Mesej utama
• Adalah tidak jelas sama ada pemakanan ketepatan (diet atau makanan yang bersesuaian dengan seseorang berdasarkan ciri-ciri yang berkaitan dengan biologi individu dan persekitaran) mempunyai kesan ke atas perubahan berat badan yang diukur sebagai berat badan atau indeks jisim badan (BMI) (ukuran persentil berat seseorang berbanding purata untuk umur tertentu) pada kanak-kanak dan remaja yang mengalami obesiti.
• Penyelidikan selanjutnya, termasuk kajian besar, diperlukan untuk memahami kesan intervensi berasaskan pemakanan ketepatan dalam menguruskan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Apakah berat badan berlebihan dan obesiti?
Indeks jisim badan (BMI) dikira dengan membahagikan berat badan seseorang dalam kilogram dengan kuasa dua ketinggian mereka dalam meter. BMI boleh digunakan untuk menentukan berat badan berlebihan iaitu keadaan deposit lemak yang berlebihan, dan obesiti iaitu penyakit kronik yang terjadi disebabkan oleh deposit lemak berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan.
Bagaimanakah masalah berat badan berlebihan dan obesiti ditangani?
Walaupun masalah obesiti boleh ditangani melalui perubahan dalam pemakanan, gaya hidup, pembedahan atau ubat-ubatan, dianggarkan kira-kira 37 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun hidup dengan obesiti setakat 2022, dan prevalens (bilangan orang dengan sesuatu keadaan dalam populasi pada masa tertentu) obesiti dalam kalangan remaja telah meningkat empat kali ganda sejak tahun 1990. Ini menunjukkan bahawa pendekatan alternatif atau rawatan komplementari adalah mungkin diperlukan, seperti intervensi berasaskan pemakanan yang tersendiri atau yang tepat.
Apakah yang kami ingin tahu?
Baru-baru ini, 'pemakanan ketepatan' - kajian tentang bagaimana tingkah laku, fisiologi, gaya hidup dan pemakanan seseorang boleh digunakan untuk merekabentuk intervensi - telah berkembang popular sebagai berpotensi menjadi kaedah yang menarik dan bernilai terhadap berat badan berlebihan dan obesiti. Kajian awal ke atas corak tingkah laku dan status pemakanan menunjukkan bahawa intervensi pemakanan ketepatan ini mungkin berguna dalam mengurangkan prevalens berat badan berlebihan dan obesiti, terutamanya pada kanak-kanak dan remaja.
Kami ingin mengetahui sama ada intervensi berasaskan pemakanan ketepatan dalam kanak-kanak 0 hingga 9 tahun, remaja 10 hingga 19 tahun, dan kedua-duanya digabungkan dalam kumpulan umur 0 hingga 19 tahun, adalah lebih baik daripada intervensi satu saiz untuk semua untuk menambah baik:
• kesejahteraan fizikal dan mental;
• aktiviti fizikal ;
* kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan;
• ketidakupayaan yang berkaitan dengan obesiti;
• kesan intervensi yang tidak diingini;
• perubahan berat badan seperti yang diukur oleh BMI atau berat badan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada intervensi berasaskan pemakanan ketepatan (melibatkan nasihat diet atau pendidikan dengan sama ada kecerdasan buatan atau kaedah 'berasaskan omics' (alat saintifik yang mengukur dan mengkaji kumpulan molekul biologi yang berkaitan dengan fungsi badan manusia dan selnya)) dibandingkan dengan intervensi satu saiz-sesuai-semua (cth. penurunan kalori am atau corak pemakanan tanpa mengira ciri-ciri individu) atau tiada intervensi bagi kanak-kanak dan remaja sehingga umur 19 tahun. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 2 kajian yang melibatkan 105 kanak-kanak dan remaja dengan berat badan berlebihan atau obesiti, yang berlangsung selama 1 hingga 3 bulan.
Dalam kalangan kanak-kanak (berumur 0 hingga 9 tahun), adalah tidak jelas sama ada pemakanan berasaskan pemakanan ketepatan mempunyai kesan ke atas BMI atau berat badan dibandingkan dengan intervensi satu saiz untuk semua.
Begitu juga, pada kanak-kanak dan remaja (berumur 10 hingga 19 tahun), adalah tidak jelas sama ada pemakanan berasaskan pemakanan ketepatan mempunyai kesan ke atas BMI atau berat badan dibandingkan dengan intervensi satu saiz untuk semua.
Apakah batasan bukti?
Batasan utama bukti adalah bilangan orang yang kecil dan kekurangan kajian secara keseluruhan. Oleh itu, kami mempunyai kurang keyakinan terhadap bukti kerana bilangan kajian yang tidak mencukupi untuk memastikan keputusannya, dan kajian yang disertakan adalah sangat kecil; juga, bukti tidak meliputi semua pihak yang berkepentingan. Kajian selanjutnya, termasuk kajian besar, diperlukan untuk lebih memahami cara intervensi pemakanan ketepatan yang boleh digunakan dalam rawatan atau pengurusan berat badan berlebihan dan obesiti pada kanak-kanak dan remaja.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Siti Aishah Salim (Klinik Pakar Pergigian Kota Setar). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).