Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko rawatan berbeza untuk neoplasia intraepithelial dubur (sel abnormal dalam lapisan dubur dan kulit perianal)?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Terdapat beberapa jenis rawatan untuk neoplasia intraepithelial dubur (AIN). Belum lagi ada rawatan yang terbukti lebih baik dari segi pembuangan AIN atau pencegahan kekambuhan penyakit.

• Secara keseluruhan, segelintir penghidap AIN akan menghidap kanser dubur. Walau bagaimanapun, orang yang menerima rawatan untuk AIN mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap kanser dubur.

Apakah itu neoplasia intraepithelial dubur?

Neoplasia intraepithelial dubur (AIN) merupakan suatu penyakit langka yang melibatkan kulit dubur atau mukosa dubur (tisu lembap yang melapisi saluran dubur) dan disebabkan jangkitan virus human papillomavirus. Walau bagaimanapun, kelompok tertentu mempunyai risiko AIN yang lebih tinggi, termasuk orang yang menghidap HIV, lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain, dan pesakit yang mengalami imunosupresi (iaitu sistem imun yang lebih lemah daripada biasa). AIN biasanya tidak bergejala, tetapi boleh menyebabkan kegatalan, perdarahan atau perasaan seakan-akan terdapat sesuatu di dalam saluran dubur. AIN bukanlah kanser, namun sel abnormal tersebut dipercayai boleh berkembang sehingga menyebabkan kanser dubur (karsinoma sel skuama).

Bagaimanakah neoplasia intraepithelial dubur dapat dirawat?

Terdapat beberapa rawatan untuk AIN. AIN boleh dibuang secara bedah atau dimusnahkan menggunakan haba menerusi pembekuan inframerah atau peranti elektrokauterisasi (iaitu alatan yang menggunakan tenaga haba atau elektrik untuk membakar, menutup atau memusnahkan tisu dengan selamat). AIN juga boleh dirawat dengan salap topikal (gel atau krim sapuan tempatan) yang mengandungi imiquimod, iaitu ubat yang merangsang sistem imun, atau salap fluorouracil topikal, yang membantut pertumbuhan sel AIN.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui yang mana rawatan terbaik untuk membuang AIN, mencegah perkembangan kanser dubur dan menyingkir virus human papillomavirus. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan itu mengakibatkan sebarang kesan sampingan.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat dan membandingkan pelbagai rawatan untuk AIN dan perkembangan kanser. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah, ketepatan dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami mendapati lima kajian layak untuk dimasukkan, melibatkan 4907 peserta. Semua peserta dalam kajian tersebut merupakan penghidap HIV. Kebanyakannya merupakan peserta lelaki dengan umur median 45 hingga 51 tahun. Kajian-kajian tersebut dijalankan di Amerika Syarikat, Sepanyol, UK, dan Belanda.

Keputusan utama datang daripada satu kajian yang membandingkan pendekatan rawatan berpandukan anoskopi resolusi tinggi (di mana peranti pembesar berkuasa tinggi digunakan untuk mengesan kawasan bermasalah di dalam atau di sekitar dubur) dengan pendekatan pemantauan aktif . Kajian itu menyertakan 4446 peserta, dan fokus utamanya ialah perkembangan kanser dubur. Para penyelidik bukan sahaja menemui bahawa bilangan penghidap AIN yang turut menghidap kanser dubur adalah rendah, tetapi turut mendapati bahawa orang yang menerima rawatan untuk AIN juga mempunyai risiko menghidap kanser dubur yang lebih rendah berbanding peserta yang berada dalam kumpulan pemantauan aktif. Walau bagaimanapun, buktinya sangat tidak pasti.

Kajian itu juga mewawancara 124 orang peserta tentang kualiti hidup mereka yang berkaitan dengan kesihatan semasa mereka menyertai kajian itu. Penyelidik menemui bahawa peserta dalam kumpulan pemantauan aktif melaporkan kemerosotan dari segi fungsi psikologi dalam tempoh 28 hari selepas menyertai kajian, manakala peserta dalam kumpulan rawatan melaporkan tiada perubahan dari segi kualiti hidup dalam jangka masa yang sama. Walau bagaimanapun, buktinya sangat tidak pasti.

Dua peratus (43 daripada 2227) peserta dalam kumpulan rawatan dan 0.2% (4 daripada 2219) dalam kumpulan pemantauan aktif melaporkan kesan sampingan, dan kebanyakannya sakit ringan. Walau bagaimanapun, buktinya sangat tidak pasti.

Kajian itu tidak menilai titik hasil berkepentingan yang lain, termasuk penyingkiran AIN, penyingkiran virus human papillomavirus, sama ada AIN menjadi kurang beruk, atau kekambuhan AIN.

Butiran berkenaan rawatan dan keputusan empat kajian yang lain turut disertakan dalam ulasan ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana semua peserta dalam kajian merupakan penghidap HIV, sedangkan soalan yang ingin kami jawab adalah lebih luas. Kajian-kajian ini juga tidak menilai semua hasil yang kami minati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan Cochrane sebelumnya mengenai rawatan untuk neoplasia intraepithelial saluran dubur. Bukti adalah terkini sehingga April 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Pedersen TB, Pachler FR, Rosenberg J, Andresen K. Interventions for anal canal intraepithelial neoplasia. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 8. Art. No.: CD009244. DOI: 10.1002/14651858.CD009244.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan