Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah senaman otot lantai pelvis lebih berkesan untuk merawat pengeluaran urin yang tidak disengajakan (inkontinens) dalam kalangan wanita apabila maklumbalas atau biomaklumbalas ditambah?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Dalam kalangan wanita dengan inkontinens urinari (pengeluaran urin tak terkawal), menggunakan peranti biomaklumbalas (peranti dengan sensor yang mengukur kontraksi otot dan memberi maklumbalas audio atau visual) dengan latihan otot lantai pelvis membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kualiti hidup yang berkaitan dengan inkontinens, berapa kerap kebocoran berlaku, atau berapa kerap wanita merasakan gejala mereka sembuh atau bertambah baik. Kebanyakan bukti datang dari wanita dengan tekanan inkontinens urinari (kebocoran akibat batuk, bersin, berjalan, berlari atau melompat).

• Beberapa kajian mengukur kesan yang tidak diingini; mendapati ia perkara kecil dan tidak kekal lama, atau mengatakan tiada kesan tidak diingini.

• Adalah tidak jelas jika satu jenis biomaklumbalas lebih baik daripada yang lain, atau jika biomaklumbalas lebih baik daripada maklumbalas.

Apakah inkontinens urinari?

Inkontinen urinari adalah kehilangan urin tak terkawal. Ia adalah keadaan lazim bagi wanita dan boleh disebabkan oleh penuaan, hamil, melahirkan anak, berat badan berlebihan, atau minum terlalu banyak alkohol atau kafein. Jenis utama adalah inkontinen urinai tekanan - kebocoran akibat usaha fizikal - seperti batuk, bersin, berjalan, berlari atau melompat; dan inkontinen kencing yang mendesak - kebocoran semasa mengalami keperluan yang sangat untuk buang air kecil. Sesetengah wanita mempunyai kedua-dua jenis, yang dipanggil inkontinen kencing campuran.

Apakah latihan otot lantai pelvis, maklum balas dan biomaklumbalas?

Selalunya, rawatan pertama untuk inkontinen urinari adalah 'latihan otot lantai pelvisl', juga disebut latihan lantai pelvis atau latihan Kegel. Otot lantai pelvis duduk di pangkal pelvis, dan menyokong usus dan pundi kencing. Dalam kalangan wanita, ia juga menyokong rahim dan vagina. Menguatkan otot-otot ini boleh membantu memberi wanita lebih banyak kawalan ke atas pundi kencing mereka. Latihan melibatkan kontraksi (menghimpit dan mengangkat) otot-otot ini. Adalah sukar bagi ramai wanita untuk memberitahu jika mereka melakukan senaman dengan berkesan. Maklumbalas dan biomaklumbalas dapat memberi wanita lebih maklumat tentang seberapa baik mereka melakukannya. 'Maklumbalas' mungkin sentuhan profesional kesihatan atau menghimpit otot, kemudian memberitahu wanita apa yang mereka rasakan. 'Biomaklumbalas' menggunakan peranti dengan sensor. Peranti ini dimasukkan ke dalam vagina atau rektum (laluan belakang), dan mengukur perubahan otot ketika berkontrak, menghantar isyarat ke skrin atau pembesar suara, supaya wanita dapat melihat atau mendengarnya.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada menambah maklumbalas atau biomaklumbalas, atau kedua-duanya, untuk latihan otot lantai pelvis:

• meningkatkan kualiti hidup wanita yang berkaitan dengan inkontinen;

• mengurangkan bilangan wanita mengalami kebocoran urin;

• mengurangkan amaun kebocoran dan berapa kerap ia berlaku.

Kami juga ingin tahu jika wanita merasakan inkontinen mereka sembuh atau bertambah baik, sama ada mereka berpuas hati dengan rawatan, dan sama ada terdapat kesan yang tidak diingini dengan maklumbalas atau biomaklumbalas.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menambah maklumbalas, biomaklumbalas, atau kedua-duanya untuk latihan otot lantai pelvis dalam kalangan wanita dengan inkontinens dan membandingkannya dengan latihan otot lantai pelvis tanpanya. Kami juga mencari kajian-kajian yang membandingkan satu jenis biomaklumbalas dengan yang lain. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemui?

Kami temui 41 kajian dengan 3483 wanita dengan inkontinens urinari. Kebanyakan wanita mengalami inkontinen urinari tekanan, dan berumur antara 18 dan 80 tahun dengan usia purata kira-kira 55 tahun. Kebanyakan kajian berlangsung selama tiga bulan dan dilakukan di negara-negara berpendapatan tinggi. Beberapa kajian mendapat pembiayaan komersial seperti syarikat peranti biomaklumbalas.

Tiga puluh tiga kajian menambah biomaklumbalas kepada latihan otot lantai pelvis dan membandingkannya dengan latihan otot sahaja. Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup dan sedikit pengurangan dalam kekerapan kebocoran dalam kalangan wanita yang menerima biomaklumbalas, tetapi ini tidak mungkin menjadi perbezaan yang ketara. Wanita yang menerima biomaklumbalas mungkin tidak mengatakan keadaan mereka sembuh atau bertambah baik, tetapi boleh merasa lebih puas dengan rawatan mereka atau hasil rawatan mereka.

Adalah tidak jelas jika terdapat perbezaan antara wanita yang menerima maklumbalas atau biomaklumbalas berbanding tanpanya, wanita yang menerima maklumbalas berbanding biomaklumbalas, atau yang menerima satu jenis biomaklumbalas berbanding jenis biomaklumbalas yang lain.

Banyak kajian tidak melaporkan kesan rawatan yang tidak diingini. Kajian-kajian yang menyatakan tiada atau tidak banyak kesan tidak diingini, dan tiada yang serius atau bertahan lama.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami yakin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara latihan otot lantai pelvis dengan biomaklumbalas berbanding latihan sahaja untuk merawat inkontinen urinari dalam kalangan wanita.

Kami tidak yakin dengan bukti yang lain kerana bilangan kajian sedikit dan kecil, dan kajian-kajian tersebut tidak mengukur hasil yang kami minati.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 27 September 2023. Ulasan ini mengemas kini Ulasan Cochrane terdahulu yang diterbitkan pada tahun 2011.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Fernandes ACNL, Jorge CH, Weatherall M, Ribeiro IV, Wallace SA, Hay-Smith EJC. Pelvic floor muscle training with feedback or biofeedback for urinary incontinence in women. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD009252. DOI: 10.1002/14651858.CD009252.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan