Soalan ulasan
Adakah kortikosteroid mempercepatkan pemulihan kecacatan pesakit sindrom Guillain-Barr berbanding rawatan plasebo atau rawatan sokongan semata-mata?
Latar belakang
Sindrom Guillain-Barré merupakan penyakit lumpuh yang kurang berlaku, disebabkan sistem imun badan menyerang sistem saraf sendiri, lalu menyebabkan keradangan pada sistem saraf. 25% pesakit yang menghidapi penyakit ini memerlukan bantuan mesin pernafasan. Kira-kira 5% daripada orang dengan penyakit ini meninggal dunia dan kira-kira 10% menjadi kurang upaya. Kortikosteroid (seperti prednisolon) mengurangkan keradangan dan oleh itu sepatutnya dapat mengurangkan kerosakan pada saraf.
Ciri-ciri kajian
Terdapat lapan kajian klinikal yang dengan seramai 653 peserta. Hanya enam kajian yang melibatkan seramai 587 peserta melaporkan hasil utama yang dinilai dalam ulasan ini, iaitu perubahan tahap ketidakupayaan berdasarkan skala tujuh mata. Satu kajian mendapat pembiayaan daripada Baxter Bioscience, dua kajian daripada majlis penyelidikan, satu kajian daripada National Institutes of Health, manakala dana pembiayaan bagi kajian lain tidak dinyatakan.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Berdasarkan bukti berkualiti sederhana, apabila keputusan daripada enam kajian digabungkan, tiada perbezaan ketara dalam perubahan tahap kecacatan selepas empat minggu antara pesakit yang menerima kortikosteroid berbanding yang menerima plasebo atau tiada rawatan. Berdasarkan bukti berkualiti sederhana juga, tiada perbezaan dalam peratusan pesakit yang meninggal dunia atau mengalami kecacatan selepas satu tahun. Pada pendapat kami, bukti tentang ketidakupayaan kurang meyakinkan kerana keputusan kajian-kajian tersebut sangat berbeza. Dalam empat kajian kecil yang dengan 120 peserta, pesakit yang menerima kortikosteroid secara oral menunjukkan sedikit pemulihan selepas empat minggu berbanding yang tidak menerima kortikosteroid. Namun, kami kurang yakin terhadap keputusan ini kerana kualiti buktinya sangat rendah. Sebaliknya, berdasarkan bukti berkualiti sederhana, dua kajian besar yang melibatkan 467 peserta yang menerima suntikan kortikosteroid ke dalam salur darah menunjukkan sedikit pemulihan dalam ketidakupayaan selepas empat minggu. Namun, keputusan kajian masih menunjukkan kemungkinan bahawa kortikosteroid tidak memberikan kesan. Kortikosteroid tidak menyebabkan peningkatan kesan sampingan yang ketara, kecuali diabetes, yang berlaku lebih kerap berbanding plasebo atau rawatan sokongan semata-mata. Walaupun tekanan darah tinggi diketahui sebagai salah satu kesan sampingan kortikosteroid, keadaan ini didapati lebih jarang berlaku dalam kalangan pesakit yang menerima kortikosteroid berbanding yang tidak menerimanya. Kekurangan manfaat kortikosteroid masih belum diketahui tetapi mungkin kerana ubat tersebut boleh menjejaskan otot, sekali gus mengurangkan manfaat untuk keradangan saraf.
Ulasan tersebut dinilai sebagai terkini sehingga Januari 2016.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Abigail Ooi Zhi Ning (Universiti Malaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




