Langkau ke kandungan utama

Akupunktur untuk bayi dengan sindrom abstinens neonatal selepas terdedah kepada ubat-ubatan semasa dalam rahim

Mesej utama

• Oleh sebab kekurangan bukti, kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai faedah dan risiko akupunktur untuk bayi dengan sindrom abstinens neonatal yang disebabkan oleh terdedah kepada ubat-ubatan semasa dalam rahim.

• Kajian besar yang direka dan dilaporkan dengan baik diperlukan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai faedah dan risiko akupunktur, termasuklah kajian yang membuat perbandingan teknik akupunktur, tempat, masa dan kegunaan.

Apakah itu sindrom abstinens neonatal?

Sindrom abstinens neonatal adalah sindrom pemberhentian ubat-ubatan, kebanyakannya berlaku selepas terdedah kepada ubat opoid (seperti heroin dan metadon) semasa masih dalam rahim. Seorang neonat boleh dilahirkan dengan pergantungan secara fizikal kepada ubat, yang menyebabkan gejala pemberhentian selepas kelahiran, misalnya, tangisan nada tinggi, kitaran tidur-bangun yang terganggu dan tremor. Sindrom abstinens neonatal didiagnosis dengan penilaian pemberhentian standard, seperti skor Finnegan.

Bagaimanakah sindrom abstinens neonatal dirawat?

Bayi yang baru lahir yang mengalami sindrom abstinens neonatal memerlukan rawatan perubatan dan tempoh tinggal di hospital yang lebih lama selepas kelahiran daripada neonat tanpa keadaan ini. Rawatan untuk sindrom abstinens neonatal termasuk pelbagai rawatan multimodal untuk meringankan gejala pemberhentian, seperti membedung, layanan di sisi ibu (‘rooming in’) dan penyusuan susu ibu. Sekiranya penilaian standard tersebut melebihi ambang tertentu, bayi baru lahir tersebut dirawat secara farmakologi dengan opioid yang diberikan secara lisan. Walau bagaimanapun, pengurusan sindrom abstinens neonatal yang optimum terus diperdebatkan. Akupunktur telah dicadangkan sebagai satu intervensi yang berpotensi. Akupunktur melibatkan rangsangan titik-titik tertentu pada badan, sama ada melalui tusukan jarum logam nipis ('invasif') atau menggunakan teknik yang tidak menembusi kulit ('tidak invasif'), seperti akutekanan dan laser.

Apa yang kami ingin tahu?

Matlamat kami adalah untuk menentukan faedah dan risiko akupunktur pada bayi dengan sindrom abstinens neonatal (NAS). Hasil utama adalah tempoh rawatan farmakologi (ubatan), kejadian buruk (kecederaan) dan tempoh penginapan di hospital.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan akupunktur dengan tiada rawatan, ubat-ubatan atau jenis akupunktur yang lain (contohnya akupunktur jarum berbanding akupunktur laser). Akupunktur boleh diberikan secara bersendirian atau digabungkan dengan rawatan perubatan konvensional untuk NAS ('penjagaan standard'), selagi penjagaan standard tersebut diberikan kepada semua peserta dalam kajian ini.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui dua kajian melibatkan 104 bayi secara keseluruhan. Kedua-dua kajian membandingkan akupunktur (dengan teknik yang tidak menembusi kulit) ditambah kepada penjagaan standard berbanding penjagaan standard.

Kedua-dua kajian menggunakan teknik akupunktur yang berbeza. Satu kajian terhadap 28 bayi, yang dijalankan di Austria antara tahun 2009 dan 2014, menggunakan akupunktur laser harian pada titik akupunktur telinga dan badan sehingga morfin yang digunakan untuk merawat gejala NAS dalam kedua-dua kumpulan dihentikan. Kajian yang lain, yang dijalankan di Amerika Syarikat antara tahun 1992 dan 1996, melibatkan 76 bayi dan menggunakan akutekanan dengan biji herba yang dilekatkan pada akupoint telinga yang diurut selama 30 hingga 60 saat, bersama dengan penjagaan NAS standard.

Keputusan utama

Bukti adalah sangat tidak pasti mengenai kesan penambahan akupunktur pada penjagaan standard mengenai berapa lama bayi perlu mengambil ubat atau tinggal di hospital. Bukti juga sangat tidak pasti sama ada akupunktur dapat mengurangkan skor tertinggi yang diberikan kepada bayi apabila doktor menilai sindrom abstinens neonatal mereka.

Tidak ada kejadian buruk yang dilaporkan untuk sebarang bayi dalam kedua-dua kajian, tetapi kerana hanya terdapat 104 bayi, tidak mungkin untuk kami membuat kesimpulan mengenai keselamatan akupunktur daripada keputusan ini.

Tiada kajian yang memberikan maklumat mengenai kesakitan atau kematian bayi. Mereka juga tidak mengikuti kemajuan bayi dalam jangka masa panjang.

Apakah batasan bukti?

Batasan utama ialah hanya dua kajian kecil yang dianalisis. Sebahagian daripada hasilnya tidak dilaporkan sama sekali. Tambahan lagi, kajian-kajian tersebut mungkin boleh dirancang dengan lebih baik. Tidak jelas sama ada terdapat kajian mengenai topik ini yang telah dijalankan tetapi belum diterbitkan. Setakat yang kami ketahui tidak ada kajian yang sedang dijalankan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Petikan
Urlesberger B, Cabano R, Soll G, Pahl A, Oei JL, Schmölzer GM, Raith W, Bruschettini M. Acupuncture for neonatal abstinence syndrome in newborn infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD014160. DOI: 10.1002/14651858.CD014160.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan