Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko kedudukan muka menghadap ke bawah untuk meningkatkan hasil selepas pembedahan untuk lubang makula?

Apakah lubang makula?

Mata memberi fokus dan mengubah rangsangan cahaya kepada isyarat saraf yang diproses di dalam otak untuk persepsi visual. Bahagian belakang mata dilapisi oleh retina, lembaran sel saraf berlapis, dan diisi dengan gel jernih, yang dikenali sebagai gel vitreous. Makula adalah kawasan tengah retina, dan bertanggungjawab untuk persepsi perincian halus dan penglihatan warna. Gangguan makula boleh menyebabkan gangguan penglihatan yang ketara.

Lubang makula adalah punca penting yang mengakibatkan gangguan penglihatan. Keadaan ini berkaitan dengan usia dan mempengaruhi sekurang-kurangnya dua bagi setiap 1000 individu berumur lebih 40 tahun. Perkembangan lubang makula dipercayai berpunca daripada daya tolakan dan tarikan yang berlaku secara semula jadi di dalam mata, yang mewujudkan pemisahan tisu dalam makula pada sesetengah individu.

Bagaimanakah ia dirawat?

Lubang makula secara konvensional diuruskan melalui pembedahan mengeluarkan gel vitreous untuk melegakan daya tarikan ('menarik'). Gas berat disuntik ke dalam mata sebagai ganti gel yang dikeluarkan (tamponade gas intraokular) dengan tujuan untuk menolak pada tisu yang terpisah, membantu lubang ditutup.

Selepas pembedahan untuk lubang makula, pesakit dinasihatkan untuk berkedudukan dengan muka menghadap ke bawah selama dua minggu bertujuan untuk meningkatkan penutupan lubang makula yang berjaya dengan memastikan gelembung gas dalam mata sentiasa ditolak ke bawah di tempat yang betul. Walau bagaimanapun, kedudukan muka menghadap ke bawah tidak selesa dan boleh membahayakan pesakit.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada kedudukan muka menghadap ke bawah menjadikannya lebih cenderung untuk lubang makula ditutup selepas pembedahan, dan sama ada terdapat sebarang risiko selepas kedudukan ini.

Apa yang kami lakukan

Kami mengulas kajian rawak terkawal (RCT) individu dengan idiopatik (sebab yang tidak diketahui atau yang berlaku secara spontan) lubang makula. Dalam RCT, peserta ditugaskan secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza. Kami menemui lapan RCT.

Apa yang kami temui

Kajian menggunakan tempoh kedudukan yang berbeza (dari 3 hingga 10 hari kedudukan muka menghadap ke bawah) dan nasihat yang berbeza untuk kumpulan perbandingan yang tidak menjalani kedudukan muka menghadap ke bawah. Secara keseluruhan, apabila kami membandingkan kedudukan muka menghadap ke bawah dengan kedudukan muka tidak menghadap ke bawah, mungkin tiada kesan positif pada penutupan lubang dengan kedudukan muka menghadap ke bawah. Kami tidak pasti tentang kesan kedudukan muka menghadap ke bawah terhadap peningkatan penglihatan atau kualiti hidup. Apabila kami hanya memberi perhatian terhadap peserta yang mempunyai lubang makula yang besar (yang mungkin mempunyai hasil yang kurang baik), percubaan individu terbesar menunjukkan beberapa manfaat, tetapi apabila kesemua lima kajian lubang makula besar dinilai bersama, kami tidak pasti tentang kesan kedudukan muka menghadap ke bawah pada penutupan lubang atau hasil lain. Kami mendapati risiko bahaya dengan postur muka menghadap ke bawah adalah rendah, dengan kurang daripada 1 dalam 300 peserta menghadapi masalah yang ketara.

Apakah batasan bukti?

Oleh kerana perbezaan dalam cara kajian menggunakan kedudukan muka menghadap ke bawah dan nasihat yang diberikan kepada peserta dalam kumpulan pembanding, adalah sukar untuk menggabungkan kajian untuk analisis. Juga, kajian mempunyai kaedah yang cacat. Kelemahan ini bermakna kami tidak yakin dengan bukti keseluruhan tentang kesan kedudukan muka menghadap ke bawah pada penutupan lubang yang berjaya yang dibentangkan dalam ulasan. Walau bagaimanapun, kami agak yakin bahawa postur muka menghadap ke bawah adalah aktiviti berisiko rendah untuk pesakit.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 25 Mei 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Petikan
Cundy O, Lange CAK, Bunce C, Bainbridge JW, Solebo AL. Face-down positioning or posturing after macular hole surgery. Cochrane Database of Systematic Reviews 2023, Issue 11. Art. No.: CD008228. DOI: 10.1002/14651858.CD008228.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan