Mesej utama
Bekas pesakit kanser payudara yang lebih berusia dan yang menerima kemoterapi adalah berisiko lebih tinggi untuk tidak kembali bekerja. Keputusan berkaitan tahap pendidikan tidak dapat disimpulkan. Penyelidikan lanjutan adalah wajar untuk mengenal pasti bekas pesakit kanser payudara yang berisiko tinggi untuk tidak kembali bekerja, supaya mereka boleh menerima sokongan yang tepat pada masanya.
Apakah itu kanser payudara? Apakah itu kembali bekerja, dan mengapa ia penting?
Kanser payudara adalah sejenis kanser yang paling kerap terjadi pada wanita di seluruh dunia dan ramai wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara semasa masih bekerja. Bukti terkumpul menunjukkan bahawa bekas pesakit kanser payudara kurang berkecimpung dengan kerja bergaji dibandingkan dengan orang yang 'sihat' . Kembali bekerja selepas diagnosis kanser payudara adalah penting kepada bekas pesakit kanser payudara, kerana ia menyumbang kepada kualiti hidup dalam beberapa perkara. Dalam ulasan Cochrane ini, kami mentakrifkan kembali bekerja sebagai kembali kepada kerja bergaji pada sebarang bilangan jam sama ada dengan kerjanya yang asal ataupun kerja sampingan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada faktor sosiodemografi, berkaitan kanser payudara, berkaitan kesihatan, peribadi dan faktor pekerjaan yang lain mempengaruhi kadar kembali bekerja dalam tempoh dua tahun selepas diagnosis kanser payudara dalam kalangan mereka yang mempunyai kerja bergaji semasa diagnosis.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang menyiasat faktor-faktor yang mungkin boleh diubah untuk membantu amalan klinikal (termasuk penjagaan kesihatan dalam pekerjaan) dan majikan dengan membangunkan intervensi yang bertujuan meningkatkan kemungkinan bekas pesakit kanser payudara untuk kembali bekerja. Kami juga telah mencari kajian-kajian yang menyiasat faktor yang tidak boleh diubah untuk membantu amalan klinikal (termasuk penjagaan kesihatan dalam pekerjaan) untuk mengenal pasti bekas pesakit kanser payudara yang berisiko tinggi kehilangan pekerjaan dan yang memerlukan sokongan khusus. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.
Apa yang kami temui?
Kami memasukkan 19 kajian-kajian yang berkaitan. Kami mendapati bahawa wanita yang berusia mempunyai kemungkinan yang lebih kecil untuk kembali bekerja. Menerima rawatan kemoterapi boleh dikaitkan dengan kebarangkalian yang lebih rendah untuk kembali bekerja. Keputusan berkaitan tahap pendidikan tidak dapat disimpulkan. Mempunyai pasangan dan menerima radioterapi tidak mempunyai kaitan dengan kembali bekerja. Penyelidikan lanjut adalah wajar untuk mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi untuk tidak kembali bekerja, supaya mereka boleh menerima sokongan tepat pada masanya.
Apakah batasan bukti?
Kami kurang yakin terhadap bukti tersebut kerana: 1) terdapat terlalu banyak variasi dalam cara kajian-kajian dijalankan, 2) tidak cukup kajian-kajian untuk memastikan keputusannya, dan 3) tidak semua kajian-kajian menyediakan data yang diperlukan untuk analisis kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Penulis-penulis ulasan telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 20 Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).