Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko penggunaan gabungan rawatan untuk menguruskan kakeksia (penyakit berkaitan penyusutan berat badan)?

Mesej utama:

• Kami tidak pasti sama ada gabungan dua atau lebih rawatan (ubat-ubatan, diet, dan senaman) memberi manfaat kepada individu yang menghidap atau berisiko untuk mengalami kakeksia (penyakit berkaitan penyusutan berat badan). Hal ini adalah kerana pada masa ini belum terdapat kajian yang kukuh dan mencukupi dalam bidang ini.

• Kami memerlukan penyelidikan pada masa hadapan untuk meningkatkan keyakinan terhadap bukti dengan menjalankan kajian yang direka bentuk dengan lebih baik dan lebih besar.

Apakah itu kakeksia?

Kakeksia ialah satu sindrom metabolik kompleks yang berlaku dalam kalangan individu yang menghidap penyakit jangka panjang (dikenali sebagai penyakit kronik), seperti kanser, HIV/AIDS, penyakit buah pinggang kronik, penyakit jantung, dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

Individu yang menghidap kakeksia mungkin akan:

• kehilangan berat badan secara tanpa sengaja;
• kehilangan otot;
• berasa letih, lemah, atau kedua-duanya;
• hilang selera makan.

Kakeksia menjejaskan kesejahteraan dan boleh mengancam nyawa.

Bagaimanakah kakeksia dirawat?

Kajian sedang mengenalpasti cara terbaik untuk menguruskan kakeksia dengan pelbagai rawatan berbeza. Rawatan ini boleh merangkumi ubat-ubatan, diet, dan senaman, yang diberikan dalam rawatan tunggal (unimodal) atau gabungan (multimodal). Dipercayai bahawa biologi kakeksia yang kompleks menjadi penyebab gabungan rawatan mungkin berkesan dengan cara saling melengkapi (sinergistik) bagi membantu memperbaiki simptom yang berkaitan dengan kakeksia dan kesejahteraan individu, meningkatkan jangka hayat, atau kedua-duanya.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada menggabungkan sekurang-kurangnya dua rawatan (daripada diet, senaman, dan ubat) dapat membantu memperbaiki: fungsi fizikal dan kekuatan; kehilangan otot; berat badan; kesejahteraan; selera makan; keletihan; dan penunjuk biologi dalam darah (penanda biokimia). Kami juga ingin mengetahui sama ada intervensi ini berkaitan dengan sebarang kesan sampingan atau kesan buruk yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan gabungan rawatan diet, senaman dan/atau ubat (sekurang-kurangnya dua rawatan digunakan secara bersama) dengan: gabungan rawatan yang berbeza; rawatan tunggal; atau rawatan biasa (penjagaan standard) dalam kalangan orang dewasa yang menghidap kakeksia atau berisiko untuk menghidap kakeksia. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan jumlah individu yang terlibat.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui sembilan kajian yang menyertakan sejumlah 926 orang dewasa, dengan purata usia 63 tahun. Lebih separuh daripada peserta (57%) adalah lelaki. Kajian dijalankan di seluruh dunia, termasuk Eropah (enam kajian), Turki (satu kajian), New Zealand (satu kajian), dan Amerika Syarikat (satu kajian). Satu kajian melibatkan individu dengan HIV/AIDS (purata usia 43 tahun; 35 daripada 50 orang dalam kajian adalah lelaki); satu kajian menyertakan individu dengan COPD (purata usia 72 tahun; 20 daripada 28 orang dalam kajian adalah lelaki); dan satu kajian menyertakan individu dengan penyakit buah pinggang kronik (purata usia 70 tahun; 11 daripada 21 orang dalam kajian adalah lelaki). Enam kajian menyertan individu dengan kanser (purata usia 64 tahun; 461 daripada 893 orang dalam kajian adalah lelaki). Kajian berlangsung selama enam minggu hingga dua tahun.

Kajian-kajian tersebut menggunakan gabungan rawatan yang boleh merangkumi diet, senaman, dan/atau ubat, di mana sekurang-kurangnya dua rawatan digunakan secara bersama, dan membandingkan ini dengan:

• rawatan biasa (1 kajian, 46 orang);
• kombinasi rawatan berbeza (4 kajian, 192 orang);
• rawatan tunggal (6 kajian, 802 orang).

Kajian-kajian tersebut tidak menyediakan bukti yang kukuh dan mencukupi untuk menentukan sama ada intervensi multimodal berkaitan dengan manfaat atau kemudaratan bagi individu yang menghidap atau berisiko menghidap kakeksia.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin terhadap bukti yang ada kerana tidak semua kajian menyediakan maklumat tentang semua perkara yang kami ingin ketahui. Selain itu, kajian-kajian tersebut menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengukur hasil, dan kebanyakan kajian hanya melibatkan bilangan peserta yang kecil.

Apa yang penting, kajian pada masa hadapan mungkin akan mengubah kesimpulan ulasan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nor Aimilia Hanim (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Reid J, Blair C, Dempster M, McKeaveney C, Slee A, Fitzsimons D. Multimodal interventions for cachexia management. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD015749. DOI: 10.1002/14651858.CD015749.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan