Mengapakah soalan ini penting?
Semasa pandemik COVID-19, pelbagai langkah telah dilaksanakan di sekolah-sekolah untuk bantu menghentikan penyebaran virus. Langkah-langkah ini merangkumi perubahan kepada peraturan atau tindakan sekolah dengan matlamat berikut.
-
Untuk mengurangkan penyebaran virus ketika orang berkumpul
-
Untuk mengurangkan bilangan kontak bersemuka antara orang
-
Untuk menguji sama ada orang mendapat COVID-19
-
Untuk mengasingkan mereka dengan COVID-19 bagi mencegah penyebarannya
Langkah-langkah sekolah seperti ini boleh memberi kesan yang dirancang (ditujukan) dan kesan yang tidak dirancang (tidak disengajakan), yang perlu kita pantau. Sebagai contoh, peraturan untuk memperbaik kebersihan tangan harus membawa kepada lebih banyak mencuci tangan (kesan yang dirancang) tetapi juga boleh mengakibatkan masalah kulit (kesan yang tidak dirancang). Kesan yang tidak dirancang ini boleh menjadi negatif atau positif, dan boleh mempengaruhi pelajar, guru, kakitangan sekolah lain, ibu bapa, dan komuniti yang lebih luas.
Apakah langkah sekolah untuk membantu membendung pandemik COVID-19?
Kami mengenal pasti empat jenis langkah-langkah sekolah.
-
Langkah-langkah untuk menjadikan kontak lebih selamat. Ia berfungsi mengurangkan risiko semasa kontak bersemuka. Contohnya termasuk memakai topeng, ventilasi dan kebersihan tangan.
-
Langkah-langkah mengurangkan peluang untuk kontak. Ia berfungsi dengan mengurangkan kontak bersemuka antara pelajar dan orang lain. Salah satu contohnya ialah mengurangkan bilangan pelajar dalam bilik darjah.
-
Langkah-langkah pengawasan dan respon. Ia berfungsi menguji sama ada orang mendapat COVID-19 dan mengambil tindakan untuk mencegahnya merebak, contohnya dengan mengasingkan orang yang diuji positif.
-
Langkah-langkah berbilang komponen. Ia menggabung aspek tiga jenis langkah di atas.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami berhasrat untuk mencari dan menerangkan bukti terhadap kesan yang tidak dirancang daripada langkah sekolah yang dilaksanakan untuk membantu membendung penularan COVID-19.
Apakah yang kami lakukan?
Kam mencari kajian-kajian yang melihat kepada kesan sampingan langkah sekolah. Kami kumpulkan kesan sampingan ke dalam kategori berikut.
-
Kesihatan fizikal dan mental dan kesejahteraan
-
Perkhidmatan kesihatan dan penjagaan sosial
-
Hak asasi manusia
-
Kebolehterimaan langkah
-
Perbezaan yang tidak adil dalam hasil kesihatan
-
Kehidupan awam, interaksi sosial, dan pendidikan
-
Wang dan sumber-sumber
-
Persekitaran
Kami ringkaskan maklumat tersedia tentang langkah sekolah dan kesan sampingan.
Apakah yang kami temui?
Kami sertakan 60 kajian dari 25 negara. Mengenai reka bentuk kajian, 31 menggunakan nombor dan statistik, 17 kajian menggunakan teks dan huraian, dan 12 kajian menggunakan kedua-dua nombor dan huraian. Kebanyakan kajian melihat kepada langkah-langkah untuk kakitangan (11 kajian) atau pelajar (26 kajian), atau langkah-langkah yang bertujuan untuk kedua-dua kakitangan dan pelajar atau seluruh sekolah (20 kajian). Hanya tiga kajian melihat kepada langkah-langkah untuk ibu bapa atau penjaga.
Kajian menyiasat langkah-langkah berikut di sekolah.
-
Perlindungan individu (26 kajian); contohnya memakai topeng
-
Perubahan kepada persekitaran fizikal (20 kajian); contohnya, meningkatkan ventilasi
-
Peraturan tentang interaksi sosial (25 kajian); contohnya, mencampurkan pengajaran dalam talian dan secara bersemuka
-
Perubahan kepada perkhidmatan (1 kajian); contohnya, membatalkan aktiviti kokurikulum
-
Peraturan tentang pergerakan (3 kajian); contohnya, tinggal dalam kelas pada waktu rehat
-
Langkah-langkah pengawasan (9 kajian); contohnya, menguji pelajar dan guru
-
Langkah respon (7 kajian); contohnya, mengasingkan orang dengan COVID-19
Sembilan kajian melihat kepada kesan bersama lebih daripada satu ukuran (contohnya, kesan bersama memakai topeng dan meningkatkan ventilasi).
Kebanyakan kajian tertumpu kepada kesan tidak dirancang berikut.
-
Pengaruh langkah sekolah terhadap kesihatan dan kesejahteraan (29 kajian)
-
Sama ada langkah sekolah boleh diterima atau mudah dilaksanakan (31 kajian)
-
Bagaimana langkah sekolah mempengaruhi interaksi sosial, organisasi sekolah dan pendidikan (23 kajian)
Kesan lain yang tidak dirancang merangkumi yang berikut.
-
Perubahan kepada perbezaan tidak adil dalam hasil kesihatan (2 kajian)
-
Kesan ke atas wang dan sumber (7 kajian)
-
Kesan terhadap persekitaran (1 kajian)
Apakah kesimpulan kami?
Kebanyakan kajian dalam ulasan melihat kepada pengaruh langkah sekolah terhadap kesihatan dan kesejahteraan; interaksi sosial, organisasi sekolah, dan pendidikan; dan sama ada langkah itu boleh diterima dan mudah dilaksanakan.
Langkah sekolah yang paling biasa ialah memakai topeng, membersihkan dan membasmi kuman bilik dan permukaan, mencampurkan pembelajaran dalam talian dan secara bersemuka, dan memastikan penjarakan fizikal. Banyak kajian juga melihat kepada gabungan beberapa langkah. Ulasan ini mengenal pasti jurang, di mana lebih banyak penyelidikan diperlukan.
Kami perlukan lebih banyak kajian untuk melihat pelbagai kesan yang tidak dirancang. Kami juga perlukan lebih banyak kajian yang melihat kesan tidak terancang daripada langkah sekolah yang lain, seperti langkah ujian dan respon.
Kajian masa depan harus melihat kesan jangka panjang juga. Kami perlukan lebih banyak maklumat tentang cara langkah ini berfungsi di pelbagai jenis sekolah dan di negara yang berbeza. Ini akan membantu orang membuat keputusan tentang masa dan cara menggunakan langkah sekolah yang berbeza .
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Dikemaskini. Disunting olen Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).