Apakah persoalan yang ingin dijawab ulasan ini?
Berapa banyak kajian klinikal (kajian) yang meneliti keberkesanan intervensi kesihatan diterbitkan dalam jurnal, dan berapa lama masa yang diambil untuk kajian tersebut diterbitkan? Adakah kadar penerbitan dan masa yang diambil untuk penerbitan dipengaruhi sifat keputusan kajian, bilangan peserta dan pusat kajian, atau sumber dana kajian tersebut?
Mesej utama
-
Hampir separuh (47%) daripada semua kajian klinikal tidak diterbitkan.
-
Sama ada suatu kajian diterbitkan dan tempoh masa yang diambil untuk diterbitkan dipengaruhi oleh keputusan positif, seberapa besar kajian itu dan jika kajian tersebut dijalankan di pusat tunggal atau berbilang, serta jenis organisasi yang menaja kajian tersebut.
Apakah proses penerbitan dan bias penerbitan?
Terdapat beberapa langkah dalam penerbitan keputusan kajian klinikal. Proses dimulakan dengan melaksanakan kajian klinikal, kemudiannya penulisan rumusan dokumen (manuskrip) yang mengandungi matlamat, kaedah dan keputusan kajian. Manuskrip dihantar kepada penyunting jurnal, kemudian disemak dan diulas oleh penyunting dan rakan sekerja, dan oleh pengulas sebaya yang berkepakaran dalam topik berkaitan manuskrip tersebut tetapi tidak terlibat dalam kajian itu. Jika manuskrip itu didapati betul dan sesuai menurut penilaian mereka, ia akan disiarkan dalam jurnal atas talian atau bercetak untuk bacaan orang yang berminat dalam penemuan itu. Kadangkala, yuran langganan mesti dibayar untuk mengakses manuskrip tersebut, tetapi selalunya ia akan dijadikan 'akses terbuka', yang bermaksud ia tersedia secara percuma . Jika keputusan untuk menerbitkan keputusan kajian dipengaruhi oleh sifat keputusan kajian tersebut, sama ada mereka menyokong intervensi, ini dirujuk sebagai 'bias penerbitan'.
Bias penerbitan merupakan satu masalah kerana ia bermaksud maklumat yang tersedia kepada orang yang membuat keputusan penting berkaitan kesihatan untuk diri mereka sendiri, saudara-mara atau pesakit mereka tidak lengkap dan mungkin mengelirukan. Sebagai contoh, jika keputusan negatif tidak diterbitkan, maka terdapat risiko pembuat keputusan tidak sedar tentang kemungkinan bahaya intervensi tersebut.
Bias penerbitan dalam kajian akan terhimpun dalam ulasan sistematik, yang mengumpulkan semua bukti berkenaan suatu topik. Ini membimbangkan kerana ulasan sistematik sangat mempengaruhi keputusan dan dasar penjagaan kesihatan. Ulasan sistematik menggabungkan keputusan pelbagai kajian untuk membolehkan orang membuat keputusan berdasarkan semua data tersedia, namun jika sesetengah kajian tidak disertakan kerana ianya tidak diterbitkan, bukti itu tidak lengkap dan mungkin tidak tepat.
Bagaimanakah kita boleh mengelakkan bias penerbitan?
Keputusan semua kajian klinikal harus diterbitkan, dan keputusan penerbitan tidak boleh ditentukan oleh sifat keputusan kajian atau sebarang faktor lain .
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui berapa banyak kajian yang telah diterbitkan. Kami juga ingin mengetahui sama ada penerbitan dan masa yang diambil untuk menerbitkan dipengaruhi oleh sifat keputusan, saiz kajian dan jenis organisasi yang bertanggungjawab memberi dana untuk melakukan kajian tersebut.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari pelbagai pangkalan data kesihatan untuk mengenalpasti kajian yang menyelidiki kadar penerbitan atau jangka masa penerbitan keputusan kajian klinikal. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kualiti kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 204 kajian, diterbitkan antara 1992 dan 2023, yang melibatkan 165,135 kajian.
Kajian menunjukkan bahawa lebih separuh (53%) daripada semua kajian itu telah menerbitkan keputusan kajian dalam jurnal. Kajian juga menunjukkan bahawa kajian lebih berkemungkinan diterbitkan jika keputusannya positif, kalau ia besar (melibatkan ramai orang), dijalankan di berbilang pusat kajian ('tapak kajian') dan jika ia dibiaya oleh pertubuhan bukan komersial. Masa penerbitan lebih singkat untuk kajian yang mempunyai keputusan positif atau saiz sampel yang besar atau jika ia dibiaya oleh pertubuhan bukan komersial.
Bukti ini mempunyai implikasi penting terhadap bila kita harus menjalankan ulasan sistematik dan apakah masa terbaik untuk mengemas kini ulasan sistematik, terutamanya jika semakan sistematik tidak berusaha untuk memasukkan bukti yang belum diterbitkan . Hal ini menjadi keprihatinan khusus untuk ulasan yang hanya mengandungi sebilangan kecil kajian.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini berbeza dari segi kaedah, jenis kajian yang diteliti dan kualiti mereka. Dalam ulasan ini, kami mengakui dan berbincang isu ini, dan kami menyediakan analisa berasingan untuk kajian berbeza jenis dan kualiti.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah berdasarkan carian yang dijalankan pada bulan Ogos 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.