Langkau ke kandungan utama

Rawatan untuk menguruskan pernafasan cepat dalam kalangan bayi (tachypnoea sementara bayi yang baru lahir)

Soalan ulasan

Adakah ubat-ubatan dan rawatan lain dalam bayi dengan pernafasan yang tidak normal (dikenali sebagai tachypnoea sementara bayi baru lahir) meningkatkan fungsi paru-paru dan mengurangkan keperluan untuk sokongan pernafasan (iaitu pengudaraan mekanikal) dan/atau tempoh gejala?

Latar belakang

Tachypnoea sementara bayi yang baru lahir dicirikan dengan pernafasan cepat (lebih daripada 60 nafas per minit) serta tanda-tanda gangguan pernafasan (kesukaran bernafas). Ia biasanya muncul dalam dua jam pertama kehidupan dalam kalangan bayi yang dilahirkan pada atau selepas usia kandungan 34 minggu. Walaupun kebanyakan tachypnoea sementara bayi yang baru lahir boleh sembuh tanpa rawatan, ia dihubungkait dengan wheezing pada zaman akhir kanak-kanak. Cochrane ini menggambarkan keseluruhan laporan dan menganalisa secara kritikal bukti yang tersedia tentang keberkesanan dan kemudaratan rawatan yang berbeza untuk pengurusan tachypnoea sementara bayi baru lahir.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan enam Ulasan Cochrane. Empat daripadanya membandingkan ubat (salbutamol, epinefrin, kortikosteroid, dan diuretik) dengan plasebo, manakala dua ulasan yang selebihnya menilai kesan pemberian kuantiti cecair yang kurang dan sokongan pernafasan tanpa memasukkan tiub ke dalam paru-paru. Salbutamol, epinefrin, dan kortikosteroid mengeluarkan cecair yang berlebihan dari paru-paru, manakala diuretik ialah ubat yang menggalakkan rembesan cecair paru-paru dalam air kencing.

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2021.

Keputusan

Disebabkan oleh bukti yang sangat terhad, kami tidak dapat menjawab soalan gambaran keseluruhan kami. Salbutamol boleh mengurangkan tempoh pernafasan yang cepat berbanding plasebo. Kajian tentang epinefrin dan kortikosteroid tidak memberikan maklumat tentang hasil ini. Buktinya sangat tidak pasti untuk kesan diuretik berbanding plasebo. Kajian tentang pemberian kuantiti cecair yang kurang tidak memberikan maklumat tentang hasil ini.

Buktinya sangat tidak pasti berkenaan kesan pelbagai jenis sokongan pernafasan tanpa memasukkan tiub ke dalam paru-paru berbanding oksigen atau dibandingkan antara satu sama lain tentang tempoh pernafasan yang cepat. Kami tidak pasti tentang kesan salbutamol, epinefrin, dan kortikosteroid dalam mengurangkan keperluan untuk pengudaraan mekanikal (penggunaan mesin untuk membantu pesakit bernafas di mana tiub dimasukkan ke dalam paru-paru). Kajian mengenai diuretik tidak memberikan maklumat tentang hasil ini. Kami tidak pasti tentang kesan sokongan pernafasan tanpa memasukkan tiub ke dalam paru-paru, dan memberikan kuantiti cecair yang kurang dalam mengurangkan keperluan untuk pengudaraan mekanikal.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah rendah untuk salbutamol untuk tempoh pernafasan yang cepat, dan sangat rendah untuk semua hasil dan rawatan lain. Kajian sama ada tidak melaporkan maklumat yang boleh kami gunakan atau menghasilkan penemuan di mana kami mempunyai sedikit keyakinan. Kajian adalah kecil dan menggunakan kaedah yang cenderung untuk memperkenalkan kesalahan dalam keputusannya.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Bruschettini M, HassanK-O, RomantsikO, BanziR, CalevoMG, MorescoL.Interventions for the management of transient tachypnoea of the newborn - an overview of systematic reviews. Cochrane Database of Systematic Reviews 2022, Issue 2. Art. No.: CD013563. DOI: 10.1002/14651858.CD013563.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan