Mesej utama
• Soal selidik GAD-7 dan GAD-2 sahaja tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau menolak adanya gangguan keresahan.
Walau bagaimanapun, soal selidik ini memberikan petunjuk kemungkinan wujudnya gangguan keresahan.
• Tafsiran dapatan soal selidik "negatif" atau "positif" seseorang individu itu bergantung pada konteksnya.
Apakah itu gangguan keresahan?
'Gangguan keresahan' ialah istilah umum yang merujuk kepada keadaan kesihatan mental termasuk (tetapi tidak terhad kepada):
• gangguan keresahan menyeluruh: apabila seseorang itu mengalami keresahan berlebihan hampir setiap hari selama lebih enam bulan, sukar mengawal rasa bimbang, serta mempunyai sekurang-kurangnya tiga daripada enam gejala berikut: gelisah, keletihan, kesukaran menumpukan perhatian, mudah marah, ketegangan otot, dan gangguan tidur;
• fobia sosial: ketakutan yang kuat terhadap penilaian, rasa malu, atau penghinaan dalam situasi sosial atau ketika melakukan sesuatu di hadapan orang lain.
• gangguan panik: mengalami episod ketakutan atau ketidakselesaan yang tidak dijangka dan tegang berulangkali, yang mungkin melibatkan pelbagai gejala fizikal dan emosi.
Mengapakah diagnosis awal gangguan keresahan penting?
Gangguan keresahan adalah perkara biasa dan sering tidak dikesan, walaupun dalam kalangan individu yang memerlukan rawatan. Tidak mengenal pasti gangguan keresahan apabila ia wujud (negatif palsu) bermaksud anda terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan tepat pada masanya sama ada dengan ubat-ubatan, psikoterapi, atau kedua-duanya. Atas sebab ini, beberapa pakar dan inisiatif pesakit menyokong pemeriksaan saringan; iaitu, pemeriksaan sistematik kumpulan sosial atau populasi untuk kewujudan gangguan keresahan, walaupun pada orang yang tidak mendapatkan bantuan untuk simptom yang berkaitan. Pakar lain pula tidak bersetuju dengan pemeriksaan saringan kerana tiada bukti bahawa saringan sedemikian memberi lebih banyak manfaat berbanding kemudaratan (contohnya melalui salah diagnosis dan kesan sampingan daripada pengambilan ubat yang tidak perlu).
Apakah soal selidik GAD-7 dan GAD-2?
GAD-7 (Gangguan Keresahan Menyeluruh skala 7 item) dan GAD-2 (dua item pertama daripada skala GAD-7) adalah soal selidik yang mesra pengguna dan lengkap sendiri yang direka untuk orang awam. Soal selidik ini membantu memberikan maklumat sama ada seseorang individu itu mungkin mengalami gangguan keresahan. Orang yang melengkapkan soal selidik menyatakan kekerapan mereka mengalami simptom keresahan yang serius. pada skala dari 0 (tidak pernah ada) hingga 3 (ada setiap hari). Respon dijumlahkan untuk mendapatkan jumlah skor antara 0 hingga 21. GAD-7 dianggap 'ujian positif' apabila jumlah skor mencapai 10 atau ke atas, menunjukkan kemungkinan gangguan keresahan. Skor 3 atau lebih tinggi pada GAD-2 menunjukkan perkara yang sama. Jika jumlah skor adalah di bawah 10 untuk GAD-7 atau di bawah 3 untuk GAD-2, keputusan tersebut dianggap 'ujian negatif'.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui seberapa tepat skala GAD-7 dan GAD-2 boleh meramalkan sama ada seseorang itu mengalami gangguan keresahan atau tidak.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang meneliti ketepatan skala GAD-7 atau GAD-2 (atau kedua-duanya) dengan membandingkannya dengan temu bual diagnostik penuh yang dijalankan oleh profesional penjagaan kesihatan, dan kami menggabungkan keputusan daripada kajian-kajian ini.
Apakah yang kami temui?
Ulasan kami melibatkan keputusan daripada 48 kajian yang melibatkan 19,228 orang dari 27 negara berbeza, menilai soal selidik GAD-7 dan GAD-2 dalam 24 bahasa berbeza. Tujuh kajian telah dijalankan dalam tetapan bukan klinikal (contoh, populasi umum), sembilan dalam tetapan klinikal yang merekrut peserta dengan keadaan berbeza (contoh, orang yang mendapatkan penjagaan primer), dan 32 dalam tetapan klinikal dengan peserta yang mempunyai keadaan tertentu (contoh, pesakit dengan epilepsi). Kebanyakan kajian ini meneliti ketepatan soal selidik untuk satu jenis gangguan keresahan tertentu (gangguan keresahan umum), yang lain untuk mana-mana jenis gangguan keresahan, atau untuk kedua-duanya.
Secara keseluruhannya, soal selidik GAD-7 dan GAD-2 boleh diterima atau pandai menentukan sama ada seseorang itu mengalami gangguan kebimbangan.
Sebagai ilustrasi, jika soal selidik GAD-7 digunakan oleh sekumpulan 1000 orang, dengan 120 orang (12%) daripada mereka sebenarnya menghidap gangguan keresahan menyeluruh, keputusan yang dijangkakan adalah seperti berikut: dianggarkan 156 orang (16%) akan diklasifikasikan sebagai ‘ujian positif’ oleh GAD-7. Walau bagaimanapun, daripada jumlah ini, hanya kira-kira separuh (77 orang atau 8%) sebenarnya mengalami gangguan keresahan umum, manakala separuh lagi (79 orang atau 8%) akan menjadi "positif palsu." Daripada 844 orang (84%) yang diuji negatif, sebahagian besarnya (801 orang atau 80%) akan dikelaskan dengan betul sebagai tidak mengalami gangguan keresahan menyeluruh tetapi 43 orang (4%) dengan gangguan keresahan menyeluruh adalah "negatif palsu".
Soal selidik GAD-2 yang lebih ringkas kelihatan sama tepatnya seperti skala GAD-7 yang lebih panjang dalam mengesan gangguan keresahan. Kedua-dua soal selidik ini kelihatan lebih baik sedikit dalam mengesan gangguan keresahan menyeluruh berbanding mengesan mana-mana gangguan keresahan.
Apakah batasan bukti?
Kajian-kajian tersebut berbeza-beza dalam beberapa sudut, secara amnya menunjukkan kualiti metodologi yang lemah. Perbezaan tersebut termasuklah perbezaan dari segi populasi yang menjawab soal selidik, bahasa soal selidik, kualiti metodologi dan kaedah yang digunakan untuk membuat diagnosis akhir. Perbezaan-perbezaan ini mungkin menjelaskan mengapa ketepatan GAD-7 dan GAD-2 berbeza secara ketara antara kajian individu. Ini bermakna ketepatan diagnostik soal selidik ini boleh menjadi lebih baik atau lebih teruk dalam situasi tertentu berbanding ilustrasi ringkasan yang kami sediakan di atas.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).