Langkau ke kandungan utama

Rawatan ubat selain daripada kortikosteroid, suntikan immunoglobulin dan pertukaran plasma bagi Sindrom Guillain-Barré akut

Soalan ulasan

Kami mengulas semula bukti untuk rawatan ubat selain daripada kortikosteroid, suntikan immunoglobulin dan pertukaran plasma untuk pesakit Sindrom Guillain-Barré (GBS).

Latar belakang

GBS adalah akut (mengejut dan teruk), penyakit lumpuh yang disebabkan oleh keradangan saraf (kerosakan yang berlaku disebabkan sistem imun badan). Gejala-gejala menjadi paling teruk dalam tempoh empat minggu selepas bermula. Antara 3% dan 17% pesakit GBS mati disebabkan komplikasinya. Satu perempat memerlukan ventilasi untuk membantu pernafasan. Pemulihan mengambil masa beberapa minggu atau bulan dan sering tidak sepenuhnya. Pertukaran plasma (mengeluarkan bahan berbahaya daripada darah) dan suntikan immunoglobulin (antibodi manusia yang dituai daripada dermaan darah yang diberikan melalui titisan) boleh membantu mempercepatkan pemulihan. Kortikosteroid mungkin tidak berkesan. Walaupun dengan penggunaan pertukaran plasma atau suntikan immunoglobulin ramai pesakit dengan GBS mempunyai kehilangan upaya jangka panjang. Kami perlu mencari rawatan lain yang telah dicuba sebagai asas untuk melakukan kajian-kajian baru.

Ciri-ciri Kajian

Penulis Ulasan Cochrane megumpul dan menganalisis semua kajian rawak terkawal (RCTs) yang berkaitan untuk menjawab soalan ulasan. Dalam RCTs pesakit diperuntukkan kepada kumpulan rawatan secara rawak, yang mengurangkan bias. Kami menjumpai enam kajian RCTs yang menguji lima rawatan yang berbeza dalam sejumlah 151 peserta. Kami tidak pasti mengenai bukti daripada kajian-kajian tersebut. Satu RCT dengan hanya 19 peserta membandingkan interferon beta-1a (ubat yang bermanfaat dalam sklerosis pelbagai) dengan plasebo (rawatan sham). Satu lagi, dengan hanya 10 peserta, membandingkan faktor pertumbuhan saraf yang, mengikut teori, harus memberi manfaat kepada pesakit GBS, dengan plasebo. Kajian ketiga, dengan 37 peserta, membandingkan penapisan bendalir serebrospina (mencuci akar saraf di sekeliling saraf tunjang) dengan pertukaran plasma. Kajian keempat dengan 43 peserta membandingkan perubatan herba Cina tripterygium polyglycoside, yang dianggap mempunyai sifat anti-radang, dengan kortikosteroid. Kajian kelima dengan lapan peserta dan kajian keenam dengan 34 peserta membandingkan eculizumab (ubat yang menghalang pelengkap, komponen keradangan utama) dengan plasebo. Lima kajian menerima sokongan syarikat komersial. Sokongan untuk kajian berkaitan perubatan herba Cina adalah tidak diketahui.

Keputusan utama dan kepastian bukti

Tiada satu pun daripada kajian ini cukup besar untuk mengesahkan atau menyangkal manfaat atau kemudaratan mana-mana ubat-ubatan dalam rawatan pesakit GBS akut. Satu-satunya kajian yang mendapati perbezaan antara rawatan adalah kajian perubatan herba Cina: peserta yang menerima ubat herba adalah satu setengah kali lebih berkemungkinan untuk bertambah baik daripada hilang keupayaan selepas lapan minggu berbanding mereka yang menerima kortikosteroid. Walau bagaimanapun, anggaran ini adalah tidak pasti dan penulis kajian tidak melaporkan hasil klinikal yang lain. Kesan buruk yang serius adalah jarang berlaku dengan setiap lima rawatan yang disiasat dalam kajian yang dikenalpasti dan kadarnya adalah tidak berbeza daripada mereka dalam kumpulan kawalan. Kami mengenal pasti bukti yang sangat sedikit selain daripada RCTs.

Terdapat keperluan untuk membangunkan dan menguji rawatan baru untuk GBS, dan untuk menggunakan hasil kajian yang lebih sensitif.

Bukti ini adalah terkini sehingga Oktober. 2019.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Doets AY, Hughes RAC, Brassington R, Hadden RDM, Pritchard J. Pharmacological treatment other than corticosteroids, intravenous immunoglobulin and plasma exchange for Guillain-Barré syndrome. Cochrane Database of Systematic Reviews 2020, Issue 1. Art. No.: CD008630. DOI: 10.1002/14651858.CD008630.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan