Mesej utama
- Pemakanan enteral mungkin tidak meningkatkan risiko komplikasi tetapi mungkin dikaitkan dengan perawatan hospital yang lebih pendek dibandingkan dengan pemakanan parenteral.
- Apabila membandingkan pemberian makanan secara jejunostomi dengan pemakanan secara oral, mungkin tiada perbezaan yang jelas dalam komplikasi atau tempoh tinggal di hospital, tetapi bukti adalah tidak pasti.
- Lebih banyak bukti diperlukan untuk menyatakan dengan tahap keyakinan yang lebih tinggi cara jenis pemakanan berbeza ini mempengaruhi pesakit selepas pancreatikoduodenektomi.
Apakah itu pancreatikoduodenektomi?
Pancreatikoduodenektomi, juga dikenali sebagai prosedur Whipple, adalah pembedahan untuk membuang kepala pankreas. Ianya sering dilakukan untuk kanser tetapi juga boleh digunakan untuk tumor benigna dan pankreatitis kronik. Matlamatnya adalah untuk membuang semua tisu kanser dan membantu pesakit hidup lebih lama.
Apakah jenis sokongan pemakanan yang diberikan selepas pancreatikoduodenektomi?
Selepas pembedahan ini, pesakit memerlukan sokongan pemakanan untuk membantu mereka pulih. Ini boleh dilakukan melalui tiga cara:
- Pemberian makanan secara oral: biasanya bermula dengan cecair dan secara beransur-ansur menambah makanan pepejal.
- Pemberian makanan secara enteral (pemberian makanan gastrik atau jejunal): menggunakan tiub untuk menyampaikan makanan terus ke perut atau usus kecil.
- Pemakanan secara parenteral: menyampaikan nutrien melalui vena sentral atau periferal, sama ada sebagai pemakanan penuh (pemakanan parenteral keseluruhan) atau pemakanan separa.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin melihat bagaimana kaedah sokongan pemakanan yang berbeza memberi kesan terhadap pemulihan dan komplikasi pada orang dewasa selepas pancreatikoduodenektomi
Apakah yang kami lakukan?
Kami menyemak penyelidikan sedia ada daripada beberapa pangkalan data perubatan sehingga Oktober 2022. Kami menyertakan kajian yang membandingkan cara dan masa berbeza untuk pemberian makanan, memfokuskan pelaksanaan di hospital. Kami menganalisis 17 kajian yang melibatkan 1897 pesakit, dengan lapan kajian yang sesuai untuk analisis statistik terperinci (meta-analisis).
Apakah yang kami temui?
Kajian menggunakan pelbagai kaedah sokongan pemakanan. Pemakanan enteral (melalui usus kecil) (jejunostomi, nasojejunal atau gastrojejunostomi) telah digunakan dalam sekurang-kurangnya 13 kajian. Pemakanan parenteral digunakan dalam sekurang-kurangnya 10 kajian. Pengambilan secara oral digunakan dalam tujuh kajian.
Kami menemui bahawa terdapat kemungkinan pengurangan tempoh tinggal di hospital bagi pemberian makanan secara jejunostomi apabila dibandingkan dengan pemakanan parenteral. Mungkin tiada perbezaan dalam komplikasi seperti fistula pankreas (kebocoran cecair pankreas ke tempat yang tidak masuk ke dalam dinding usus), pendarahan (pendarahan besar) atau pengosongan gastrik yang tertangguh (pengosongan perut secara perlahan).
Apabila membandingkan pemberian makanan melalui nasojejunal dengan pemakanan parenteral, kami menemui bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh tinggal di hospital atau komplikasi seperti pengosongan gastrik yang tertangguh atau pendarahan. Kami menemui bahawa pemakanan parenteral secara total boleh memperbaiki sedikit kadar fistula pankreas.
Apabila membandingkan pemakanan oral dengan jejunostomi, kami menemui bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh tinggal di hospital, pengosongan gastrik yang tertangguh atau pendarahan.
Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi adalah diperlukan.
Apakah batasan bukti?
Tahap bukti adalah berbeza-beza, dengan majoriti penemuan kami berdasarkan bukti yang kami mempunyai keyakinan yang rendah atau sangat rendah. Sebahagian besarnya kerana hanya beberapa kajian kecil telah dijalankan dalam bidang ini. Terdapat juga variasi yang luas dalam cara sokongan pemakanan disediakan dalam seluruh kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti termasuk kajian dan data yang tersedia sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia).