Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko fenoldopam untuk mencegah dan merawat kecederaan buah pinggang akut?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Fenoldopam (ubat yang pantas meluaskan dan mengendurkan saluran darah) mungkin mengurangkan risiko mendapat kecederaan buah pinggang akut (AKI) (keadaan di mana buah pinggang tiba-tiba hilang keupayaan untuk menapis sisa daripada darah) dalam kalangan orang yang berisiko mendapat AKI berbanding plasebo (ubat palsu) atau salina (larutan garam).

• Fenoldopam mungkin mengurangkan masa yang dalam penjagaan intensif berbanding plasebo atau salina.

• Fenoldopam, berbanding ubat-ubatan aktif lain (dopamine dan B-acetylcysteine), ada kesan yang tidak pasti terhadap risiko mendapat AKI, keperluan untuk terapi penggantian buah pinggang (menggunakan mesin untuk menapis darah) dan tempoh dalam penjagaan intensif.

Apakah kecederaan buah pinggang akut?

Kecederaan buah pinggang akut (AKI) adalah komplikasi lazim bagi banyak penyakit yang teruk dan rawatannya, serta prosedur pembedahan (seperti pembedahan jantung) dan berlaku apabila buah pinggang tiba-tiba hilang keupayaan untuk mengeluarkan bahan buangan daripada darah dan mengawal jumlah air dan mineral seperti natrium dan kalium dalam badan. AKI paling kerap berlaku dalam kalangan orang yang berada di hospital dan kebanyakannya yang berada di unit penjagaan intensif (ICU). Orang dengan AKI bukan petanda yang baik untuk kesihatan umum dan buah pinggang. Fenoldopam adalah ubat yang cepat mengendurkan dan meluaskan saluran darah, memudahkan aliran darah. Beberapa kajian mencadangkan fenoldopam boleh membantu mencegah atau merawat orang yang buah pinggangnya tiba-tiba berhenti berfungsi.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada fenoldopam adalah lebih baik berbanding rawatan lain untuk mencegah AKI dan jika fenoldopam membantu merawat orang di peringkat awal AKI. Kami juga ingin tahu jika fenoldopam dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang mengkaji penggunaan fenoldopam berbanding ubat-ubat aktif (ubat yang diguna untuk mencegah AKI), plasebo (ubat palsu) atau salina (larutan garam) dalam kalangan orang yang berisiko mendapat AKI atau merawat mereka yang sudah mempunyai AKI. Kami membanding dan meringkaskan keputusan kajian-kajian, dan kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami temui 25 kajian melibatkan 3339 orang; 24 adalah dewasa, dan satu adalah dalam kalangan kanak-kanak. Daripada jumlah ini, 23 kajian adalah dalam kalangan yang berisiko mendapat AKI, dan dua kajian adalah dalam kalangan orang dengan AKI. Kajian-kajian dijalankan di tiga negara sahaja: Amerika Syarikat, Itali dan Ireland. Kami mendapati dalam kalangan orang yang berisiko mendapat AKI, fenoldopam mengurangkan peluang mendapat AKI dan boleh mengurangkan tempoh di ICU berbanding mereka yang menerima plasebo atau salina. Walau bagaimanapun, dalamm kalangan mereka dengan AKI, adalah tidak pasti sama ada fenoldopam mengurangkan bilangan orang yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang (menggunakan mesin untuk menapis darah) berbanding mereka yang menerima plasebo atau salina. Untuk kesan sampingan, tiada perbezaan antara fenoldopam dan plasebo atau salina sama ada untuk mencegah atau merawat AKI. Apabila fenoldopam dibanding dengan dopamin (ubat yang aktif) mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan yang mendapat AKI, mereka yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang , atau dalam risiko kematian. Kesan fenoldopam berbanding ubat aktif lain adalah tidak jelas.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Bilangan kajian-kajian yang kecil bagi setiap perbandingan dan saiz kajian yang kecil adalah batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian memberi data tentang hasil yang kami minati. Kami sederhana yakin fenoldopam mengurangkan peluang mendapat AKI berbanding plasebo atau salina. Kami kurang yakin dengan keputusan untuk keperluan terapi penggantian buah pinggang dan tempoh di ICU. Kami kurang yakin terhadap bukti penggunaan fenoldopam berbanding ubat aktif lain untuk mencegah AKI.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 12 November 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Siti Aishah Salim (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Esezobor CI, Bhatt GC, Effa EE, Hodson EM. Fenoldopam for preventing and treating acute kidney injury. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD012905. DOI: 10.1002/14651858.CD012905.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan