Langkau ke kandungan utama

Adakah ubat antipsikotik atipikal berguna untuk merawat kerengsaan dan gejala lain dalam kalangan orang dengan autisme?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Risperidone dan aripiprazole mungkin mengurangkan gejala kerengsaan‍, manakala lurasidone mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam kalangan kanak-kanak dengan autisme.

  • Terdapat ketidakpastian ketara tentang kesan ubat-ubatan ini terhadap agresi, pertambahan berat badan dan pergerakan tubuh yang abnormal (contohnya gegaran) dalam kalangan kanak-kanak dengan autisme.

  • Ubat-ubatan ini mungkin mengurangkan gejala obsesif kompulsif (pemikiran tidak diingini (obsesi) dan tingkah laku berulang (kompulsi) dan pertuturan tak sesuai dalam kalangan kanak-kanak dengan autisme.

  • Kami tidak dapat meneliti dengan mendalam manfaat dan mudarat ubat-ubatan ini dalam kalangan orang dewasa dengan autisme kerana terdapat sedikit data yang tersedia.

Apakah itu autisme?

Autisme, juga dikenali sebagai gangguan spektrum autisme atau keadaan spektrum autisme, ialah gangguan perkembangan yang mempengaruhi komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku.

Apakah ubat antipsikotik atipikal?

Ubat antipsikotik diguna terutama untuk merawat masalah kesihatan mental, mengekalkan keseimbangan bahan neurotransmiter tertentu (bahan kimia semula jadi yang membolehkan saraf berkomunikasi di seluruh tubuh; contohnya dopamin) dalam otak bagi memperbaik pelbagai gejala. Antipsikotik atipikal ialah ubat pelbagai manfaat dan mudarat berbanding antipsikotik tipikal .

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin membandingkan sejauh mana keberkesanan antipsikotik atipikal mengurangkan kerengsaan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan gangguan spektrum autisme. Selain itu, kami ingin memahami keberkesanan dan mudaratnya bagi gejala-gejala lain.

Apakah yang dilakukan?

Kami meneliti kajian-kajian yang membandingkan pelbagai ubat antipsikotik atipikal dengan plasebo (rawatan palsu‍) atau dengan ubat antipsikotik atipikal lain dalam kalangan orang yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme‍.

Apakah yang ditemukan?

Kami mendapati 17 kajian melibatkan 1027 orang. Kebanyakan kajian memfokus kepada kanak-kanak, dengan hanya satu kajian melibatkan orang dewasa.

Beberapa ubat antipsikotik atipikal seperti risperidone dan aripiprazole mungkin mengurangkan kerengsaan dalam kalangan kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme untuk tempoh yang singkat, berbeza dengan lurasidone yang mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan. Ubat antipsikotik atipikal mungkin dapat memperbaik gejala obsesif-kompulsif dan mengurangkan pertuturan tak sesuai. Kami sangat tidak pasti tentang kesan terhadap agresi, pertambahan berat badan dan kesan tidak diingini berkaitan pergerakan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari sederhana hingga sangat rendah. Walaupun kami lebih yakin terhadap beberapa gejala dan ukuran seperti kerengsaan, bukti lebih kukuh masih diperlukan. Kami kurang yakin terhadap ukuran seperti pertambahan berat badan dan kesan tidak diingini berkaitan pergerakan, terutama kerana kajian-kajian tersebut adalah kecil dan keputusannya berbeza-beza. Tambahan pula, kebanyakan data tersedia adalah daripada kajian jangka pendek .

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Maklumat adalah terkini hingga Januari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia. Disunting Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Meza N, Franco JVA, Sguassero Y, Núñez V, Escobar Liquitay CM, Rees R, Williams K, Rojas V, Rojas F, Pringsheim T, Madrid E. Atypical antipsychotics for autism spectrum disorder: a network meta-analysis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD014965. DOI: 10.1002/14651858.CD014965.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan