Mesej utama
• Panduan ultrabunyi boleh membawa kepada kadar kejayaan percubaan pertama yang lebih tinggi dan masa bertambah baik untuk mencapai akses arteri femoral biasa (CFA) yang berjaya, di samping mengurangkan kadar tusukan vena (tidak sengaja mengakses vena dan bukannya arteri yang disasarkan) dan bilangan percubaan akses, dibandingkan dengan panduan tanda tempat anatomi.
• Penyelidikan lanjut adalah perlu untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti.
Apakah keadaan tersebut, dan bagaimanakah ia dirawat?
Akses perkutaneus (melalui kulit) arteri femoral biasa (CFA) adalah langkah penting untuk pelbagai prosedur endovaskular (prosedur invasif minima yang menangani isu dalam arteri dan/atau vena), daripada angiogram arteri diagnostik (sejenis gambar yang diambil untuk menilai bahagian dalam arteri dan potensi penyakitnya) kepada intervensi terapeutik (intervensi yang digunakan untuk merawat keadaan arteri) termasuk, tetapi tidak terhad kepada sten (penempatan peranti kecil untuk mengekalkan keterbukaan arteri), embolisasi (sengaja menyebabkan darah beku terbentuk untuk menyekat bahagian saluran darah yang tidak diingini), dan tromboembolektomi (penyingkiran darah beku yang tidak diingini dari saluran darah). Prosedur ini membolehkan diagnosis dan rawatan penyakit arteri oklusif (penyumbatan arteri) serta aneurisme (gelembung pada dinding arteri), diseksi (koyak pada dinding arteri), dan fistula arteriovena (sambungan tidak normal antara arteri dan vena). Secara tradisinya, tanda tempat dalam anatomi (tanda tempat anatomi) telah digunakan untuk membimbing akses CFA. Baru-baru ini, panduan ultrabunyi telah muncul sebagai pilihan yang mungkin berisiko lebih rendah dan lebih berkesan, walaupun hasil kajian yang membandingkan ultrabunyi berbanding tanda tempat anatomi untuk membimbing akses CFA perkutaneus adalah berbeza.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami bermatlamat untuk mengetahui sama ada panduan ultrabunyi meningkatkan kadar dan kelajuan akses CFA yang berjaya, mengurangkan kadar komplikasi yang dikaitkan dengan akses CFA perkutaneus dan/atau memperbaik pengalaman pesakit berbanding dengan panduan tanda tempat anatomi untuk akses CFA perkutaneus.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan panduan ultrabunyi dengan panduan tanda tempat anatomi menggunakan palpasi (menekan permukaan badan dengan jari atau tangan) atau fluoroskopi (panduan sinar-X), atau kedua-duanya, untuk mencapai akses CFA perkutaneus pada orang yang menjalani prosedur endovaskular diagnostik atau terapeutik. Kami membanding dan merumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui sembilan kajian yang mendaftar 4447 peserta. Panduan ultrabunyi boleh membawa kepada kadar kejayaan percubaan pertama yang lebih tinggi dan masa bertambah baik untuk akses arteri femoral biasa (CFA) yang berjaya, di samping mengurangkan kadar tusukan vena (tidak sengaja mengakses vena dan bukannya arteri yang disasarkan) dan bilangan percubaan akses, berbanding dengan panduan tanda tempat anatomi.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan sederhana hingga sedikit terhadap bukti kerana ada kemungkinan bahawa orang dalam kajian mengetahui rawatan mana yang mereka perolehi; beberapa hasil penting tidak dapat ditangani disebabkan oleh bukti yang terhad; dan kajian gagal melihat populasi pesakit penting tertentu, seperti mereka yang berisiko tinggi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).