Mesej utama
-
Kami tidak tahu sama ada rawatan perubatan dan rawatan bukan perubatan membantu mengurangkan tingkah laku impulsif-kompulsif dalam kalangan pesakit yang menghidap Parkinson kerana bukti yang sedia ada pada masa ini adalah terhad dan tidak pasti.
-
Kami memerlukan lebih banyak kajian, yang melibatkan lebih ramai peserta, yang mengkaji tentang tingkah laku yang berkembang, untuk mencapai kesimpulan tentang pilihan rawatan terbaik.
Apakah tingkah laku impulsif-kompulsif (ICB)?
Sesetengah pesakit yang menghidap Parkinson membentuk tingkah laku impulsif-kompulsif (ICB): tingkah laku yang sukar dikawal dan boleh berlaku berulang kali, walaupun ia mengakibatkan masalah. Contoh-contoh ICB termasuk:
-
terlalu banyak berjudi;
-
berbelanja atau membeli-belah tanpa kawalan;
-
makan secara berlebihan atau makan secara berlebihan dan berterusan;
-
hiperseksualiti (peningkatan dalam pemikiran atau tingkah laku seksual);
-
tingkah laku yang lain yang berulang-ulang, berlebihan, luar biasa, seperti menyusun atau mengasingkan sesuatu.
Bagaimanakah ICB dirawat?
Tiada bukti jelas yang mencukupi tentang cara terbaik untuk merawat ICB bagi pesakit yang menghidap Parkinson. Sesetengah ubat yang digunakan untuk merawat Parkinson boleh menyebabkan keadaan ICB yang lebih teruk, jadi doktor sering mengurangkan dos— tetapi ini boleh membawa kepada pengulangan atau kemerosotan masalah pergerakan yang dialami oleh pesakit yang menghidap Parkinson.
Rawatan yang mungkin membantu keadaan ICB pada pesakit yang menghidap Parkinson termasuklah pilihan rawatan perubatan dan rawatan bukan perubatan. Ubat-ubatan boleh membantu dengan mengimbangi tahap dopamin pada bahagian otak yang berbeza . Dopamin kadang-kadang dipanggil bahan kimia 'rasa baik' kerana ia terlibat dalam sistem ganjaran otak. Rawatan bukan perubatan, termasuk terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan rangsangan otak bukan invasif, bertujuan untuk meningkatkan kawalan diri dan membuat keputusan dengan mengukuhkan keupayaan otak untuk mengurus impuls.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada terdapat ubat atau rawatan bukan perubatan (termasuk perubahan gaya hidup, senaman, kaunseling atau intervensi tingkah laku) yang mengurangkan kekerapan dan kemerosotan ICB, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan simpton lain yang dikaitkan dengan ICB dalam kalangan pesakit yang menghidap Parkinson.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan mana-mana rawatan aktif yang diterangkan di atas (rawatan perubatan atau bukan perubatan) berbanding sama ada rawatan plasebo (iaitu ubat tidak aktif atau 'dummy') atau tiada rawatan dalam kalangan pesakit yang menghidap Parkinson.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan sejumlah 151 peserta. Purata umur peserta kajian adalah antara 58 hingga 61 tahun. Antara 24% dan 32% daripada peserta adalah wanita. Tiga kajian menguji tiga ubat berbeza - amantadine, naltrexone dan clonidine - dan membandingkan ubatan ini dengan rawatan plasebo . Satu kajian mengkaji terapi tingkah laku kognitif (CBT).
Oleh sebab kajian-kajian ini menguji rawatan berbeza dan hanya melibatkan sebilangan kecil peserta, kami tidak dapat menggabungkan keputusan untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih dipercayai.
Keputusan utama
Amantadine berbanding plasebo
• Satu kajian yang melihat perbandingan ini tidak mengukur kebanyakan hasil yang kami cari.
• Ia menilai sama ada rawatan yang diterima menghasilkan sebarang kesan yang tidak diingini dan memudaratkan berbanding plasebo. Bukti sama ada terdapat perbezaan antara kedua-dua kumpulan adalah sangat tidak pasti.
Naltrexone berbanding plasebo
•
Berbanding plasebo, naltrexone boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam keterukan ICB.
•
Bukti tentang kesan naltrexone pada perkara yang tidak diingini dan memudaratkan adalah sangat tidak pasti.
Clonidine berbanding plasebo
• Bukti tentang kesan klonidin terhadap semua hasil yang kami cari, termasuk: kekerapan dan keterukan keadaan ICB; perkara-perkara yang tidak diingini, memudaratkan; dan sebarang perubahan dalam kualiti hidup, kemurungan dan kebimbangan pesakit adalah sangat tidak pasti.
Terapi tingkah laku kognitif (CBT) berbanding tiada rawatan
• CBT boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam kekerapan dan keterukan ICB.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami tidak yakin dengan kebanyakan bukti kerana hanya terdapat beberapa kajian yang melibatkan bilangan peserta yang kecil. Tidak semua kajian memberi maklumat tentang semua yang kami cari.
Adakah bukti ini yang terkini?
Kami sertakan bukti yang diterbitkan sehingga 13 Jun 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).