kepada selesema semasa musim selesema. Mereka kerap terus bekerja semasa mereka dijangkiti dengan virus respiratori yang berbeza. Hal ini meningkatkan kemungkinan penyebaran kepada penghuni yang dijaga oleh mereka. Tanda-tanda dan simptom selesema adalah sama kepada penyakit respiratori yang lain. Oleh itu, ia adalah penting untuk menguji kesan vaksinasi selesema untuk membuktikan dengan ujian makmal, di mana adalah sangat tepat, sama ada penghuni LTCI yang benar-benar mempunyai selesema atau penyakit respiratori yang lain.

Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada vaksinasi pekerja penjagaan kesihatan terhadap selesema mengurangkan risiko selesema dan komplikasinya dalam penghuni yang lebih tua di LTCI.

Apakah yang kami lakukan?
Kami telah merumuskan penyelidikan yang sedia ada yang membandingkan strategi berbeza untuk mengurangkan selesema dalam LTCI. Kami telah mencari kajian penyelidikan yang telah membahagikan secara rawak kepada fasiliti penjagaan berbeza untuk menjemput pekerja penjagaan kesihatan untuk menerima vaksinasi selesema pada permulaan musim selesema atau tidak.

Apakah yang kami temui?
Kami telah mengenal pasti empat kajian yang telah menyertakan data daripada 8468 penghuni. Pekerja penjagaan kesihatan daripada rumah penjagaan di Perancis dan UK telah dibahagikan secara rawak untuk ditawarkan vaksinasi selesema. Kajian memberikan maklumat tentang selesema, jangkitan dada, kemasukan ke hospital untuk jangkitan dada, dan kematian. Kami tidak dapat mengenal pasti maklumat tentang kesan-kesan yang tidak diingini dalam kajian. Purata umur penghuni rumah penjagaan adalah antara 77 dan 86 tahun, dan kebanyakannya adalah perempuan (antara 70% dan 77%).

Penawaran vaksinasi selesema kepada pekerja penjagaan kesihatan yang menjaga mereka yang berumur 60 dan ke atas mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap selesema. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap kesan program vaksinasi pekerja penjagaan kesihatan terhadap bilangan penghuni dengan jangkitan dada atau bilangan penghuni yang dimasukkan ke hospital disebabkan oleh jangkitan dada. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti untuk bilangan penghuni yang meninggal dunia daripada jangkitan dada. Walaupun nombor penghuni yang meninggal dunia daripada sebarang sebab adalah lebih rendah selepas vaksinasi pekerja penjagaan kesihatan, satu pengurangan daripada 9% kepada 6%, kami tidak dapat menjelaskan kesan ini dari segi perubahan kepada bilangan orang dengan selesema atau komplikasi daripada jangkitan dada.

Apakah batasan bukti?
Kami terutamanya bimbang tentang bagaimana orang yang telah diikuti, impak orang dalam kajian sedar sama ada mereka telah divaksinasi, penggunaan intervensi dalam kumpulan kawalan, dan kadar rendah vaksinasi dalam kajian. Dalam dua kajian, data tidak dapat disertakan daripada semua orang yang telah direkrut dan ini mengurangkan keyakinan kami terhadap keputusan kajian tersebut. Ulasan ini tidak menemui maklumat tentang intervensi yang lain yang telah digunakan bersamaan dengan vaksinasi pekerja penjagaan kesihatan (sebagai contohnya, mencuci tangan, topeng muka, pengesanan awal selesema yang terbukti di makmal, kuarantin, pengelakkan kemasukan baru, penggunaan antivirus segera, meminta pekerja penjagaan kesihatan dengan penyakit seperti selesema untuk tidak pergi bekerja).

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 22 Ogos 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Thomas RE, Jefferson T, Lasserson TJ, Earnshaw S. Influenza vaccination for healthcare workers who care for people aged 60 or older living in long-term care institutions. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD005187. DOI: 10.1002/14651858.CD005187.pub6.