Langkau ke kandungan utama

Sejauh manakah ketepatan ujian yang mendiagnosis pendarahan berlebihan (pendarahan postpartum) selepas wanita melahirkan secara faraj?

Mesej utama

• Kajian kami menjumpai bahawa penggunaan anggaran visual untuk mendiagnosis pendarahan postpartum (PPH) adalah tidak tepat. Penggunaan alas plastik untuk mengumpul dan mengukur jumlah kehilangan darah – bersama dengan pemerhatian seperti kadar denyutan jantung, tekanan darah, tona rahim dan aliran darah – menunjukkan ketepatan yang tinggi .

• Ujian yang lain termasuklah ujian darah dan pengukuran seperti kadar denyutan jantung dan tekanan darah sahaja, menunjukkan tahap ketepatan yang berbeza-beza .

Apakah itu pendarahan postpartum (PPH)?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mentakrifkan pendarahan postpartum (PPH) sebagai kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih dalam tempoh 24 jam pertama dalam kalangan wanita yang melahirkan secara faraj . PPH yang teruk berlaku apabila kehilangan darah sebanyak 1000 mL atau lebih dalam tempoh yang sama.

Mengapakah diagnosis PPH yang tepat begitu penting?

PPH merupakan faktor utama kematian ibu di seluruh dunia. Diagnosis yang tepat dapat membantu dalam rawatan awal.

Apakah ujian yang digunakan untuk mendiagnosis PPH?

Ujian yang paling biasa digunakan untuk mendiagnosis PPH dan PPH yang teruk ialah anggaran visual, di mana petugas kelahiran menganggarkan jumlah kehilangan darah dengan melihat sejauh mana cadar dan pad bersalin direndam dengan darah. Ujian yang lain termasuklah pengukuran jumlah kehilangan darah dengan menggunakan alas plastik, dulang atau mangkuk dengan penanda yang menunjukkan isipadu. Darah juga boleh dikumpul dan ditimbang. Berat ini ditukar kepada isipadu menggunakan formula. Ujian yang lain termasuklah mengukur perubahan dalam (1) tahap bahan kimia tertentu dalam darah wanita berlahir, atau (2) pembolehubah seperti kadar denyutan jantung dan tekanan darahnya.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengenal pasti pelbagai ujian dan kaedah yang digunakan untuk mendiagnosis PPH dan PPH yang teruk serta menentukan tahap ketepatannya.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menilai ketepatan ujian untuk mendiagnosis PPH dan PPH teruk apabila dibandingkan dengan piawaian yang boleh dipercayai, seperti kehilangan darah yang ditimbang atau isipadu darah yang diukur. Wanita dari pelbagai peringkat umur yang melahirkan secara faraj dalam berbagai-bagai persekitaran (hospital, unit bersalin dalam komuniti, dan kelahiran di rumah) turut disertakan.

Kami memasukkan kajian yang menyediakan data untuk menentukan dua ukuran ketepatantepat ujian: (1) Kepekaan (peratusan wanita dengan keadaan tersebut yang dikenal pasti dengan betul oleh ujian); dan (2) Kekhususan (peratusan wanita tanpa keadaan tersebut yang dikecualikan dengan betul oleh ujian). Kami menggabungkan keputusan daripada pelbagai kajian ini seandainya sesuai. Kami mengecualikan kajian yang tidak memberikan maklumat jenis ini.

Contoh ujian yang kami cari termasuklah: pemeriksa melihat kehilangan darah dan menganggarkan isipadu kehilangan darah (anggaran visual); mengukur isipadu kehilangan darah menggunakan alas atau peranti pengumpulan lain dengan penanda isipadu ( kaedah volumetrik ); menimbang kehilangan darah menggunakan penimbang ( kaedah gravimetrik ); serta mengukur perubahan dalam pembolehubah seperti kadar denyutan jantung dan tekanan darah, atau perubahan dalam tahap bahan kimia dalam darah seperti hemoglobin dan fibrinogen. Kami juga berusaha untuk mencari kajian yang menggabungkan ujian yang dinyatakan di atas dengan ujian menggunakan teknologi baharu seperti sistem kamera dan kecerdasan buatan.

Apa yang kami temui?

Kami telah menemui 18 kajian dengan jumlah keseluruhan 291,040 peserta.

Empatbelas kajian menilai ujian diagnostik untuk PPH, dan tujuh kajian menilai ujian untuk PPH yang teruk. Kebanyakan kajian djalankan di hospital.

Anggaran visual mempunyai kepekaan yang rendah. Dalam salah satu analisis kami, kami mendapati bahawa anggaran visual hanya akan mendiagnosis 48 daripada 100 wanita yang mempunyai PPH, manakala 52 wanita dengan PPH tidak akan dikesan (iaitu keputusan negatif palsu). Kes-kes yang terlepas ini mungkin tidak menerima rawatan dan mungkin mengalami kemudaratan yang boleh dielakkan dan mungkin juga boleh mati. Daripada setiap 100 wanita tanpa PPH, tiga akan tersalah didiagnosis sebagai mengalaminya (iaitu keputusan positif palsu). Wanita yang tersalah didiagnosis ini mungkin menerima rawatan yang tidak diperlukan dan berisiko dalam mengalami mudarat akibatnya.

Kaedah diagnostik yang menggunakan alas berkalibrasi untuk mengukur jumlah kehilangan darah, bersama dengan pemerhatian seperti kadar denyutan jantung, tekanan darah, tona rahim, dan aliran darah untuk mendiagnosis PPH, menunjukkan kepekaan dan kekhususan yang sangat baik. "Penggunaan kaedah ini akan mendiagnosis 93 daripada 100 wanita yang mengalami PPH, dan hanya tujuh wanita dengan PPH tidak akan dikesan (iaitu keputusan negatif palsu). Daripada setiap 100 wanita tanpa PPH, lima akan tersalah didiagnosis sebagai mengalaminya (iaitu keputusan positif palsu).

Ujian lain menunjukkan tahap ketepatan yang berbeza-beza dalam mendiagnosis PPH dan PPH yang teruk .

Apakah batasan bukti?

Kajian yang kami temui kebanyakannya dijalankan di hospital. Kami ingin mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai ketepatan ujian dalam persekitaran lain, seperti di komuniti dan di rumah.

Kami juga ingin mengetahui ketepatan ujian lain apabila digunakan secara gabungan, terutamanya kombinasi antara kehilangan darah yang diukur, perubahan dalam faktor seperti kadar denyutan jantung dan tekanan darah, serta perubahan dalam tahap bahan kimia dalam darah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 24 Mei 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Daphne Lim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Petikan
Yunas I, Gallos ID, Devall AJ, Podesek M, Allotey J, Takwoingi Y, Coomarasamy A. Tests for diagnosis of postpartum haemorrhage at vaginal birth. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD016134. DOI: 10.1002/14651858.CD016134.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan