Langkau ke kandungan utama

Penggunaan borang soal selidik pesakit untuk meningkatkan pengurusan dan hasil klinikal

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada petugas kesihatan yang menerima maklumat daripada borang soal selidik yang dilengkapkan oleh pesakit mereka memberi penjagaan kesihatan yang lebih baik dan sama ada pesakit mereka mempunyai kesihatan yang lebih baik. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan.

Mesej utama

Jawapan borang soal selidik pesakit yang diberikan kepada petugas kesihatan dan pesakit boleh menghasilkan manfaat sederhana bagi komunikasi antara penyedia kesihatan dan pesakit dan faedah yang kecil bagi kualiti hidup pesakit. Petugas kesihatan mungkin memberi dan merekodkan lebih banyak diagnosis dan mencatatkan lebih banyak nota. Intervensi ini mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap persepsi umum pesakit terhadap kesihatan, fungsi sosial, dan kesakitan mereka. Tiada kesan terhadap fungsi fizikal dan mental, dan keletihan. Keyakinan kita terhadap hasil ini dibatasi oleh kualiti dan jumlah kajian yang disertakan untuk setiap hasil.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Semasa menerima rawatan kesihatan, pesakit tidak selalu ditanya tentang apakah perasaan mereka, baik mengenai kesihatan fizikal, mental mahupun sosial mereka. Ini boleh menjadi masalah kerana mengetahui apakah perasaan pesakit dapat membantu dalam membuat keputusan mengenai diagnosis dan cara merawat. Salah satu jalan penyelesaian adalah untuk meminta pesakit melengkapkan borang soal selidik mengenai kesihatan mereka, dan kemudian memberikan maklumat tersebut kepada petugas kesihatan dan pesakit.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 116 kajian (49,785 peserta), yang semuanya datang dari negara berpendapatan tinggi. Kami mendapati bahawa memberikan jawapan daripada borang balas soal selidik pesakit kepada petugas kesihatan dan pesakit mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup dan meningkatkan komunikasi antara pesakit dan doktor mereka, tetapi mungkin tidak memberi banyak perbezaan kepada fungsi sosial. Kami tidak pasti impak terhadap fungsi fizikal dan mental atau keletihan dalam memberikan maklumbalas bagi borang soal selidik pesakit kerana kepastian bukti ini dinilai sebagai sangat rendah. Intervensi ini mungkin meningkatkan diagnosis dan pengambilan nota. Kami tidak menemui kajian yang melaporkan kesan buruk yang ditakrifkan sebagai distres berikutan atau yang berkaitan dengan pengukuran hasil yang dilaporkan oleh pesakit (PROM).

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Gibbons C, Porter I, Gonçalves-Bradley DC, Stoilov S, Ricci-Cabello I, Tsangaris E, Gangannagaripalli J, Davey A, Gibbons EJ, Kotzeva A, Evans J, van der Wees PJ, Kontopantelis E, Greenhalgh J, Bower P, Alonso J, Valderas JM. Routine provision of feedback from patient-reported outcome measurements to healthcare providers and patients in clinical practice. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 10. Art. No.: CD011589. DOI: 10.1002/14651858.CD011589.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan