Langkau ke kandungan utama

Adakah rawatan dengan agonis reseptor GLP-1 dapat mencegah komplikasi bagi pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik dan diabetes?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Bagi pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) (keadaan jangka panjang di mana buah pinggang tidak berfungsi dengan berkesan) yang juga menghidap diabetes (keadaan sepanjang hayat yang menyebabkan paras gula dalam darah seseorang menjadi terlalu tinggi) meningkatkan risiko kematian awal, serangan jantung, strok dan mengurangkan kualiti hidup seseorang.

• Agonis reseptor peptida seperti glukagon 1 (GLP-1) (ubat yang digunakan untuk menurunkan gula dalam darah) mungkin mengurangkan risiko kematian akibat sebarang punca tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kematian akibat serangan jantung bagi pesakit dengan CKD dan diabetes.

• Bagi gabungan kejadian utama berkaitan jantung (strok, serangan jantung tidak membawa maut dan kematian akibat serangan jantung), GLP-1 mungkin mengurangkan risiko kejadian ini tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kegagalan buah pinggang atau paras gula darah yang terlalu rendah.

Mengapa merawat pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik dan diabetes menggunakan agonis reseptor GLP-1?

Penyakit buah pinggang kronik (CKD) (keadaan jangka panjang di mana buah pinggang tidak berfungsi dengan berkesan) dan diabetes (keadaan sepanjang hayat yang menyebabkan paras gula dalam darah seseorang menjadi terlalu tinggi) adalah penyakit kronik yang membawa pelbagai cabaran bagi pesakit, terutamanya apabila mereka perlu mengurus kedua-duanya pada masa yang sama. Diabetes boleh mempercepatkan perkembangan penyakit buah pinggang dan merupakan punca utama kegagalan buah pinggang (keadaan di mana buah pinggang tidak lagi berfungsi dengan cukup baik untuk memastikan seseorang hidup). Agonis reseptor GLP-1 (GLP-1) ialah ubat yang menurunkan paras gula dalam darah dan mungkin juga memberi kesan baik terhadap tekanan darah tinggi dan obesiti, serta mengurangkan risiko kematian, serangan jantung, strok, dan kegagalan buah pinggang (keadaan di mana buah pinggang tidak lagi berfungsi dengan cukup baik untuk mengekalkan kehidupan seseorang).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada GLP-1 dapat memperbaiki kawalan diabetes dan fungsi buah pinggang, mengurangkan komplikasi berkaitan jantung seperti serangan jantung dan strok, serta mengurangkan risiko kegagalan buah pinggang pada pesakit yang mempunyai CKD dan diabetes.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari semua kajian yang menilai manfaat dan kesan buruk GLP-1 untuk merawat pesakit yang mempunyai kedua-dua CKD dan diabetes. Kami membandingkan GLP-1 dengan plasebo (ubat palsu), penjagaan biasa, dan ubat penurun glukosa lain (contohnya, insulin).

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan 42 kajian yang merandomkan 48,148 orang dewasa (18 tahun atau lebih) dengan CKD dan diabetes. Tiada kajian yang melibatkan kanak-kanak. Bilangan peserta antara 7 hingga 14,691, dan umur peserta antara 51 hingga 71 tahun. Secara purata, tempoh kajian adalah enam bulan. Dua puluh satu kajian membandingkan GLP-1 dengan plasebo, 16 membandingkan GLP-1 dengan pelbagai ubat penurun glukosa, dan lima membandingkan GLP-1 dengan penjagaan standard. Dua puluh lapan kajian melibatkan beberapa negara.

Berbanding dengan plasebo, GLP-1 mungkin mengurangkan risiko keseluruhan kematian akibat sebarang punca tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap peluang mati akibat masalah berkaitan jantung. Apabila kejadian utama berkaitan jantung dikaji secara bersama (kematian akibat serangan jantung, serangan jantung tidak membawa maut dan strok tidak membawa maut), GLP-1 mungkin mengurangkan risiko berlakunya gabungan kejadian ini. GLP-1 mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kegagalan buah pinggang dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap paras gula darah yang terlalu rendah.

Kesan GLP-1 berbanding penjagaan biasa dan ubat penurun glukosa lain adalah tidak jelas.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami agak yakin bahawa GLP-1 mengurangkan risiko kematian akibat sebarang punca, mengurangkan kejadian utama berkaitan jantung, dan memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kegagalan buah pinggang. Kami kurang yakin terhadap kesannya terhadap kematian akibat masalah berkaitan jantung atau paras gula darah yang terlalu rendah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).

Petikan
Natale P, Green SC, Tunnicliffe DJ, Pellegrino G, Toyama T, Strippoli GFM. Glucagon-like peptide 1 (GLP-1) receptor agonists for people with chronic kidney disease and diabetes. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD015849. DOI: 10.1002/14651858.CD015849.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan