Langkau ke kandungan utama

Apakah model kebarangkalian komplikasi tisu normal (normal tissue complication probability (NTCP)) yang sedia ada untuk meramal risiko kesan sampingan yang disebabkan oleh radiasi selepas pesakit kanser kepala dan leher menjalani radioterapi, apakah ku...

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

° Banyak model NTCP yang telah dibangunkan untuk meramal kesan yang tidak diingini berikutan radioterapi di kalangan pesakit kanser kepala dan leher tetapi kebanyakannya belum mendapat pengesahan luaran yang mencukupi, iaitu, diuji dengan pesakit yang tidak terlibat dalam kajian asal pembangunan model, untuk mengetahui sebaik mana model benar-benar meramalkan kesan yang tidak diingini.

° Untuk model yang diuji dalam dua atau lebih kajian sebagai tambahan kepada kajian asal pembangunan model, kualiti ujian dan pelaporan keputusan adalah lemah pada umumnya, jadi amat sukar untuk mengetahui sejauh mana ianya berguna.

° Kajian-kajian yang lebih banyak dan mempunyai rekaan lebih baik diperlukan untuk menyiasat isu ini dalam lapangan kanser kepala dan leher.

Bagaimanakah kami dapat memutuskan kemungkinan rawatan menyebabkan kesan yang tidak diingini?

Kemungkinan untuk mengalami kesan yang tidak diingini akibat radioterapi boleh dikira dengan menggunakan apa yang dipanggil sebagai model NTCP. Model NTCP mengira risiko kesan sampingan yang disebabkan oleh radiasi berdasarkan maklumat daripada pesakit, penyakit mereka, dan rawatan mereka.

Apakah yang ingin diketahui?

Radioterapi adalah rawatan utama bagi pesakit kanser kepala dan leher. Walau bagaimanapun, radioterapi mendedahkan bahagian kepala dan leher yang sihat, dan kadangkala yang penting, kepada radiasi. Ini mungkin mengakibatkan kerosakan pada organ-organ normal ini, misalnya gangguan pada pengeluaran air liur, yang mungkin mempunyai kesan yang penting terhadap kualiti hidup pesakit kanser kepala dan leher yang dirawat dengan radioterapi. Untuk mencapai keseimbangan optimum antara kawalan tumor dan pencegahan kesan sampingan yang disebabkan oleh radiasi, model kebarangkalian komplikasi tisu normal (NTCP) boleh membantu. Model-model ini meramalkan risiko kesan sampingan yang disebabkan oleh radiasi berdasarkan maklumat daripada pesakit, penyakit mereka, dan rawatan mereka. Terdapat sejumlah besar model NTCP untuk pesakit dengan kanser kepala dan leher. Kami ingin mengetahui apakah kualiti reka bentuk kajian, pelaksanaan, dan analisis (dalam erti kata lain risiko bias), dan sebaik mana model-model ini boleh meramal risiko kesan sampingan yang disebabkan oleh radiasi.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang membangunkan dan/atau mengesahkan model NTCP pada pesakit dengan kanser kepala dan leher.

Apakah yang ditemukan?

Dalam kebanyakan 592 model yang dibangunkan dari 140,767 pesakit dalam 143 artikel yang dikenal pasti, kualiti model tidak mencukupi; dan prestasi model di kalangan pesakit baharu belum disiasat untuk 81% daripada model-model ini. Untuk baki 19% daripada model, 152 pengesahan luaran ditemui dalam 34,304 pesakit dari 41 artikel. Hanya terdapat sembilan model dengan dua atau lebih pengesahan luaran. Model-model dapat membezakan pesakit dengan atau tanpa hasil dengan baik, tetapi sering kali tidak jelas sama ada ramalan selaras dengan apa yang diperhatikan, kerana pemerhatian tidak selalu dinilai dan/atau dilaporkan. Secara keseluruhan, kualiti kebanyakan kajian ini adalah rendah.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 8 Januari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Takada T, Tambas M, Clementel E, Leeuwenberg A, Sharabiani M, Damen JAAG, Dunias ZS, Nauta JF, Idema DL, Choi J, Meijerink LM, Langendijk JA, Moons KG, Schuit E. Prognostic models for radiation-induced complications after radiotherapy in head and neck cancer patients. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD014745. DOI: 10.1002/14651858.CD014745.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan