Mesej utama
Perluasan tiub Eustachian menggunakan belon (BET) mungkin menambahbaik tiub Eustachian yang mengalami disfungsi dibandingkan ubat hidung sehingga tiga bulan selepas prosedur.
Sejauh mana kita yakin tentang bukti ini bergantung pada tempoh rawatan susulan dan jenis rawatan yang dibandingkan dengannya.
Apakah disfungsi tiub Eustachian?
Tiub Eustachian ialah tiub yang menghubungkan telinga tengah (bahagian telinga di belakang gendang telinga) dengan bahagian belakang hidung. Orang ramai boleh mengalami gejala berkaitan tekanan di telinga mereka apabila tiub ini tidak berfungsi dengan baik iaitu tidak dapat terbuka dengan betul. Keadaan ini menjejaskan kira-kira 1% penduduk UK.
Apa yang kami ingin ketahui?
Satu pilihan rawatan ialah memasukkan belon ke dalam tiub ini melalui hidung dan dikembangkannya ke tekanan tinggi untuk membuka tiub tersebut, dan kemudian keluarkan belon. Ini bertujuan untuk menambah baik pembukaan tiub. Kami ingin mengetahui sama ada BET adalah lebih baik dibandingkan dengan rawatan piawai yang lain untuk disfungsi tiub Eustachian (biasanya ubat hidung tetapi juga boleh melibatkan intervensi pembedahan). Kami berminat dengan hasil yang dilaporkan oleh pesakit, ukuran objektif atau separa objektif fungsi tiub Eustachian, dan komplikasi yang serius. Kami juga melihat kepada beberapa hasil yang lain, termasuk pendengaran, keabnormalan gendang telinga, kualiti hidup, keperluan untuk pembedahan lain dan komplikasi lain yang kurang serius.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal bila mana rawatan yang diterima adalah secara rawak). Jenis kajian begini memberi bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan. Kami telah mencari kajian yang membandingkan BET dengan mana-mana rawatan yang lain (termasuk tiada rawatan, rawatan bukan pembedahan dan jenis rawatan pembedahan yang lain). Kami membandingkan dan merumuskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui sembilan kajian yang membandingkan pendilatan belon dengan rawatan yang lain. Rawatan alternatif paling kerap adalah ubat hidung. Sejumlah 684 orang disertakan dalam ulasan ini dari enam negara berbeza di seluruh Asia, Eropah dan Amerika Utara. Enam daripada kajian dijalankan di beberapa hospital.
Lima kajian (422 orang) membandingkan pendilatan belon dengan ubat hidung. Satu kajian (17 orang) membandingkan pendilatan belon tanpa rawatan (dengan pesakit masih mempunyai anestetik, tetapi mereka tidak menerima pendilatan belon). Empat kajian (275 orang) membandingkan pendilatan belon dengan pembedahan yang lain .
Sehingga tiga bulan selepas pembedahan, adalah ditemui bahawa pendilatan menggunakan belon boleh mengurangkan gejala tiub Eustachian dan langkah objektif atau separa objektif jika dibandingkan dengan ubat hidung. Bagi kebanyakan perbandingan yang lain, tempoh susulan dan hasil, bukti terlalu tidak pasti untuk menunjukkan sebarang perbezaan yang jelas antara rawatan.
Tiada komplikasi serius dilaporkan.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan keputusannya kerana terdapat kebimbangan tentang cara kajian dijalankan, cara hasil penyakit diukur, dan ketepatan keputusan. Memandangkan kajian dilakukan dalam persekitaran yang sangat terkawal, penemuan keselamatan mungkin tidak digunakan untuk amalan perubatan di dunia sebenar .
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia).